Kau Sudah Menjadi Fiksyen

Nicolas Cage & Nicolas Cage
 
Ada orang kata apabila dalam sebuah keluarga itu ada seorang penulis, maka hancurlah keluarga itu. Karl Ove Knausgaard pasti bersetuju kerana dia telah mengangkut seluruh ahli keluarganya ke dalam buku yang ditulis. Nama pun dikekalkan. Malah Karl Ove sendiri mengakui ceritanya adalah bersandarkan kisah sebenar. Mengarut, itu yang saya akan fikir apabila saya mendengar seorang novelis mendedahkan ceritanya bukan fiksyen. Semua penulisan adalah suatu bentuk fiksyen kerana minda kita adalah suatu bentuk fiksyen. Bahasa mengubah emosi dan memori menjadi kata. Bahasa mengubah manusia menjadi nama dan watak. Bahasa mengubah realiti menjadi fiksyen.
 
Sebenarnya seorang novelis mampu menghancurkan bukan sahaja keluarganya, tetapi sesiapa pun yang dia kenal. Jiran di sebelah rumah boleh menjadi watak. Paling popular adalah menjadikan kekasih atau bekas kekasih sebagai watak utama dalam novel. Graham Greene mengambil sedikit sebanyak pengalaman cinta bersama isteri orang lain ketika menulis The End of the Affair. Siapa berani nafikan novel A. Samad Said bukan datang daripada pengalaman cinta? Philip Roth menulis bukan tentang cinta, tetapi keresahan dan sengsara cinta bersama mantan isterinya dalam I Married a Communist. Saya fikir orang yang mengenali Saifullizan Tahir secara dekat mungkin akan rasa dia adalah salah seorang watak dalam novel Kasino.
 
Tetapi bukan semua novelis begitu terbuka untuk menceritakan pengalaman cintanya. Kadang-kadang ia tidak dapat ditemui langsung. Bolehkah kita menemui pengalaman cinta dalam novel-novel Enrique Vila-Matas? Atau novel-novel Shahnon Ahmad? Dunia Cormac McCarthy adalah hampir sepunuhnya dunia lelaki (bagaimana cinta seorang perempuan boleh bertahan dalam dunia yang hanya mengenal jenayah, dosa, dan keganasan?). Usia juga mampu membina jarak lebih luas dengan pengalaman cinta, melainkan si novelis masih berjiwa muda, dan masih hangat bermain cinta. Agak mustahil rasanya kita akan menemui sebarang pengalaman cinta dalam tulisan lewat Anwar Ridhwan.
 
Cinta kekasih adalah liar dan susah dikawal selalunya. Sementara cinta keluarga adalah emosi yang lebih peribadi dan sentimental. Terutama sekali apabila seorang ahli keluarga telah mati. Karl Ove Knausgaard menulis buku pertama dalam siri My Struggle untuk menceritakan tentang kematian ayahnya. The Invention of Solitude, tulisan Paul Auster, juga adalah penciptaan semula memori seorang ayah. Virginia Woolf dalam novel To the Lighthouse cuba membina semula hubungan perkahwinan mak ayahnya; sesuatu yang dia tidak dapat lakukan ketika mereka masih hidup. Bolehkah kita membaca novel itu tanpa merasai Puan Ramsay adalah emak Virginia Woolf sendiri? Ya, memang boleh. Tetapi bukankah ia adalah kerugian intelektual, dan emosi, kalau kita menafikan terus hubungan novel itu dengan kehidupan peribadi Woolf?
 
Penulis pun suka menulis tentang sahabat penulis. Selalunya bukan sebab cinta, tetapi gurauan. Saul Bellow kita tahu suka menulis tentang kawan-kawannya. Philip Roth pun sama. The Savage Detectives adalah novel untuk kawan-kawan seperjuangan Bolano. Saya pernah menulis tentang Roslan Jomel dan Roslan Jomel pun pernah menulis tentang saya. Tetapi watak kembar kami masing-masing adalah berbeza sama sekali dengan diri kami yang sebenar.
 
Penulisan itu jarang sekali mengambil serius pengalaman yang sebenar. Penulisan itu mengambil serius pengalaman yang sudah menjadi fiksyen.
 
 
     

Comments

Popular Posts