Novel Keenam: Perangkap Hitam



 
Sejarah novel Malaysia bermula di atas sebuah pulau dan persahabatan antara dua orang  penulis. Pulau itu ialah Pulau Pinang dan persahabatan di antara Syed Sheikh al-Hadi dan Ahmad Rashid Talu. Tidak banyak yang boleh diceritakan pun tentang persahabatan mereka. Kita tahu Syed Syeikh al-Hadi menulis novel pertama Malaysia (fakta yang masih diperdebatkan oleh pengkritik) iaitu Hikayat Faridah Hanom; kita tahu Ahmad Rashid Talu membaca dan dipengaruhi oleh Hikayat Faridah Hanom;  kita tahu mereka terlibat dalam syarikat percetakan terawal negara kita seperti Jelutong Press dan Persama Press. Nah, itu sahajalah. Pengetahuan kita tentang perkembangan novel Malaysia di tahun 1920an dan 1930an bukan sahaja terbatas, tetapi kita turut menghadapi masalah mencari novel pengarang era itu di kedai dan perpustakaan.
 
Hal ini diburukkan lagi oleh ASAS 50 yang mengerhanakan kehadiran penulis generasi sebelum mereka. Apabila kita bercakap tentang sastera Malaysia pada hari ini, kita tidak nampak Syed Sheik al-Hadi, Ahmad Rashid Talu, dan Ahmad Kotot; kita hanya nampak ASAS 50. Kita hanya nampak buah dada besar Salina dan bayi-bayi ASAS 50 yang berada dalam gendongannya. Padahal, di belakang Salina, ada seorang lagi pelacur sedang berdiri merapikan rambut Salina menjadi sanggul. Namanya ialah Cik Sofiah, watak utama dalam novel Ahmad Rashid Talu Perangkap Hitam.
 
Novel yang selalu dikaitkan dengan Ahmad Rashid Talu ialah Iakah Salmah? kerana Salmah digambarkan sebagai perempuan Melayu sejati yang bukan sahaja moden dari segi penampilan, tetapi mampu berbincang dan berdebat dengan golongan lelaki lebih dewasa (umur Salmah hanya 15 tahun). Maka pengkritik sastera cenderung untuk mengangkat watak ideal Salmah dan menolak watak jalang Cik Sofiah. Sohaimi Abdul Aziz, misalnya, berpendapat Ahmad Rashid Talu menggunakan Cik Sofiah sebagai kritikan terhadap perempuan tidak berpendidikan yang mudah jatuh ke lembah pelacuran. Tetapi saya rasa Sohaimi Abdul Aziz terlalu cepat membuat kesimpulan. Ahmad Rashid Talu mungkin ada mesej yang ingin disampaikan dalam Perangkap Hitam, namun kita harus ingat bahawa Pak Mat kita ini juga seorang pencerita yang sedikit banyak akan bersimpati  dan memberi ruang kebebasan kepada wataknya.
 
Bagaimana kalau Cik Sofiah sebenarnya adalah kekasih gelap atau perempuan perselingkuhan kepada Ahmad Rashid Talu? Ia tidak mustahil. Lihat sahaja hubungan antara Flaubet dan Emma Bovary, atau hubungan antara Henry James dan Isabel Archer.
 
Bercakap tentang Flaubert, perjalanan hidup Cik Sofiah mempunyai persamaan dengan perjalanan hidup Emma Bovary. Mereka sama-sama perempuan cantik, penggoda, berpendidikan rendah, pernah berkahwin dengan lelaki dayus, mempunyai seorang anak perempuan, dan mereka sama-sama tenggelam dalam angan-angan cinta dan kemewahan. Cik Sofiah berasal dari Kuala Muda dan kemudian berpindah ke Pulau Pinang selepas berkawhin dengan seorang nelayan bernama Umar. Mereka kemudian bercerai kerana Cik Sofiah tidak tahan hidup miskin di Tanjung. Dalam perjalanan pulang ke Kuala Muda, Cik Sofiah tersempak dengan seorang janda tua dan kaya bernama Mak Su. Perempuan ini kemudian yang mengambil dan membela Cik Sofiah sehingga dia menjadi penggoda paling ditakuti di Pulau Pinang. Reputasi Cik Sofiah begitu hebat sehingga dia digelar "Perangkap Hitam."
 
Perkara pertama kita akan perasan apabila membaca novel ini ialah perbezaan besar tekstur ceritanya dengan novel generasi ASAS 50. Saya bukan tengah bercakap tentang bahasa, walaupun memang ada perbezaan jelas di situ dan ia turut mempengaruhi tekstur cerita. Tetapi maksud saya lebih kepada pengolahan cerita dan rentak naratif. Perangkap Hitam bergerak cepat dan setiap babak disusun seperti sebuah filem. Ahmad Rashid Talu tidak memberikan ruang kepada Cik Sofiah untuk merintih atau berdrama emosi setiap kali dia patah hati. Selesai main dan kikis duit seorang lelaki, Ahmad Rashid Talu segera menamatkan bab, dan Cik Sofiah pun mencari mangsa seterusnya.
 
Cuba bayangkan kalau Shahnon Ahmad atau Othman Kelantan menulis novel ini. Temponya akan perlahan. Kita terpaksa menunggu beberapa halaman untuk Cik Sofiah selesai merajuk, menangis, dan merenung nasib hidupnya. Dalam kata mudah: monolog, monolog, monolog. Saya tidak ada masalah dengan monolog, tetapi biarlah ia jadi mainan Shahnon Ahmad sahaja. Novelis lain mungkin perlu membaca dan mengkaji semula bagaimana Ahmad Rashid Talu memadatkan plot Perangkap Hitam dalam 190 halaman.
 
Saya tidak pernah jumpa watak perempuan dalam novel Malaysia yang boleh memikat saya seperti Cik Sofiah. Dia memang berpendidikan rendah dan mata duitan, tetapi dia sangat pintar bermain kata-kata untuk mencairkan hati lelaki (saya antaranya). Lupakan Salina, perempuan murahan dari Singapura itu. Di Pulau Pinang sudah ada Cik Sofiah dan dia ialah Madame Bovary kita.
 
 
 
    

Comments

Anonymous said…
pernah baca novel iakah salmah ialah novel terjemahan langsung, cuma penuduh yang mendakwa ada kajian itu tidak nyatakan novel mana yang diterjemah. barangkali di zaman rashid talu dapat menterjemah novel luar bukanlah hal yang penting.

sadis

Popular Posts