Roberto Bolaño Bercakap Tentang Kerendahan Diri

Filem Jim Jarmusch "Only Lovers Left Alive" Seni di akhir zaman


Saya harus akui, ketika blog ini mula-mula dibangunkan, penulisnya bukan seorang yang rendah diri. Jauh sekali. Keangkuhan, kemarahan, dan kekeliruan dengan kebebasan yang ditawarkan oleh sebuah medium digital. Buat apa nak rendah diri? saya terfikir masa itu, Tulis saja apa aku suka. Tidak ada orang akan sunting atau tolak tulisanku. Memang betul pun. Lalu saya menulis, saya mengkritik sesuka hati mana-mana karya menyampah yang melintas di depan mata saya. Ukuran saya pada masa itu - kalau ingatan saya betul - bukan sangat pada kualiti karya itu, tetapi ia mesti menerima shock treatment atau bom atom terbesar yang mampu buat Mohd Affandi Hassan sendiri tersentap daripada tidurnya. Dan saya memang buat (saya tidak nafikan keseronokan menghancurkan karya seorang penulis tua). Malah tabiat itu melimpah sampai ke dalam bilik bengkel penulisan.
 
Salah satu bengkel itu adalah yang diadakan di Uniten Bangi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Mentor saya adalah Zaharah Nawawi. Itu adalah bengkel kedua saya bersamanya dan saya hadir bersama sebuah cerpen "abstrak" untuk dibacakan dan dibedah. Entah kenapa, giliran saya adalah yang terkahir (situasi sama akan berulang tujuh tahun kemudian). Jadi saya terpaksa mendengar karya orang lain dibacakan terlebih dahulu. Rasanya tidak ada satu karya yang saya tidak memberikan komentar sepanjang bengkel itu. Kalau penulisnya sendiri cuba melawan, saya akan serang lagi dengan hujah balas.
 
Apabila saya kembali semula ke Uniten baru-baru ini untuk bengkel berbeza, saya sedar yang saya bukan lagi orang sama. Ya, berkomentar memang tetap berkomentar apabila ada pembentangan. Tetapi bukan niat untuk menyerang atau menghancurkan sesiapa. Lebih kepada rasa ingin tahu. Semakin menarik idea itu semakin saya ingin tahu apa yang sedang dirancang atau bermain dalam kepala si penulis.
 
Saya terbaca di jurnal n+1 tentang pengalaman seorang penulis muda dari Peru yang jatuh cinta dengan novel terkenal Roberto Bolaño The Savage Detectives. Dia tidak pernah berjumpa dengan Bolaño, malah dia bukanlah ada duit sangat pada masa itu untuk membeli buku (dilema mana-mana penulis yang baru masuk ke lapangan ini). Tetapi dia membaca novel itu atas nasihat seorang kawan yang ingin membantu karier penulisannya (seperti mana saya pernah membaca Cantik Itu Luka atas nasihat Roslan Jomel). Reaksinya - barangkali sudah sangat klise buat peminat Bolaño - adalah perasaan intim dengan suara dalam novel itu, seolah-olah ia sedang bercakap tentang generasinya, dan bukan generasi dari era Boom. Maka, kerana teringin sekali untuk menemui Bolaño, dia terbang ke Paris (Bolaño banyak tinggal di Eropah selepas berkahwin). Dia tidak menemui Bolaño sendiri, tetapi dia terjumpa dengan editor Bolaño dalam bahasa Perancis. Melalui orang itu, dia sempat berbalas beberapa email dengan Bolaño yang saya akan kongsikan di bawah.
 
* * *

Kepada Abang Bolaño,

Saya menerima pesanan daripada Roberto Amutio. Abang boleh menulis kepada saya bila-bila abang suka, dan saya ingin sekali membaca maklum balas abang. Saya hantar mulanya sebab saya ingat itu cara abang berhubung dengan Enrique Lihn. Memang silap saya tidak tulis alamat email, saya minta maaf. Saya akan ada di Barcelona bulan Oktober nanti (tapi saya rasa abang sudah tahu).

Salam mesra,

D.

Kepada Diego:

Sewaktu saya menulis kepada Lihn Internet belum wujud, email pun sama, atau apa-apa benda yang kita panggil kiriman elektronik, malah saya tidak ada duit pun nak beli mesin jenis itu, kalau ia memang telah ada. Apapun, terima kasih untuk esei kamu tentang The Savage Detectives. Kamu terlalu bermurah hati, bahkan saya pun tidak kenal pun diri saya apabila membacanya. Oh ya, tentang golongan penyair Peru, saya fikir kamu Berjaya mengenal pasti mereka. Apa kamu sedang buat di Too loose?

Peluk hangat,
Roberto

Abang Roberto

Saya tidak tinggal di Toulouse, walaupun ya, saya selalu ke Toulouse. Saya datang ke Bordeaux untuk menulis (bunyi sangat naif, tapi betul). Saya baru tamat ijazah sarjana dan akan tangguhkan phd selama setahun untuk fokus pada novel. Abang tidak perlu berterima kasih kepada saya mengenai esei itu, malah sebaliknya, saya patut berterima kasih kepada abang.

Saya baru membaca novel Nabokov Pale Fire. Buku yang aneh dan hebat. Abang pasti sudah membacanya. Idea bahawa pembaca adalah detektif sangat jelas di dalamnya. Tindakan melompat antara halaman bagi memburu seorang editor yang fiksyen, dan cebisan maklumat atau penyimpangan dia tawarkan telah mencetuskan idea untuk novel saya sendiri. Saya terigin nak kongsinya dengan abang. Saya belum cerita kepada orang lain kerana saya pemalu orangnya. Dan saya tidaklah cadang nak karang surat yang panjang lebar. Saya tahu abang sangat sibuk dan Robert ada cerita tentang buku abang sedang buat.

Ya, abang, terima kasih kerana membalas. Peluk juga.

D.

Dear Trelles,

Saya sangat cemburu dengan usia muda kamu, tenaga yang meletup-letup, bersedia untuk menakluk semua cabaran di dunia atau mati mencubanya. Ceritalah novel kamu kepada saya, tapi kamu mesti menulis. Tanpa rasa takut. Tapi ingat juga, dan ini sangat penting, kamu mesti ada rasa rendah diri yang menandingi San Francisco atau sekurang-kurangnya Giacopone da Todi. Hari demi hari, saya mula sedar yang penulisan adalah keupayaan untuk punya rasa rendah diri. Baik, saya menuggu tulisan balas kamu. Sementara itu, terima pelukan yang lebih erat.

Bolaño.

* * *

Diego memang ada menulis surat balas kepada Bolaño, tetapi tidak ada jawapan. Ketika ini Bolaño pun sudah sakit teruk dan ia mengingatkan saya kepada satu lagi nasihat seorang penulis tua dalam filem Jim Jarmusch Only Lovers Left Alive. Watak penulis itu adalah Christopher Marlowe yang dilakonkan oleh John Hurt. Dalam filem ini Marlowe adalah vampire yang telah hidup beratus tahun semenjak zaman dia dan Shakespeare pernah kawan (filem ini seperti ingin mendedahkan konspirasi bahawa Marlowe sebenarnya adalah pengarang kepada Shakespeare). Kini di abad kedua puluh satu, Marlowe telah tua dan uzur, lalu dia menyembunyikan diri di dalam kamar rahsia di Tangier. Kesihatan Marlowe (dan juga rahsianya) diuruskan oleh seorang lelaki Arab bernama Bilal. Yang menariknya, dan kita hanya ketehui ini di hujung filem, si Bilal ini adalah seorang penulis dan merupakan anak murid Marlowe. Ketika Marlowe sudah terlantar nazak di atas katil (ketiadaan darah manusia yang bersih di Tangier), dia memberikan satu nasihat akhir kepada Bilal: "Humility... won't get you anywhere." Kamera kemudian beralih kepada sebuah potret Shakespeare di dinding. Kita faham maksud yang ingin disampaikan Marlowe kepada Bilal: aku telah korbankan namaku supaya seorang lelaki bodoh dapat menjadi terkenal di mata dunia!

Nasihat Marlowe sudah tentu bertentangan dengan nasihat Bolaño di atas. Tetapi saya kira kedua-dua adalah betul. Marlowe mungkin tidak terkenal seperti Shakespeare, tetapi Marlowe masih dibaca, dan hakikat dia menjadi salah satu watak dalam filem Jim Jarmusch, adalah bukti bahawa kerendahan diri ada juga manfaatnya. Lagipun, buat apa mati dan terkenal, kalau dapat hidup abadi dan mengetawakan seorang sahabat lama? Bukankah itu lebih seronok?

 
 
 

Comments

Popular Posts