Cerpen-Mikro Terbaik 2012: Parabel Franz Kafka
Henri oleh Dmitry Samarov |
Semenjak blog ini kali pertama membuka tirai pentasnya, saya tidak pernah - dan ia bukanlah sesuatu yang saya selalu fikirkan - menyenaraikan buku dan cerita terbaik - pilihan saya sudah tentu - untuk sesuatu tahun. Lebih penting daripada itu - dan ini ialah puncanya saya rasa - saya jarang membuat ulasan buku secara terperinci. Malah boleh kata tulisan saya di blog ini tidak suka mengarahkan sasasrannya pada buku yang spesifik, tetapi lebih berminat untuk berjalan dalam bulatan mengelilingi subjek yang lebih umum. Atau peribadi.
Memberikan senarai karya terbaik adalah banal bagi saya. Tetapi ia ditetap dilakukan oleh penulis dan pembaca - di laman web The Millions sebagai contoh - dan ia sentiasa menarik untuk dibaca dan diketahui. Kita ingin tahu pembacaan orang lain - baik atau buruk; hiburan atau bosan - untuk mencerminkan pembacaan kita sendiri. Tetapi di situ juga paradoks kepada suatu senarai-buku-yang-menarik-atau-wajib-dibaca, ia tidak boleh mengajar - apatah lagi memaksa - kita bagaimana untuk membaca. Jadi, dalam kata lain, tidak akan ada buku yang boleh dipersetujui oleh semua orang sebagai terbaik: yang ada hanya pembaca dan dunia imaginasi seorang pembaca yang kadang-kadang membuka pintu untuk kita keluar dan masuk ke dalam dunianya.
Tahun ini tahun yang paling banyak saya membaca cerpen-mikro dan juga tahun saya menyedari yang ini ialah genre baru yang bakal lahir ke dalam sastera. Saya kata bakal lahir (atau mungkin tidak lahir) kerana ia belum bersedia untuk diterima secara terbuka dalam dunia yang dihuni oleh gergasi-gergasi media sosial. Ini bukan zaman yang mempunyai simpati kepada eksperimen seni. Tidak ada lagi seniman yang boleh duduk tenang di dalam menaranya tanpa diganggu oleh tekanan dunia digital. Tidak ada lagi seniman yang boleh enak memerhatikan bayang bermain-main pada dinding tanpa ada seorang Mark Zuckerberg atau seorang David Karp datang menceroboh untuk memadamkan cahaya pelitanya. Namun, dari sudut lain, mungkin ini juga zaman paling ideal buat fiksyen-mikro memperkenalkan dirinya kerana manusia sekarang berfikir dan berkomunikasi secara mikro. Manusia sudah menjadi gajet walaupun Jaron Lanier telah cuba membina tembok terakhir untuk menyelamatkan kemanusiaan kita daripada dijual melalui bukunya You Are Not A Gadget.
Di tangan saya - bagaikan getah yang melekit di jari - ada beberapa cerpen-mikro hebat yang saya boleh jentik masuk dan umumkan sebagai terbaik. Antaranya ialah cerpen Andres Neuman berjudul Continuity of Hell. Saya panggil ini cerpen karma kerana berlakunya kitaran waktu atau pusingan takdir kepada watak dalam cerita jenis ini: dan cerita Neuman mempunyai karma yang menakutkan kerana ia memerangkapkan wataknya di dalam neraka. Seorang lagi penulis yang pernah membuat cerpen jenis ini ialah Lydia Davis. Lebih awal daripada mereka ialah Kafka dan parabel-parabel terkenalnya. Bagaimana pula dengan Poe dan Lovecraft?
Nama-nama lain yang telah menghiburkan saya ialah Georges Perec, Fernando Iwasaki, Robert Walser, dan Augusto Monterroso. Tetapi saya akan pilih salah satu parabel Kafka sebagai cerpen-mikro yang paling mengesankan untuk saya tahun ini. Tajuknya ialah Harimau:
"Terdapat seekor harimau yang pernah dibawa ke seorang pelatih binatang terkenal bernama Burson untuk diminta pendapatnya sekiranya harimau ini boleh dijinakkan. Sangkar kecil tempat harimau itu dikurung kemudian ditolak masuk ke dalam sangkar latihan dengan dimensi sebuah dewan umum; ia berada di dalam sebuah khemah yang terletak agak jauh daripada pekan. Para pengunjung mengundurkan diri: Burson sememangnya suka bersendirian dengan binatang yang pertama kali ditatapnya. Harimau itu tergeletak malas setelah kenyang diberikan makan. Ia menguap, sambil mata mengantuknya melihat sekeliling, dan ia pun terus tertidur."
Cerpen ini tamat di saat kita tidak sangka ia akan berakhir. Adakah ia sudah jadi jinak? Apakah yang bakal dilakukan oleh Burson? Harimau ini ialah kontra kepada Seniman Lapar Kafka yang juga menjadi binatang hiburan di dalam sangkar; harimau ini makan dan menjadi malas sementara Seniman Lapar itu tidak makan dan menjadi sengsara. Seni ialah hiburan dalam dunia Kafka; namun komedinya ialah bukan kerana ia berjaya, tetapi kerana ia gagal, dan ia gagal kerana ia berjaya.

Comments