Penyair-Penyair Berbulu Merak


Susah nak bercakap tentang puisi Malaysia sekarang tanpa kedengaran sinikal dan pesimistik. Antara soalan saya selalu dengar, "Apa yang kau inginkan daripada puisi Malaysia?" Satu jawapan mudah tanpa berfikir panjang adalah saya inginkan puisi Malaysia bebas sepenuhnya daripada bayang puisi Indonesia. Kemudian saya inginkan bahasa puisi baru yang bukan lagi bahasa Usman Awang, T. Alias Taib, dan Muhammad Haji Salleh. 

Kalau boleh - dan ini keinginan paling besar dan memang matahari bergolek jatuh ke riba kalau ia berlaku - saya tidak ingin lagi membaca puisi lirik di mana-mana akhbar, majalah, dan buku puisi Malaysia selama seratus tahun. Puisi lirik adalah kanser yang sedang membunuh bakat para penyair muda kita.  

Tetapi apakah sebenarnya masalah puisi jenis aku-lirik ini? Kenapa ia begitu popular di kalangan penyair muda? Pertama, bahasanya sangat peribadi kepada si penyair, dan memang apabila bahasa peribadi itu segar dan baru, kita akan mendengar suara puisi yang memukau. Selain itu kesannya juga dramatik. Di atas kertas mahupun apabila dibaca di atas mimbar. Puisi aku-lirik sangat memuaskan ego seorang penyair. Tetapi keinginan untuk memuaskan ego ini juga yang sering membawa kepada masalah terbesar puisi lirik: sentimentaliti dan kebungkaman waktu. Ketika kehidupan menjadi semakin kompleks, penyair kita masih selesa menulis puisi yang menyanyi dan merayu-rayu kepada alam atau kenangan cinta dari masa lalu. Penyair kita tidak boleh nak keluar, walaupun sekejap, daripada tubuh dan kotak fikirannya. Dia tidak boleh nak membayangkan sudut pandang rumput di bawah tapak kakinya atau sudut pandang moyangnya di dalam kubur atau sudut pandang kotak jus oren Marigold di dalam peti sejuknya. Hanya dirinya yang penting; hanya ego dan cintanya yang boleh menjadi inspirasi untuk sebuah puisi.  

Keinginan untuk memuaskan ego adalah keinginan untuk berdrama dan keingin untuk berdrama adalah keinginan untuk menjadi serius dan membosankan.

Saya bukan nak minta penyair kita berhenti menyanyi kepada alam dan menulis anti-puisi (walaupun kita sangat memerlukan lebih ramai pengikut tegar Salleh Ben Joned dan Nicanor Parra). Alam boleh menjadi sahabat paling setia seorang penyair kalau penyair itu membenarkan alam untuk bernyanyi dan berbicara dengannya. Saya inginkan kongsikan sebuah puisi daripada Wallace Stevens berjudul "Domination of Black":


At night, by the fire,
The colours of the bushes,
And of the fallen leaves,
Repeating themselves, 
Turned in the room,
Like the leaves themselves
Turning in the wind.
Yes: but the colour of the heavy hemlocks
Came striding.
And I remembered the cry of the peacocks. 

The colours if of their tails
Were like the leaves themselves
Turning in the wind,
In the twilight wind. 

They swept over the room,
Just as they flew from the boughs of the hemlocks
Down to the ground.
I heard them cry - the peacocks. 
Was it a cry against the twilight
Or against the leaves themselves
Turning in the wind,
Turning as the flames
Turned in the fire,
Turning as the tails of peacocks
Turned in the loud fire,
Loud as the hemlocks
Full of the cry of peacocks?
Or was it a cry against the hemlocks?

Out of the window,
I saw how the planets gathered
Like the leaves themselves
Turning in the wind.
I saw how the night came,
Came striding like the colour of the heavy hemlocks
I felt afraid.
And I remembered the cry of the peacocks. 


Bagi Wallace Stevens, puisi mencipta alam kerana bahasa mempengaruhi tanggapan kita terhadap waktu. Ibarat api yang menyala dan menari, waktu sentiasa bergerak dan menjalar dan merangkum alam masuk ke dalam pelukan panasnya. Justeru kita melihat warna api menjadi bahagian daripada warna daun dan warna dinding di kamar si penyair. Namun Stevens turut mengingatkan kita bahawa ancaman terbesar cahaya adalah kegelapan. Malam akan sentiasa menggantikan siang; kematian akan sentiasa menggantikan kehidupan. Kenapa Stevens berulang kali menggunakan imej "hemlocks" di sini? Kalau merak adalah muzik puisi, kenapa mesti si penyair mengunyah juga racun daripada daun berbisa? Kerana ini adalah paradoks dan ironi terbesar mana-mana bentuk penulisan: menunda kematian untuk mendapatkan kebahagiaan yang abadi.  

Di sini, keakuan seorang penyair hanya sebagai pemerhati, dan apalah guna ego seekor merak apabila malam datang lalu menyembunyikan warna terang di ekornya?
     

Comments

Popular Posts