Emosi Sesudah Perang


Georges Simenon - terkenal dari segi jumlah buku dan juga jumlah perempuan yang ditidurinya
 
 
Mungkin agak berlebihan untuk saya bandingkan penulisan dengan peperangan. Yalah, apa sahaja yang seorang penulis berperang ketika menulis? Sakit belakang barangkali kerana terlalu lama duduk; kebosanan merenung dinding dan kipas angin; kertas-kertas yang terpaksa direnyuk dan dicampak ke dalam bakul; pen-pen hitam yang habis digunakan; cawan-cawan kopi yang diminum setiap pagi dan malam ibarat minyak petrol. Tetapi peperangan sebenar adalah dengan  masa. Terutama sekali buat seorang novelis. Dua atau empat tahun dihabiskan untuk sebuah projek yang belum tentu akan memberikan apa-apa hasil kepada pengarangnya. Lebih teruk kalau ia dibelasah oleh pengkritik dan pembaca. Itu belum kira jualan buku. Setakat ini, saya belum melalui pengalaman seteruk itu. Novel ketiga yang baru selesai ini mengambil masa setahun (lebih lama daripada dua novel saya sebelum ini). Sepatutnya ia dihabiskan lebih awal, tetapi - seperti biasa - saya melengahkan penulisan saya. Satu tahun saya anggap sebagai terlalu lama kerana saya  adalah orang yang cepat bosan dengan sesuatu idea. Ketika sedang sibuk menulis pun saya sudah ada perancangan untuk novel seterusnya, malah tidak sabar untuk segera siap dan masuk ke projek itu. Sebab itu, apabila ingin belajar mengarang, saya lebih senang berguru dengan novelis-novelis prolifik seperti Balzac, Henry James, Dickens, John Updike, Philip Roth, dan Joyce Carol Oates. Model terbaik bagi saya adalah Cesar Aira yang menulis satu tahun satu novel dan setiap novelnya itu sekitar seratus halaman sahaja. Dalam diarinya Joyce Carol Oates menulis bahawa apabila sebuah novel telah selesai, akan timbul suatu kesakitan sentimental untuk kembali pulang ke dalam komuniti penulisan. Ada satu jenaka tentang Anthony Trollope iaitu sebaik sahaja dia selesai menulis sebuah novel, dia akan sambung menulis novel seterusnya di halaman terakhir tadi juga. Balzac dan Georges Simenon masing-masing pernah menulis satu minggu satu novel (dan koleksi mereka melebihi seratus buah judul). Apakah emosi menyiapkan sebuah novel dengan begitu cepat? Adakah ia berbeza dengan mereka yang mengambil masa lebih lama? Entahlah. Cuma buat saya di saat ini, saya rasa seperti seorang Robinson Crusoe yang akhirnya menemui jalan pulang dan sedang terdampar di pantai. Mata merenung langit lalu membuat  kehidupan terasa begitu luas dan aman.      
 
     

Comments

Popular Posts