Piala Dunia Sastera 2014

 
 
Juara Piala Dunia sastera 2014
 
Roberto Bolaño
 
 
Sangat menarik sebagai novel pertama
 
Valeria Luiselli. Masih muda. Pasti akan ada di Piala Dunia seterusnya
 
 
Sudah selesai. Jerman adalah pemenangnya. Berita gembira untuk abang saya di Kedah; dan berita sedih untuk sahabat baik saya di Jakarta. Harus tunggu empat tahun lagi untuk Piala Dunia seterusnya. Tetapi ketika Piala Dunia bola sepak sedang berlangsung di Brazil, mungkin tidak ramai tahu ada Piala Dunia sastera. Kelompoknya kecil sahaja dan ia dibangunkan di blog milik seorang editor buku di Amerika Syarikat. Negara-negara yang terlibat sama dengan negara-negara dalam Piala Dunia di Brazil. Buku yang dipilih mesti diterbitkan selepas tahun 2000 kerana, secara logiknya, memang sebuah Piala Dunia harus menampilkan pemain-pemain terkini dari negara masing-masing. Saya gembira melihat Jepun diwakili oleh Haruki Murakami (siapa lagi nak wakil Jepun?), walaupun 1Q84 bukanlah karya terbaiknya. Namun di peringkat kumpulan Murakami masih dapat menewaskan buku Marquez Memories of My Melancholy Whores. Amerika Syarikat diwakili oleh David Foster Wallace melalui The Pale Kings (mujur bukan Infinite Jest) dan ternyata dia menempuh laluan mudah hingga ke peringkat separuh akhir. Goncalo M. Tavares dari Portugal pun tidak cukup kuat untuk menundukkan novel gila (dan tidak siap) David Foster Wallace. Sewaktu saya nampak nama Zadie Smith sebagai wakil dari England, ada dua benda terlintas di fikiran saya: Pertama, novel di England telah bungkam. Kedua, Zadie akan kalah awal lagi di peringkat kumpulan. Dan malangnya penulis pertama Zadie bertemu adalah Elena Ferrante dari Itali. Dijamin kalah. Jerman, seperti Piala Dunia di Brazil, mempunyai calon yang sangat kuat iaitu W. G. Sebald melalui novel Austerlitz. Ramalan saya dari awal adalah novel ini akan pergi jauh dan mendapat undian banyak daripada para hakim. Seorang lagi calon kuat adalah Roberto Bolaño dengan novel By Night in Chile. Di peringkat suku akhir lawan Bolaño adalah Elena Ferrante (yang sebelum itu telah menewaskan Murakami). Nah, saya terfikir, bagaimana nak bandingkan dua orang penulis ini? Kedua-dua buku mereka sangat bagus, dan hampir mustahil nak memilih pemenang. Tetapi Bolaño akhirnya menewaskan Ferrante juga. Saya sedih tidak dapat melihat wakil Argentina, Cesar Aira, lepas jauh dalam pertandingan ini. Tetapi paling mengejutkan adalah undian yang diterima oleh Valeria Luiselli dari Mexico melalui buku Faces in the Crowd. Ini merupakan novel pertama Valeria; orangnya pun masih hidup dan muda, kalau nak dibandingkan dengan Bolaño, Wallace, dan Sebald yang sudah mati. Perlawanan akhir Piala Dunia sastera adalah  antara Mexico (Valeria) dan Chile (Bolaño). Dua buah novel nipis (lihat, novel tidak perlu tebal untuk "dinikmati!") dan dua suara baru dari benua Amerika Latin. Saya suka bentuk fragmen yang digunakan Valeria dalam novelnya, tetapi kita harus akui, kemenangan sangat jelas milik Bolaño.

Laporan dan keputusan penuh Piala Dunia sastera boleh dibaca di blog Three Percent.
 
Penulisan tidak sepatutnya menjadi pertandingan. Tetapi kalau empat tahun sekali, apa salahnya kita membaca dan membandingkan novel-novel yang telah muncul di abad ini. Bukan selalu kita dapat lihat Murakami turun padang bersama Marquez.
                  

Comments

Aris Kurniawan said…
wah, kaya sangat bacaanmu. menarik sangat membandingkan bola sepak dengan sastera...

Popular Posts