Pertemuan Dengan Muse

 

Ada buku yang tidak akan dilupakan dan ada pertemuan yang tidak akan dilupakan. Tiga tahun lalu saya pernah mencintai seorang perempuan yang saya anggap sebagai sebuah puisi dalam diri saya ketika kota Kuala Lumpur berhenti menjadi kata-kata yang indah. Bukan salah Kuala Lumpur juga apabila saya ingat kembali sekarang. Sebuah kota menjadi apa yang kita ingin ia jadi. Dan buat seorang anak muda yang baru mula bekerja dan terpaksa berdepan dengan orang-orang yang hanya tahu hidup dengan berbakti pada orang lain dan bukan menurut suara hatinya, sebuah kota seperti Kuala Lumpur boleh menjadi sebuah penjara, berbanding menjadi sebuah puisi. Lalu saya lari ke dalam diri seorang perempuan. Atau saya fikir saya telah lari. Padahal dia tidak pernah ada ketika saya mencarinya. Kecuali pada suatu malam. Tiga tahun lalu. Di KL Sentral.
 
Terlebih dahulu saya harus akui bahawa sampai sekarang saya tidak pernah senang dengan buku-buku yang saya panggil sebagai "buku budak jahat" atau "buku orang gelandangan." Kerouac, Bukowski, Celine, Ginsberg. Saya tidak ada masalah dengan mereka. Masalah saya adalah orang yang menjadikan mereka agama sebagai syarat untuk hidup gelandangan dan merempat di sebuah kota. Padahal, saya selalu fikir, kalau nak hidup gelandangan, hiduplah gelandangan. Buat agama sendiri di jalanan. Jangan pinjam agama orang-orang tua keparat dari Amerika. Kalau tidak, apa bezanya anda dengan kami (saya antaranya) yang kononnya tidak jahat dan memilih mengikut jalan-jalan berbudaya dan bermoral? Tetapi saya tidak berminat nak melayan hal ini kerana sesuatu mitos tidak akan hilang begitu sahaja. On the Road akan terus dibaca di masa depan oleh anak-anak muda yang tiba-tiba rasa hidupnya membosankan dan ingin memberontak dengan semua orang. Silakan. Teruslah membaca On the Road dan memberontak.
 
Berbalik kepada KL Sentral. Sesugguhpun saya tidak senang dengan buku-buku gelandangan, tetapi saya suka bersama orang-orang yang membacanya. Malam itu adalah kali pertama saya bertemu mereka. Masa itu saya masih ada kereta sendiri. Sudah hampir tengah malam ketika saya parkir kereta di KL Sentral. Di tempat duduk sebelah saya adalah beg sandang berwarna putih dengan logo Penguin Books Classic (saya baru sahaja membeli buku Borges, James, dan Barthalme). Saya datang ke situ kerana perempuan itu kata dia baru keluar dari hospital gila di Johor dan akan sampai di KL Sentral jam sebelas malam. Teman lelakinya mungkin juga akan ada. Tetapi saya tidak kisah. Kami berkumpul di food court tingkat dua. Ada lapan orang semuanya di meja itu. Masing-masing adalah penulis yang pernah menerbitkan sajak di zine. Dua orang daripada mereka berada dalam keadaan mabuk. Salah seorangnya adalah orang Kedah seperti saya dan kebetulan kami pernah belajar di sekolah sama. Dia memakai jaket coklat, rambut kerinting, dan matanya merah menyala. Dia tanya apa pendapat saya tentang Ulysses. Dia kemudian mengeluarkan buku Michel Houellebecq sebelum bangun dan tidur di atas kerusi di meja belakang. Mata saya hanya tertumpu pada perempuan dan muse saya; tetapi dia sibuk berbual dengan teman lelakinya. Di sebelah saya adalah si mabuk yang seorang lagi. Dia telah menjatuhkan bekas rokok secara tidak sengaja dan seperti tidak menyedarinya. Orang-orang di meja itu banyak bergurau, merokok, dan mengutuk antara satu sama lain. Sementara saya hanya diam di tempat saya. Tetapi tidak ada satu waktu pun yang saya rasa terasing atau marah ketika itu. Ia berbeza kalau saya hadiri acara kesusasteraan; lima minit pun saya tidak tahan sebelum  rasa nak bangun dan campakkan kerusi ke arah dinding. Namun dengan orang-orang gelandangan itu, saya rasa dikelilingi oleh emosi kejujuran. Rasanya tidak ada seorang penulis di meja itu yang pernah anggap saya sebagai sahabat (lebih-lebih lagi si muse saya). Tetapi selepas malam itu, setiap kali saya tersempak dengan mereka di kota ini, saya akan merasa kejujuran yang sama. Mungkin saya naif dan salah untuk mentafsirnya begitu. Tetapi biarlah. Saya menghargai kejujuran mereka dalam menerima manusia lain, walaupun saya tidak akan memahami jalan hidup yang mereka pilih.
 
Sebulan selepas pertemuan di KL Sentral, muse saya berpisah dengan teman lelakinya, dan dia bercinta dengan si mabuk yang menjatuhkan bekas rokok di bawah meja. Muse saya sekarang bukan lagi seorang muse untuk saya. Dan sebenarnya: dia bukan pun seorang muse; saya tidak pernah pun mencintainya. Kerana kita tidak boleh mencintai sebuah puisi; kita hanya boleh mencintai seorang manusia.
        

Comments

Anonymous said…
Macam kenal.

Popular Posts