Kematian: Di Manakah Tangga Itu?

Lukisan oleh Matticchio

Setiap penulis membawa tangga di bahunya apabila menulis. Dia mungkin akan turun atau mungkin akan naik, dan ini ada kaitan dengan hubungannya terhadap bahasa, dan untuk kembali ke dalam bahasa bermaksud untuk berpindah, atau memanjat, keluar daripada dirinya sebagai subjek, dan seterusnya menjadi sebahagian daripada mereka. Menjadi makna yang diungkapkan dan bukan sebaliknya.

Kondisi tekstual sering dibayangkan sebagai laluan yang selapis atau sehala di mana ia menjadi tempat untuk seorang penulis melarikan diri. Atau secara puitikanya ia sering disebut sebagai ruang solitude: dunia yang Rilke menasihatkan setiap penyair muda harus cari untuk dia mengetahui motif dan inspirasi yang mendorongnya untuk menulis. Tidak dinafikan, sastera moden ialah sastera yang bersifat dalaman dan satu dimensi. Atau lebih tepat: sastera moden ialah pandangan dunia yang kabur kerana ia tidak pernah melihat dunia yang ditatapinya. Novel Joyce dan Proust melihat keluar tetapi ia tidak pernah melihat secara jelas, atau ia memilih untuk tidak melihat. Sebaliknya tatapan sastera moden sentiasa memantul kembali ke dalam dirinya. Ke ruang solitude yang dicari - dan barangkali ditemui - oleh Rilke. Kafka juga menemuinya, tetapi ia adalah sumpahan buat Kakfa. Sebaik saja dia jatuh ke dalam ruang itu, dia tidak tahu di manakah jalan untuk keluar. Namun dia tidak ingin keluar; dia ingin kekal dalam ruang penulisan yang ditemuinya. Dilema antara ingin keluar dan ingin kekal ini dihasilkan oleh Kafka dalam cerpen Kafka The Burrow. Philip Roth dengan bijak sekali membacanya sebagai dilema dalaman Kafka sendiri. Malah mungkin tidak melampau untuk merumuskan keseluruhan karier kepengarangan Roth sebagai lanjutan bacaan kepada cerita Kafka ini.  

Kenapakah binatang dalam cerita itu bersungguh-sungguh ingin melindungi sarangnya? Adakah terlalu menakutkan kuasa asing yang mungkin atau tidak mungkin mencerobohi sarang peribadinya? Antara penulis dan orang biasa, saya fikir penulis sepatutnya berasa lebih kurang terancam dengan kejahatan di luar jendelanya. Melainkan dia juga adalah penyumbang kepada kebangkitan kuasa tersebut. Dan ini bukan bermaksud dia melakukannya secara jelas. Tetapi ia adalah kerana dia telah menutupkan mata kepada kejahatan. Antara Joyce dan Beckett, rasanya Joyce tidak ada masalah untuk melakukannya. Dalam kata-kata Beckett sendiri, "Bagi Joyce, tidak ada beza antara daun yang gugur dan bom yang gugur ke tengah sebuah kota." Ya, itu sudah pasti. Semakin jelas dan semakin peribadi bahasa seorang penulis, semakin susah untuk dia melihat. Lebih baik menjadi buta. Dengan Beckett, ia bukan lagi soal mahu melihat atau tidak, tetapi bagaimana untuk melihat sekiranya bahasa menjadikan penulis itu buta? Patutkah dia berpura-pura melihat? Atau menunggu saja? Dilema Beckett hampir sama dengan apa yang dilalui oleh Kafka: Beckett ingin penulisan meninggalkan "aku-subjek" di luar pintunya, tetapi sebaik saja dia cuba membawa penulisan berpijak di bumi nyata, ia hancur menjadi abu. Malah ia tidak sempat pijak pun sebenarnya. 

Mana-mana penulis akan tahu perasaan yang dilalui apabila mereka masuk ke ruang peribadi yang ditemui oleh Kafka. Selagi dia boleh menulis selagi itu dia akan duduk di dalam ruang ini. Ia mudah untuk membayangkannya sebagai sebuah bilik tertutup dan yang ada sebagai perabot adalah katil dan meja tulis. Tetapi saya meragui imej ini kerana ia membataskan apa yang kita faham sebagai ruang. Penulisan mungkin bersifat peribadi, tetapi pengucapannya tidak pernah terpisah daripada kondisi umum. Setiap suara yang dilontarkan akan terpantul kembali ke dinding penulisan. Sisa yang tertinggal itu disebut sebagai gema kesepian. Dan dalam gema ini ialah bermulanya pembacaan. Semakin kuat gemanya semakin jauh jarak yang dibina antara seorang penulis dengan kita. Maka, sebab itu dalam karya-karya hebat kita tidak akan pernah menemui pusat gravitinya: semakin kita menghampirinya semakin ia menolak kita ke belakang dan akhirnya kita terpaksa menyerah. Lantas betul apa yang disebut oleh Italo Calvino bahawa sebuah karya klasik berfungsi sebagai vakum yang menelan segala kebisingan dunia ke dalamnya.  

Bagaimana jadinya apabila sebuah karya selesai ditulis? Bagi Zadie Smith tidak ada kata-kata yang boleh menggambarkan kepuasannya; Zadie sendiri menangis sambil terlentang di atas lantai belakang rumahnya selepas menyiapkan sebuah novel. Ada penulis jatuh sakit sampai enam bulan. Proust mati terus sebelum sempat melihat karya agungnya diterbitkan. Tangga yang asalnya dibawa untuk masuk ke dalam karya, akan digunakan semula untuk panjat keluar. Tetapi tangga itu akan ditinggalkan di belakang. Dan di sini akan bermula masalahnya: pada posisi manakah patut ia diletakkan? Kalau terlalu dalam, tangga itu akan berada terlalu jauh dengan dunia di atasnya; dan kalau terlalu atas, ia akan terpisah daripada dunia penulisan di bawahnya. Saya fikir tidak ada penulis yang berjaya memberikan posisi terbaik kepada tangga itu. Akan ada saja orang terjatuh apabila cuba menggunakannya. Sebab itu saya tidak percaya pada interpertasi pembacaan. Ia tidak boleh berlaku kerana tidak ada tangga yang kekal stabil. Yang lebih penting ialah mencari ruang kemungkinan untuk jatuh ke dalam sebuah karya.  

Afrizal Malna dalam proses kreatifnya mengatakan yang dia menulis dari sudut negatif. Ada "layar hitam" yang membentangi sebagai latar kepada puisi-puisi yang ditulis oleh Afrizal: "Tetapi selalu saja layar hitam itu kembali datang, seperti kuburan waktu yang saya tidak tahu isinya. Betapa ganjilnya apabila saya menulis puisi hanya untuk menggotong layar hitam itu ke setiap daerah berlangsungnya medan politik permaknaan." Penulisan barangkali menjadi medan teater buat Afrizal kerana apabila dibawanya kata-kata ke tengah kehidupan, akan datang layar hitam itu bersama untuk menyelimutinya. Di sini ruang yang Afrizal bangunkan untuk dirinya sebagai penyair menjadi terhimpit dengan wacana sosial dan politik. Sudut negatif yang Afrizal inginkan ialah tentangan kepada wilayah di luar tembok kepenyairan; lantas kematian menjadi senjata utama. "Keinginan untuk mati mungkin juga bagian yang eksistensialistis sifatnya untuk mencari makna, untuk berada dalam wilayah yang bermakna, untuk tidak jatuh ke dalam jurang kehidupan yang tanpa makna sama sekali."    

Tetapi bukankah untuk mati juga bermaksud untuk hidup? Bukankah menulis - penulisan yang berterusan tanpa henti - adalah perlindungan kepada makna dan kebenaran: iaitu penangguhan kepada kematian? Mencari Tuhan bermaksud mencari keabadian. Iaitu usaha untuk melanjutkan waktu semasa. Agama menganjurkan rasa cinta kerana cinta tidak pernah berakhir waktunya. Namun kita tahu yang cinta sentiasa berada di wilayah asing kepada kehidupan. Ia sentiasa berada beberapa langkah di depan kita. Justeru waktu memerlukan kematian sebagai titik hitam di atas kertasnya. Sekali pandang, kita boleh membuat silap dengan menuduh Afrizal sebagai menganjurkan penulis untuk membunuh diri bagi membentuk makna hidup. Tidak salah juga untuk  membunuh diri, saya fikir. Kerana setiap penulis menggali kuburnya sendiri dengan kata-kata; sebagai persediaan kelak; dan apabila tiba masanya untuk turun ke dalam liang lahad, sudah ada tangga  tersedia menunggu.

Comments

Popular Posts