Dua Puisi Alejandra Pizarnik (terjemahan bahasa Melayu)

 
Alejandra Pizarnik
 
 
Kedua-dua puisi adalah terjemahan saya berdasarkan terjemahan bahasa Inggeris yang dibuat oleh Yvette Siegert.
 
* * *
 
Fugue Dalam Lilac
 
Kau terpaksa menulis bukan untuk apa, bukan untuk siapa.
 
Tubuh ini mengenang cinta seperti cahaya lampu pelita.
 
Jika kesepian adalah godaan dan janji.
 
 
Dari Sebelah Sana
 
Ibarat pasir jatuh dalam sebuah jam, muzik juga jatuh ke dalam muzik.
 
Aku berduka di malam yang dicipta dari taring serigala.
 
Muzik jatuh ke dalam muzik seperti suaraku jatuh ke dalam suaraku. 
 
 
* * *
 
Ada penulis saya baca hanya untuk namanya kerana dalam kepala saya nama juga ada suara. Nama juga boleh menjadi puisi. Nama-nama itu adalah koleksi yang peribadi dan ada kemungkinan nama itu tidak bersuara dalam kepala orang lain: Sapardi Djoko Damono, Toto Sudarto Bachtiar, Virginia Woolf, Dante Gabriel Rosetti, Zaen Kasturi, Arena Wati, Karl Ove Knausgaard. Dan Alejandra Pizarnik, seorang penyair perempuan dari Argentina. Saya kutip dua buah puisi ini daripada buku terakhir Pizarnik A Musical Hell sebelum dia membunuh diri. Puisi Pizarnik mengingatkan saya kepada Chairil Anwar: penyair yang menangguhkan kematian dengan berlari ke dalam kata.
 
    

Comments

Popular Posts