Improvisasi Don Quixote
Kesangsian ialau sudut pandang yang menulis sebuah novel. Sementara kepastian menghentikannya. Seorang novelis tidak akan (atau tidak boleh) tahu novel yang telah ditulisnya, kerana sebaik saja ia mula ditulis, novel itu telah terhapus atau lenyap. Dalam penulisannya, menyusun naratif ialah menyusun sempadan kepada ruang yang telah hilang dan ruang yang telah tercipta ini. Ia berlaku tanpa disedari oleh novelis itu. Ruben Dario pernah kata yang "gaya bahasa aku mencari bentuk;" tetapi bentuk ini ialah bentuk yang rapuh; dan mungkin ia tidak pernah dijumpai kerana semakin bahasa itu menghampiri bentuk yang dicarinya, semakin bentuk itu bergerak jauh ke dalam bayang. Lantas improvisasi tidak lain daripada percubaan seorang novelis untuk menangkap bayang-bayang yang sering hilang ini.
Tetapi untuk menangkap ialah untuk melepaskan. Kerana lebih daripada penulis lain, mereka yang membuat improvisasi tidak boleh mencipta apabila bayang itu berada terlalu dekat: mereka yang hanya boleh menulis dengan memandangnya daripada jauh. Cesar Aira dan John Banville, sebagaimana kita tahu, tidak boleh langsung memandang ke belakang setelah suatu bentuk ditinggalkan. Langkah mereka sentiasa di depan dan untuk menulis (terutama sekali buat Aira) bermaksud sentiasa menyusun langkah seterusnya yang akan diambil. Disebabkan itu saya selalu melihat impian avant-garde sebagai impian yang mustahil kerana ia tidak boleh memusnahkan bayang yang ditinggalkan di belakang; ia hanya boleh membina jarak dan maju ke depan seolah-olah tidak ada sejarah dan masa depan untuk menghalangnya.
Di dalam eseinya untuk majalah Letras Libres, Roberto Gonzalez Echevarria menawarkan suatu pembacaan baru ke atas novel Don Quixote. Dia mencadangkan yang Don Quixote sebenarnya ditulis secara improvisasi oleh Cervantes, dan bukan dirancang secara terperinci. Sudut pandang ini tidak susah untuk diterima kalau kita bersedia untuk membaca pengembaraan Don Quixote dan Sancho Panza sebagai pengembaraan Cervantes di dalam ruang penulisan. Ini juga sudut pandang yang pernah dipilih oleh Kafka ketika menulis parabel berjudul The Truth about Sancho Panza: di dalam parabel ini, Kafka menceritakan yang segala fantasi Don Quixote berpunca daripada Sancho Panza yang telah memberikan kepadanya terlalu banyak buku pengembaraan kesatria. Tujuan Sancho ialah untuk memesongkan minda Don Quixote ke alam fantasi dan melindungi dirinya daripada pengaruh kegelapan Don Quixote. Kafka, seperti Sancho Panza, memang menulis untuk melindungi dirinya daripada penulisan. Kafka tidak mencari bentuk, tetapi bentuk itu yang datang menghantui penulisan Kafka.
Cervates menduga jauh lebih awal masalah ruang dan kematian penulisan sebelum adanya Kafka. Di beberapa tempat dalam eseinya, Echevarria menunjukkan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan oleh Cervantes ketika mengarang Don Quixote. Saya tidak fikir Cervantes menyedari setiap daripada kesilapan ini. Visi untuk Don Quixote sudah tentu datang dengan sangat jelas kepada Cervantes; tetapi masalahnya ialah ia telah hadir sebagai dunianya tersendiri. Ia hadir sebagai ruang yang cukup mandiri. Lalu, dengan kesediaan menerima teori pembacaan Echevarria, ketika Cervantes berfikir "bagaimana aku akan tulis buku ini?" dia mungkin, secara tidak sedar, membayangkan, "bagaimana aku akan mengembara di ruang dan dunia asing ini?" Echevarria percaya kaedah pengembaraan itu ialah improvisasi:
"Improvisation in Don Quixote
is a dynamic display of how art is subject to the corrosive force of
time, and its dependence on the contingent that comes in infinite time
and space, and in the limited powers of the artists that are no longer
have a clear idea of the limits, but a keen awareness of his own
limitations.
Improvisation is the answer to both restrictive and liberating this
circumstance is essentially a pact between the burden of the past and
the lightness of the future, between rigid models and their adaptability
to the conditions of the creator. The novels will be from now on the product of that arrangement.
Always bear the mark of his temporal and Immaculate Conception, which
the deficiencies are your best testimony, expressed through irony is
submitted to the novelist.
This is what Sterne and others like Joyce and Proust collected over the
history of the genre, including Flaubert, the neurotic perfectionist
who suffered harshly for it."
Kalau improvisasi ialah penentangan kepada batas ruang waktu, ia hanya menjadi suatu kondisi semasa kepada seorang novelis untuk menyelesaikan urusan kepengarangan. Ia adalah lanjutan usia. Penangguhan realiti daripada menjelma. Dengan Cervantes, penangguhan ini bersifat infiniti, kerana melalui kegeniusan dan visinya, dia mencipta improvisasi yang tidak ada kesudahan. Cervantes terpaksa menulis buku kedua kepada pengembaraan Don Quixote kerana dia memerlukan kestria tua ini untuk melihat kembali pengembaraannya di dalam cermin: dia memerlukan Don Quixote membuat improvisasi ke atas improvisasinya sendiri.
Novel-novel yang datang selepas Don Quixote, meneruskan tradisi Cervantes bukan kerana mereka telah menemui ruang baru yang bebas; tidak, mereka hanya mencipta dunia asing, tetapi ia adalah dunia di dalam dunia yang sudah sedia ada. Cermin di dalam cermin: improvisasi di dalam improvisasi.
Comments