Di Mana Novel Alor Setar?
Alor Setar: pemandangan biasa di waktu malam |
Saya tidak pernah terfikir sebelum ini. Kita tahu Shahnon Ahmad adalah penulis terbaik dari Kedah, tetapi adakah Shahnon penulis terbaik dari Alor Setar? Pertama, Shahnon memang tidak lahir dan membesar di Alor Setar (dia orang Sik). Kemudian dalam novel-novel terbaik Shahnon (Ranjau Sepanjang Jalan, Tunggul-Tunggul Gerigis, Srengenge) tidak ada langsung bayang kota Alor Setar, padahal kita tahu, melalui esei dan memoirnya, Shahnon memang bergaul dengan orang-orang Alor Setar. Selalunya apabila Shahnon membenarkan udara urban masuk ke dalam novelnya, ia akan menjadi sebuah novel politik (Patriarch dan Menteri misalnya) kerana kekotoran di kota dibandingkan kekotoran dunia politik itu sendiri. Barangkali Sampah adalah novel Shahnon yang paling urban; tetapi ia juga adalah antara novel Shahnon paling nipis. Seperti kebanyakan penulis generasinya, kota hanya dipandang dari sudut gelap, sementara kampung adalah taman syurga manusia untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. Ada ironi juga kepada kepercayaan ini, terutama sekali buat tokoh-tokoh lelaki Shahnon, kerana semakin mereka menyerahkan diri kepada alam, semakin deras alam mengheret mereka ke lembah kematian.
Saya ada terdengar, ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri, seorang penulis tua Kedah membuat pengakuan bahawa Kedah adalah kilang kesusasteraan kerana negeri ini telah melahirkan ramai penulis besar. Tidak perlu saya sebutkan nama penulis-penulis itu kerana semangat kenegerian (dengan caci-maki berbahasa Inggeris yang superfisial) jenis ini sangat memualkan saya. Kedah baru ada dua sahaja pengarang besar iaitu Shahnon Ahmad dan Abdullah Hussain. Itupun kedua-duanya belum menghasilkan sebuah novel tentang Alor Setar. Kelantan sekurang-kurangnya boleh berbangga dengan Othman Kelantan kerana telah menulis Orang Kota Bharu.
Antara semua kota di Malaysia, Kuala Lumpur adalah yang paling kerap dipilih oleh penulis kita. Malah gelombang novel-novel indi sekarang adalah gelombang kota Kuala Lumpur. Suatu hal yang menarik tentang Kuala Lumpur sebagai sebuah potret kata-kata adalah ia sering kali dilukis oleh mereka yang datang dari luar kota itu. Saifullizan Tahir, Ridhwan Saidi, dan Roslan Jomel adalah antara penulis fiksyen terbaik tentang Kuala Lumpur sekarang, tetapi masing-masing berasal dari negeri lain. Dalam penulisan puisi pun sama. Banyak daripada puisi-puisi terbaik T. Alias Taib dan Latiff Mohidin itu adalah tentang Kuala Lumpur, tetapi kedua-duanya bukan orang Kuala Lumpur. Nak melukis potret Kuala Lumpur itu sendiri bukan kerja mudah. Saya dan Ridhwan Saidi selalu bertukar pendapat tentang bentuk novel bagaimanakah yang diperlukan untuk melukis kota Kuala Lumpur? Dari sudut apakah ia harus dipandang? Adakah Kuala Lumpur itu hanya tentang kelab malam, kafe, seks, dan korupsi? Dan paling penting: adakah Kuala Lumpur itu hitam dan putih sahaja warna emosinya? Saya kira masih banyak (sangat banyak) sudut-sudut di Kuala Lumpur yang belum diterokai oleh novelis kita. Saya sudah selalu baca novel tentang Selangor: tentang Damansara dan Subang Jaya (sangat tipikal bukan untuk novel indi mempunyai latar Damansara?). Tetapi saya belum baca novel tentang Cheras, tentang Batu Caves, tentang Pandan Indah, tentang Jalan Tunku Abdul Rahman, tentang Bukit Melawati (alternatif barangkali kepada bukit-bukit di Damansara dan Bangsar) tentang Jalan Tun Razak di era kegemilangan Flat Pekeliling (saya ingin sekali baca sebuah novel Flat Pekeliling!).
Itu cerita tentang Kuala Lumpur sebagai sebuah potret. Jadi bagaimana dengan Alor Setar? Agak aneh rasanya untuk kita mengharapkan fenomena di Kuala Lumpur berlaku di Alor Setar. Cuba bayangkan Roslan Jomel menulis cerpen tentang Alor Setar, cerita apa agaknya dia akan tulis? Barangkali lebih menarik daripada cerita yang akan ditulis oleh penulis Alor Setar sendiri. Tetapi kita harus akui Alor Setar itu bukan kota yang mempunyai banyak pintu metafora seperti Kuala Lumpur atau George Town (sebuah kota yang, setakat ini, hanya diterokai oleh Tan Twan Eng). Alor Setar adalah sebuah kota mati di utara Malaysia. Malah ada yang kata Jitra dan Sungai Petani jauh lebih hidup budaya dan ekonominya berbanding Alor Setar. Lalu apa yang sebuah kota hantu boleh tawarkan kepada seorang penulis? Barangkali cerita-cerita hantu sahaja. Tetapi bukankah cerita hantu pun seronok dibaca?
Comments