Membaca Buku-Buku Biografi

 
Di Malaysia ia hampir tidak wujud, terutama sekali buku biografi berkaitan kehidupan pengarang. Tulisan Muhammad Haji Salleh tentang Usman Awang sangat tidak memuaskan dan masih berenang di permukaan fakta dan sejarah. Bagaimana dengan biografi tentang A. Samad Ismail? Ahmad Rashid Talu? Ahmad Kotot? Azizi Haji Abdullah? Belum ada, padahal rahsia hidup mereka menanti sahaja untuk digali dan diceritakan semula kepada kita. Saya selalu percaya projek biografi patut dimulakan apabila seorang pengarang sudah meninggal dunia, bukan ketika dia masih hidup. Tidak mungkin akan ada sekali lagi fenomena James Boswell bersama Samuel Johnson. Pengarang di zaman ini rata-ratanya terlalu ego dan memendam rahsia sehingga mustahil untuk adanya seorang James Boswell di kalangan kita, apatah lagi menjadi teman bantal dan selimut seorang pengarang.
 
Di rumah saya ada dua buku biografi tentang Virginia Woolf (satu oleh Lyndall Gordon dan satu lagi oleh Julia Briggs). Malangnya kedua-dua buku ini masih terlalu kering dan mendatar karangannya. Julia Briggs hanya mengumpul maklumat tentang proses kreatif, catatan diari, dan resensi buku-buku Woolf. Tetapi Woolf sama sekali tidak mengalir dalam nadi kepengarangan Julia Briggs. Kalau boleh dikelar tangannya, kita tidak akan menemui darah Woolf menitis-nitis di atas meja, melainkan darah Julia Briggs sahaja.
 
Tulisan biogarafi terbaik tentang Virginia Woolf dikatakan dibuat oleh Hermione Lee. Saya sendiri tidak ada buku itu, tetapi saya berpeluang membaca tulisan biografi Hermione Lee berkenaan Edith Wharton. Siapakah perempuan ini? Saya tidak pasti jika ada orang masih membaca novel-novel Wharton (mungkin pembenci internet seperti Jonathan Franzen sahaja yang ada masa untuk membacanya). Wharton adalah pengarang Amerika yang muncul di penghujung abad kesembilan belas bersama rakan senegaranya Henry James. Kedua-dua orang sahabat ini boleh dikatakan antara pengarang kosmopolitan terawal dari Amerika yang kemudian akan dipopular dan dimitoskan oleh generasi Hemingway dan Fitzgerald. Kajian dan tulisan Hermione Lee sangat detail dan epik. Dia bukan sahaja mempunyai pengetahuan lengkap tentang kehidupan peribadi Wharton, tetapi turut menguasai latar belakang sejarah dan budaya di zaman itu. Kalau naratifnya sedang bermain dengan pengembaraan Wharton di Itali, maka Hermione Lee akan mengutip dan menurunkan kepada kita teks-teks lain tentang Itali oleh pengarang Amerika. Dia akan mengutip buku-buku yang menjadi rujukan utama kepada Wharton.
 
Saya kira suatu kebetulan, selain Edith Wharton, saya juga mempunyai buku biografi tentang Henry James. Jumlahnya adalah tiga buah buku, dan paling terbaik antara tiga buku itu ialah tulisan Sheldon M. Novick. Harold Bloom sendiri pernah memujinya dan ia memang tidak dapat dinafikan. Kelebihan utama Novick, berbanding Hermione Lee, adalah suara kepengarangannya. Dia menulis bukan sebagai seorang pengkaji, tetapi sebagai seorang pengarang prosa. Saya akan kongsikan di sini kutipan daripada prolog untuk bukunya berjudul Henry James: The Mature Master.  
 
"A late afternoon in spring, and the weather is still coo. James is in his upstairs study, a small, green-paneled room. A sea-coal fire flickers silently in the corner grate. Sitting at his desk, his back to the fire, James is correcting the typescript of the morning's dictation; he is at work on his new novel, The Green Bowl. To his right, a narrow window between glass-fronted bookcases looks over a walled garden and the gabled roofs of Rye.
 
Winters here within sight of the Channel are dark and windy but mild, and frosts are rare. Violets and snowdrops bloomed in the garden in February; now in March, crocuses, hyacinths, and jonquils are blossoming within the embrace of the sun-warmed redbrick garden walls. The little English market town of Rye is huddled all around but out of sight. James is an eagle's nest, spiritually and materially, a high redoubt of privacy and civilization. At sixty years of age, at the peak of his powers and artistic success, he is an international figure, and the society of Europe and America spread before him, making in his eyes a single, intricate figure, a vast garden of right order. He is a citizen of this great world, a cosmopolite, but after years of struggle he is at home on his hilltop, a home that has made for himself in which, bachelor that he is, he has founded a family."
 
Seorang sarjana dan pengkaji yang buta sastera tidak akan mampu menulis seperti ini. Cara Novick menulis dan menyusun rima ayatnya mengingatkan saya kepada esei-esei James sendiri. Ia seolah-olah ketika dia menulis buku ini, roh James telah masuk ke dalam dirinya. Saya fikir itu ialah pujian terbaik kita boleh berikan kepada seorang pengarang biografi iaitu apabila dia bukan lagi sekadar menulis tentang seorang tokoh, tetapi dia menjadi tokoh itu sendiri.
 
 
          

Comments

Popular Posts