50 Buku Berat Untuk Pembaca Tegar
Marilyn Monroe membaca Ulysses |
Kegilaan membuat senarai ialah budaya baharu di internet. Malah ada laman web yang memang mengendalikan kerja ini secara khusus iaitu Flavorwire. Laman web sebegini saya anggapnya sebagai orang gaji kepada memori kita: ia datang sekali-sekala untuk mengemaskan stor dan memasukkan barang-barang bersepah di atas lantai kembali ke dalam kotak yang betul. Masalahnya - selepas membaca hampir setiap hari senarai-senarai di Flavorwire - ialah orang gaji kita ini datang terlalu kerap dan terlalu rajin membuat kerja sehingga stor memori kita menjadi garaj kepada kotak-kotak tidak berguna.
Saya secara peribadi sangat suka pada senarai; bukan senarai yang dibuat sendiri, tetapi senarai milik orang lain. Cuba fikir, apakah syarat utama untuk membuat senarai? (Katakanlah kita hendak membuat senarai barang-barang runcit untuk dibeli.) Tajuk? Tidak; boleh saja membuat senarai tanpa tajuk - rasanya banyak barang yang bersepah dalam otak kita ini boleh diletakkan dalam kotak tanpa tajuk. Berapakah bilangan barang perlu ada dalam suatu senarai untuk ia dipanggil sebagai senarai sah? Pun tidak ada jawapan. Senarai adalah jalan tanpa batas dan penghujung: ia bergantung pada kita di mana langkah kita akan berhenti. Umberto Eco - penulis mana lebih gila membuat senarai daripadanya? - ada memberikan penjelasan menarik tentang sejarah penggunaan senarai:
The list is the origin of culture. It’s part of the history of art and
literature. What does culture want? To make infinity comprehensible. It
also wants to create order — not always, but often. And how, as a human
being, does one face infinity? How does one attempt to grasp the
incomprehensible? Through lists, through catalogs, through collections
in museums and through encyclopedias and dictionaries. There is an
allure to enumerating how many women Don Giovanni slept with: It was
2,063, at least according to Mozart’s librettist, Lorenzo da Ponte. We
also have completely practical lists — the shopping list, the will, the
menu — that are also cultural achievements in their own right.
Bagaimanakah yang dikatakan sebuah novel berat? Itu yang saya asyik fikir ketika melihat senarai ini di Flavorwire. Infinite Jest; Moby Dick; 2666. Kalau soal ketebalan halaman, tidak dinafikan, ini adalah antara yang paling tebal anda akan pernah baca. Tetapi adakah disebabkan ia tebal, maka ia sering dianggap sebagai susah untuk dibaca? The Third Policeman oleh Flann O' Brien tidak tebal; tetapi saya percaya binaan naratif novel ini jauh lebih kompleks dan bijak daripada 2666. Salina, dan kebanyakan novel zaman perang di Malaysia, adalah tebal, tetapi bacaannya sangat ringan. Jadi ketebalan tidak boleh dikira sebagai kayu ukur di sini.
Bagaimana pula dengan tempoh pembacaan? Kalau ia cepat dibaca, maka ia ringan, dan kalau ia lambat dibaca, maka ia berat. Dan kalau ia tidak boleh habis dibaca, maka sudah tentu ia adalah klasik! Begitu? Saifullizan Tahir pernah menceritakan kepada saya yang dia tidak membaca Ulysses kerana tidak ada seorang pun kawan-kawannya yang habis membaca buku itu. Ukuran sebegini memanglah sangat subjektif. Saya mungkin boleh menghabiskan mana-mana novel oleh Murakami dalam satu kali duduk, tetapi bagi orang lain, ia mungkin mengambil masa lebih lama. Namun apabila kita selesai dengan sebuah novel Murakami, pernahkah kita rasa ada bahagian daripada diri kita masih tertinggal di belakang? Jarang. Kafka on the Shore atau After Dark tidak memaksa kita untuk kembali ulang membacanya. Mungkin sekali atau tiga kali baca sudah cukup. Tetapi pernahkah kita selesai membaca In Search of Lost Time atau Hopscotch? Saya masih membaca kedua-dua novel ini dan ia tidak akan pernah selesai buat saya.
Jadi, kalau waktu ingin dijadikan sebagai ukuran, maka ini adalah syaratnya: infinite.
Tetapi ini pun belum cukup. Kenapa Ulysses dan Infinite Jest adalah antara novel terbaik di dunia? (Dan mungkin antara paling susah.) Kompleksiti permainan, lantas, kompleksiti kehidupan. Cerita asas novel sebegini selalunya tidak susah: Ulysses adalah cerita satu hari tentang dua orang lelaki yang keluar berjalan-jalan di kota Dublin. Peristiwa penting pun hanya ada satu dalam novel ini: pertemuan antara Leopold Bloom dan Stephan Dedalus. Jadi, kalau ceritanya sangat mudah, kenapa susah sangat kita nak membaca novel Ulysses? Atau Infinite Jest? Sebabnya adalah tidak ada satu cara saja untuk membaca kedua-dua novel ini. Karya yang kompleks adalah muzik yang kompleks: ia hadir daripada gabungan pelbagai alat muzik. Karya yang kompleks bercakap bukan untuk satu suara, tetapi pelbagai lapisan suara dalam fikiran kita. Karya yang kompleks adalah ibarat landasan berpintal-pintal roller-coaster.
Dan keseronokan menaiki roller-coaster sudah tentu tidak sama bukan dengan keseronokan menunggang kuda komedi putar? Ia menakutkan, tetapi apa salahnya cuba sekali seumur hidup.
Berbalik kepada senarai lima puluh buku berat di Flavorwire. Ini adalah antaranya:
- Infinite Jest (David Foster Wallace)
- Heart of Darkness (Jospeh Conrad)
- Hopscotch (Julio Cortazar)
- War and Peace (Leo Tolstoy)
- Moby Dick (Herman Melville)
- The Tunnel (William Gass)
- To the Lighthouse (Virginia Woolf)
- The Castle (Franz Kafka)
- The Collected Stories of Lydia Davis (Lydia Davis)
Sebenarnya ada beberapa novel dalam senarai ini yang saya anggap tidak berat langsung. Heart of Darkness sangat tidak berat, malah tidak mencabar! Henry James jauh lebih susah untuk dibaca daripada Conrad (saya sendiri pernah tertidur beberapa kali membacanya). Tetapi ini hanya senarai bukan? Kalau kita tidak puas hati dengan satu senarai, buatlah senarai sendiri.
Comments
:komrad