Keindahan Dari Dalam

"To the Wonder" - keindahan mata dan dalaman

Ada keindahan yang lahir daripada mata dan ada keindahan  yang lahir daripada dalam. Kata dan puisi ada waktunya membawa kedua-dua bentuk keindahan ini seperti di saat kita membayangkan diri kita dalam puisi Goenawan Mohamad Di Muka Jendela. Kita melihat kesepian, kita merasa kesepian. Kemuncak pembacaan adalah apabila kita tidak lagi membaca, tetapi kita menjadi kata. Bukan kata yang tertulis di depan mata. Tetapi kata yang tersembunyi daripada pandangan mata. Kata yang tersembunyi antara ruang kata-kata. Ibarat cahaya yang mengalir dalam arus siang. Orhan Pamuk kata bahawa dalam setiap pembacaan, kita menghampiri suatu ruang graviti yang berada di jantung sebuah buku. Ia adalah sisa-sisa perasaan dan kebingungan yang kita rasa apabila baru sahaja selesai membaca sebuah novel. Kita termenung, kita berfikir. Kita menikmati sebentar kekosongan dalam diri kita. Tetapi kenapa ia kosong? Kenapa tiba-tiba ada ruang yang terbuka?
 
Pembacaan adalah kerutuhan ruang. Tetapi bukan untuk membangunkan ruang yang asing. Ruang itu sudah lama ada dalam diri kita. Cuma kita tidak pernah mendengar gema daripada dinding-dindingnya.
 
Setiap orang, saya kira, membaca untuk menikmati keindahan yang berbeza. Ada waktu kita hanya inginkan keindahan warna, keindahan sensual, tanpa mengambil kisah apa makusd dan kepetingannya. To the Lighthouse, The Waves, dan The Cardboard House adalah antara novel saya membaca untuk tujuan itu. Kata-kata Virginia Woolf, misalnya, adalah ruang yang hidup dan bernafas dalam imaginasi saya. Perlukah saya mentafsirnya? Perlukah saya berenang ke dasarnya? Entah, saya cuma ingin berenang dalam arus kata apabila membaca Virginia Woolf atau Martin Adan.
 
Tetapi ada waktu kita terpaksa berenang ke dasar kerana novel itu sendiri menuntut kita. Novel itu sendiri dibangunkan dari dasar diri seorang pembaca. Wilayah gelap dan sepi ini adalah wilayah permainan seorang novelis perempuan dari Brazil bernama Clarice Lispector. Hanya seorang perempuan yang boleh menulis novel seperti A Breath of Life atau Near to the Wild Heart. Apabila seorang penulis lelaki masuk ke dalam dirinya, dia hanya masuk ke dalam kepala. Seperti yang Beckett dan Bernhard lakukan. Tetapi apabila seorang penulis perempuan masuk, dia masuk ke dalam tubuhnya. Dan tubuh seorang perempuan adalah antara misteri terbesar kehidupan. Berapa ramai penulis perempuan yang sesat dalam tubuhnya? Kalau melihat puisi-puisi perempuan Indonesia, memang sangat ramai. Sebagai seorang lelaki, saya tidak tahu apakah jalan keluar apabila seorang perempuan telah sesat dalam emosi dan kelukaan. Namun berdasarkan apa saya pernah baca daripada puisi Emily Dickinson dan novel Clarice Lispector, jalan keluar bagi seorang perempuan adalah sadism. Dia harus menghancurkan tubuhnya. Bukanlah secara literal. Tetapi melalui kata-kata. Dia harus menghancurkan kata-kata dari dalam. Di situlah keindahan dan keistimewaan yang dimiliki oleh seorang perempuan.
         

Comments

waw, cara membaca yang sungguh mendalam...

Popular Posts