Novel Terbaik 2012: Bartleby & Co.
Old Woman Reading oleh Gerrit Dou |
Saya mempunyai ingatan yang tidak bagus dengan buku. Saya cenderung untuk lupa setiap buku yang saya baca dan sekiranya saya membuat catatan - tidak pernah di dalam buku itu sendiri - ia mungkin akan hilang atau disimpan dengan sangat lama dan di tempat yang mustahil untuk saya cari dan ulang baca. Dan saya tidak suka membaca tulisan tangan saya. Lebih seronok mencatat; tetapi selepas beberapa minit catatan itu akan nampak membosankan dan saya tidak boleh membacanya lagi. Membuat senarai - saya kira ia suatu penyakit budaya Web 2.0 yang saya jangkiti - juga sama; seronok untuk dibuat - macam saya tengah seronok sekarang - tetapi saya yakin esok saya akan menyesal kerana telah melakukan kerja tidak berguna ini. Tetapi saya akan teruskan saja. Dan menyesal kemudian.
Pertama, saya ingin berlaku kejam dengan pembaca Malaysia: senarai saya tidak ada langsung novel Melayu. Kenapa? Jawapan saya ialah kerana senarai di bawah. Tutup kes. Jangan tanya lagi.
Kalau ikut keinginan saya - dan senarai ini adalah bias terhadap keinginan tersebut - sepatutnya ada lima puluh buah novel yang saya perlu sebutkan. Pengalaman satu tahun membaca novel ialah pengalaman satu tahun melukiskan potret diri menggunakan sejuta jenis warna daripada imaginasi bukan seorang saja penulis, tetapi ratusan, dan setiap satunya berbeza dan unik. Semakin banyak novel kita baca semakin luas jarak yang kita bina antara diri kita dengan dunia. Membaca novel ialah pengalaman untuk berjalan: pengalaman untuk membina jarak tersebut dengan seluas mungkin. Ia adalah ironi untuk saya katakan ini tentang pembacaan sebuah novel kerana ia ditulis dalam sebuah medium digital yang dicipta bukan untuk membina jarak, tetapi merapatkannya. Laman sosial dikatakan merapatkan hubungan manusia, tetapi teknologi ialah tembok tebal yang tidak boleh dilihat: ia tidak merapatkan kita dengan dunia melainkan menyempitkannya lagi.
Dalam sangkar tikus yang sempit ini - kita telah selesa menjadi tikus - manusia tidak lagi berminat untuk membaca novel. Terlalu banyak masa diperlukan dan teknologi telah membuat kita bertambah sepi: kita perlukan manusia lebih daripada buku. Namun adakah manusia - nama dan gambar dan status - di skrin komputer itu sama dengan manusia di luar? Adakah ia mempunyai emosi dan berbicara dengan kita? Atau sekadar data di dalam sebuah mesin?
Barangkali ada yang skeptik - dan pengguna teknologi ialah pengguna yang skeptik - terhadap kemanusiaan sastera kerana tulisan di dalam sebuah novel hanya titik-titik hitam di atas kertas. Betul; ia adalah himpunan titik hitam - himpunan simbol bahasa - tetapi himpunan ini adalah himpunan yang disusun dan himpunan yang dibina menjadi sebuah naratif kukuh. Kita tidak boleh samakan susunan titik hitam di dinding Facebook dengan susunan titik hitam di dalam sebuah buku seperti Ulysses dan Bumi Manusia. Sama seperti kita tidak boleh samakan imej sebuah iklan dengan imej sebuah lukisan. Seni mengaturkan minda manusia menjadi imej dan emosi, sementara teknologi mengaturkan minda manusia menjadi data dan maklumat.
Senarai ini dibuat - ia bukanlah pemilihan yang terlalu serius - dengan kesedaran bahawa kita perlukan novel sekarang lebih daripada generasi sebelum kita. Kita memerlukan novel untuk meluaskan kembali jarak yang telah disempitkan oleh teknologi - walaupun kita menggunakannya; seperti saya gunakan blog ini. Kita memerlukan jarak untuk bernafas dan jarak untuk melihat dan jarak untuk mendengar suara kita dan orang lain dengan lebih jelas.
Cukup rasanya sembang-sembang berat. Terus ke senarai.

Ini ialah sebuah novel kontemporari dan tajuknya datang daripada puisi John Ashbery. Jika ada satu novel yang boleh dijadikan peta untuk landskap penulisan novel di Amerika sekarang, ia adalah Leaving The Atocha Station oleh Ben Lerner. Selepas generasi Franzen-Wallace-Lethem, novel di Amerika mula mengalihkan kompas ke arah Eropah Tengah. Lebih spesifik: kompas itu dihalakan ke kubur W. G. Sebald dan Robert Walser. Penulis-penulis meditatif dan baroque - penulis-penulis yang menulis novel tetapi novel yang tidak boleh dianggap sebagai novel. Ben Lerner lebih berminat berjalan dan berfikir di dalam novel ini berbanding bercerita; tetapi di situ juga kenikmatan membacanya.
Tidak ada penulis yang lebih penting untuk saya sekarang daripada Cesar Aira. Saya membaca Aira untuk kaedah penulisannya - dia menulis secara improvisasi dan dikatakan tidak pernah membuat penyuntingan - dan imaginasi: ia adalah imaginasi paling bebas yang saya boleh bayangkan: kita tidak pernah tahu ke mana Aira akan bawa kita dalam novelnya. Melalui The Seamstress and the Wind, kita akan sekejap berada di dalam teksi bersama mesin jahit dan pakaian pengantin, dan kemudian kita akan melayang ke udara selepas melanggar belakang sebuah lori, dan tiba-tiba akan berjalan di tengah padang pasir menuju ke tempat yang boleh dianggap sebagai hujung dunia. Sangat menggodakan.
Operation Shylock ialah novel paling keras kritikan politiknya - yalah, ia cerita tentang Yahudi di Gaza - dan juga paling melucukan dalam senarai saya tahun ini. Di situlah bagi saya terletaknya kegeniusan Philip Roth - sila pertikaikannya kalau mahu - iaitu kebolehan untuk membentuk sebuah novel komedi menggunakan subjek yang tidak akan diterokai oleh penulis-penulis pengecut (bukan semua penulis Yahudi berani menulis tentang masalah Yahudi seperti Roth). Selain itu - dan ini lebih penting buat saya - keberanian Roth dalam novel ini menunjukkan keberaniannya untuk mengambil subjek yang dia diberikan semenjak lahir - selaku orang Yahudi - tanpa rasa malu. Membuat pengakuan ialah bentuk penulisan yang sangat susah, tetapi membaca Operation Shylock ternyata memberikan kejutan terhadap bentuk ini, dan membuat ia nampak mudah untuk dibaca. Kita berpeluh dan ketawa dan kita menangis. Tetapi patutkah kita ketawa sebenarnya?
Paul Auster ialah jambatan antara penulis generasi Bellow-Updike-Roth dengan penulis generasi Marcus-Cole-Lerner: dia menggunakan bentuk novel Eropah dengan naratif melodrama keluarga di Amerika. Saya kurang menyenangi melodrama Amerika gaya Auster ini sebenarnya - ia sering meletihkan dan terlalu panjang - tetapi ada suatu misteri dalam cara Auster merekakan bentuk setiap novelnya. Bagai menara kad poker yang mencabar kita untuk menarik keluar setiap satu kad dalam urutan betul; kalau tidak permainan ini tidak akan difahami; kalau tidak misterinya tidak akan terjawab. Michael Dirda pernah memberi pujian kepada tajuk novel-novel Auster, dan ternyata saya bersetuju dengannya: Oracle Night, City of Glass, Mr. Vertigo, The Book of Illusions, dan Leviathan. Membaca Auster memberikan kita ketagihan kepada bentuk, dan selepas membaca Leviathan, ketagihan itu akan menjadi bertambah serius.
Untuk mengubah tradisi, sebuah novel itu harus terlebih dahulu menjadi sebuah Komet Halley kepada sesuatu abad. Ia susah untuk ditemui dan jarang melintas dalam pembacaan kita, tetapi apabila ia datang, pandangan kita akan beralih ke arahnya bagaikan penemuan penting di angkasa: ia terang dan terbakar di udara dan dalam tempoh agak lama kita menatap fenomena baru ini kerana kita ingin memahaminya. Mungkin akan ada yang meraikan. Mungkin akan ada yang menolaknya. Tetapi ia telah datang, dan seperti kata Roberto Bolano, "karya ini telah menyusun semula kanon kesusasteraan." Tajuk novel Enrique Vila-Matas Bartleby and Co. datang daripada novel Herman Melville Bartleby the Scrivener: cerita tentang seorang copy writer bernama Bartleby yang tidak boleh dan tidak ingin menyiapkan kerja-kerjanya - "I would prefer not to," ungkapan terkenal Bartleby kepada majikannya - sehingga akhirnya Bartleby berhenti terus. Berdasarkan cerita Bartleby, Vila-Matas membina sebuah novel tentang senarai novelis yang memilih untuk berhenti menulis. Tom McCarthy dalam sebuah artikel telah membandingkan novel terakhir David Foster Wallace The Pale Kings dengan cerita Bartleby Melville, dan ia adalah perbandingan yang tepat, malah ia boleh juga diletakkan bersebelahan dengan novel Vila-Matas. Namun disebabkan The Pale Kings hanya berfungsi untuk meneruskan tradisi penulisan moden yang suda sedia ada, sementara Bartleby & Co. mengubah tafsiran kita terhadap tradisi tersebut, maka ia tidak boleh dianggap sebuah novel penting di abad ini. Dan ia juga adalah sebab kenapa Bartleby & Co. ialah juara dalam senarai saya pada tahun 2012.
Comments