Siapa Novelis?



Jonathan Lethem

Saya bukanlah peminat Jonathan Lethem (mahupun Chabon) kerana sesungguhpun dia dan rakan-rakan seangkatannya cuba memecahkan tembok antara penulisan "serius" dan penulisan "genre," cerita mereka masih cerita Amerika. Ia berhenti di situ sahaja. Adiwira Amerika dalam cerita-cerita Lethem hanya kekal sebagai adiwira Amerika. Tetapi masalah ini sebenarnya bukan masalah generasi (atau masalah si Lethem secara individu); ia adalah masalah fiksyen Amerika pasca-Faulkner. Selepas Hemingway dan Faulker, siapakah pengarang Amerika paling berpengaruh di Eropah atau Amerika Latin? Mungkin Raymond Carver, tetapi pengaruh itu sangat terbatas. Ketika Carver muncul dengan cerpen-cerpen minimalisnya, Amerika Latin sudah siap dibentuk oleh Faulkner. Malah generasi kemudian seperti Cesar Aira, Jorge Volpi, Eloy Uroz, dan Roberto Bolano lebih senang memandang ke arah Eropah berbanding Amerika. Sebuah negara besar seperti Amerika ternyata membawa sejarah sasteranya seperti seorang tentera memandu kereta kebal. Dia terperangkap di dalam sebuah bongkah besi; dia hanya mampu memandu perlahan kerana bebannya sangat berat; dia hanya boleh melihat melalui lubang teleskop; dia sangat terbatas kerana kereta kebal itu dipandu bukan oleh seorang sahaja penulis, tetapi ratusan penulis yang ingin membuktikan dia mampu mencipta "The Great American Novel".
 
Dengan penulis generasi Lethem, saya lebih seronok membaca esei-esei mereka. Ada keghairahan, kenakalan, dan cinta sangat mendalam kepada komik adiwira, muzik Bob Dylan dan Zeppelin, tulisan Philip K. Dick, dunia noir Raymond Chandler, atau dunia fantasi H. P. Lovecraft. Saya suka membayangkan Lethem, Chabon, dan Dave Eggers sebagai budak-budak nerd dalam filem The Goonies atau Super 8. Anak-anak manja yang lari ke kedai komik selepas sekolah dan kemudian di sebelah malam menonton filem terbaru Steven Spielberg dan George Lucas di panggung. Tulisan prakata Dave Eggers untuk buku Donald Barthelme adalah antara esei terbaik tentang fiksyen avant garde anda akan pernah baca. Esei Lethem tidaklah selucu esei Eggers, tetapi pengakuannya sebagai novelis dalam What Remains of My Plan memikat saya:
 
"Sebenarnya, kerja yang saya buat tidak melayakkan saya untuk bercakap tentang semua benda, dan agak bahaya juga pendapat saya boleh mengalir mudah turun dari kepala kerana saya sering bermain dengan bahasa. Pendapat hanya pendapat. Apabila saya bercakap tentang politik, kelayakkan saya hanya sebagai seorang warga negara, seperti anda, dan bukan sebagai seorang novelis. Apabila saya bercakap tentang budaya - tentang lagu atau filem atau buku - kelayakkan saya adalah sebagai peminat. Saya pernah kenal seorang penagih dadah yang menceritakan kepada saya bahawa sebelum dia mengambil cocaine, atau dadah jenis lain, dia minum beer. Cocaine atau crack mungkin terkenal sebagai bahan berbahaya, haram, dan merosakkan, tetapi mamat ini hanya melihat beer sebagai tapak permulaan. Nah, sebelum saya menulis, dan di antara waktu ketika saya menulis, saya adalah seorang pembaca, dan sudah tentu apabila saya tidak berupaya untuk menulis lagi, saya tetap seorang pembaca. Itulah beer saya.
 
Siapa novelis? Saya mengasingkan diri daripada arus manusia untuk duduk sendirian dan menulis cerita tentang arus manusia yang tidak wujud. Setiap hari, untuk hidup, saya memanjat masuk dan kemudian menumbuk keluar daripada beg kertas solipsism saya telah bina - dan pada hari saya tidak boleh menumbuk keluar tidak ada seorang jurulatih yang akan meniup wisel dan memberitahu saya supaya keluar padang dan biar pemain lebih layak dari bangku simpanan masuk ("Mana Kecenderungan Negatif kau hari ini, hah?"). Berbanding benda lain, kerja ini seronok kalau kau tahu untuk masuk. Kesunyian menulis adalah berlebihan, terutama sekali kalau rak buku dekat, dan saya punya memang dekat pun."  

Mario Vargas Llosa mempunyai pendapat berbeza: seorang novelis adalah seorang penari bogel yang songsang; dia datang bogel dahulu ke tengah pentas, kemudian ketika menulis baru dia mengenakan pakaian satu demi satu. Bagi Roslan Jomel seorang novelis itu mungkin adalah seorang lelaki berkaca mata yang terkurung di dalam sebuah botol. Tidak kisahlah. Semua penulis ada tapak permulaan dan arak ketagihan masing-masing. Arak saya barangkali adalah Tintin dan buku permainan dadu Ian Livingstone.



Comments

Popular Posts