Voyeurisme Kuala Lumpur

Lukisan Ernest Chiriaka

Encik A dan Hogarth menyusur keluar daripada bahagian buku falsafah dunia dan di situ Hogarth nampak seorang perempuan sedang menyelak halaman-halaman buku Slavoj Žižek. 

"Tengok tu, seorang lagi Marxis," kata Hogarth kepada Encik A yang  berjalan tanpa memandang judul-judul buku di depan matanya; fikiran dia bagaikan melayang jauh dari situ; tubuh dia bagaikan terkinja-kinja di udara; dan dia tersenyum yang seakan-akan terlalu sempurna untuk dikira sebagai senyuman. Atau itu sekurang-kurangnya itu yang Hogarth fikir tentang sahabatnya.

"Mungkin dia saja berminat dengan nama tu. Žižek. Seperti kita tertarik pada nama sebuah bandar yang kita tidak pernah dengar," kata Encik A sementara wajahnya masih tersenyum.

"Žižek. Žižek. Macam nak sebutnya? Kenapa nama ahli falsafah continental ni selalu susah nak sebut? Barthes. Sartre. Foucault. Ia seolah-olah mereka saja ada nama susah untuk dipadankan dengan pemikiran mereka yang kompleks. Dan kita terpaksa belajar menyebut nama mereka dengan betul sebelum kita boleh faham tulisan mereka," kata Hogarth sambil mengikut dari jauh perempuan yang sedang diperhatikannya. 

"Ia lebih mudah Hogarth kalau kamu keluar saja dari tempat ni. Kedai buku bukan tempat untuk mengenali falsafah. Ia ibarat orang yang ingin mengenali baseball tanpa pernah turun ke New York untuk perlawanan Yankees," kata Encik A.

"Saya tak tengok baseball. Terlalu kelakian. Dan terlalu fizikal."

"Sukan memang fizikal."

"Berjalan lebih mudah. Ia sudah cukup fizikal untuk saya."

"Maksud kamu berjalan dalam kedai buku sepanjang hari?"

Mereka sudah masuk ke bahagian buku bahasa Jepun. Perempuan yang diikuti oleh Hogarth berhenti di rak yang menawarkan majalah-majalah fesyen dan hiburan. Atau dia saja masuk ke situ kerana dia tahu dia diperhatikan? Atau mungkin dia turut nampak seseorang yang menarik dan dia sedang mengikuti orang itu seperti mana Hogarth sedang mengikutinya? Atau ini ialah salah satu kaedah yang seorang warga kota telah ciptakan untuk melengahkan waktu mereka iaitu masuk ke wilayah asing, ke bahagian bahasa asing, ke dunia asing, dan membaca bahasa dan tulisan ikonik yang mereka tidak faham kerana ia seolah-olah mengisi ruang kekosongan dalam diri mereka? 

"Apa masalah berjalan di dalam kedai buku?" tanya Hogarth tanpa memerhatikan Encik A, "Ia sihat. Dan selamat. Kita boleh jalan sambil berpegang tangan dengan Nabokov dan Zadie Smith dalam fikiran kita. Dan bila kita bosan, kita boleh berjalan dengan Sebald. Atau Robert Musil. Atau Kay Ryan. Dan selalunya kita tidak akan cukup tangan kerana ramai orang yang berjalan bersama kita. Ia seolah-olah semua orang sedang berjalan-jalan di sekeliling bahtera Nabi Nuh tanpa mempunyai keinginan atau hasrat untuk naik ke dalam bersama Nuh." 

"Kamu bercakap tentang bahtera itu seperti ia adalah sebuah novel. Moby Dick."

"Mungkin juga. Atau mungkin kerana bahtera itu sudah penuh dengan binatang. Dan ia tidak ada ruang lagi untuk manusia. Kecuali Darwin barangkali. Atau Richard Dawkins."

Hogarth dan Encik A sekarang berada di tempat duduk belakang sebuah teksi. Ia membelok keluar dari Jalan Tun Razak. Melintas Hospital Tawakkal. Berhenti di depan McDonald's. Sepasang kekasih masuk ke dalam teksi dan duduk di tengah memisahkan Hogarth dan Encik A dan menekan tubuh mereka rapat ke pintu. Perempuan yang duduk di sebelah Encik A ialah perempuan sama yang diperhatikan oleh Hogarth di kedai buku.

Lelaki dan perempuan itu berkucupan. Berpeluk. Berbisik. Sesuatu tentang orgasm dan John Lennon dan bab terakhir Finnegan's Wake. Dan teksi itu bergerak seolah-olah tahu ke mana mereka akan pergi.  

"Awak dengar apa mereka bisikkan? Ia sungguh absurd," kata Hogarth.

"Bukankah ia lebih absurd untuk kita berada di sini? Mengintip rahsia hidup orang lain," kata Encik A sambil menepis tangan perempuan itu yang cuba untuk berehat di atas pahanya. 

"Itu ialah kerja kita Encik A. Kalau kita tidak mengintip, kita akan hanya jadi kucing yang membosankan untuk bermain."

"Tapi kamu melihat dan mendengar sebagai orang asing. Bagai jiran yang mengintip melalui dinding orang di rumah sebelah. Kamu tidak tinggal bersama mereka. Kamu hanya mendengar suara di dalam dinding. Tapi kamu bukan suara itu."

"Nak menjadi adalah harga yang terlalu tinggi untuk dibayar Encik A," jelas Hogarth. Dia menyentuh dagu lelaki itu. Tajam dan lincin. Seolah-olah ia diperbuat daripada batu. "Lihat lelaki ini Encik A. Dia mempunyai semua kualiti yang saya tidak ada. Kacak. Putih. Tengok rambut dia, tengok. Ia macam tidak disikat tapi boleh berdiri dengan kemas seolah-olah setiap helai rambut berwarna perang itu dapat berjalan beriringan dnegan angin kota ini. Dan badan dia Encik A. Hmmm.... Bentuk badan yang seolah-olah dicipta berdasarkan teori ukuran simetri iaitu idea yang menyatakan bahawa transformasi simetri dapat dibentuk melalui simetri lokal. Ia seolah-olah buku yang sempurna ditulis. Dan perempuan itu ialah pembaca yang ideal kepada buku tersebut."

"Kamu terlalu objektif Hogarth. Kehidupan bukan dicipta melalui kata-kata."

"Encik A, saya menjadi objektif untuk menjadi subjektif. Dan cuba Encik A ingat balik, pengalaman kita lalui semasa membaca sebuah novel detektif noir. Penyiasat dalam buku tersebut mengintip seorang perempuan yang akhirnya kita tahu akan menjahanamkan kehidupan dia. Tapi dia tetap melakukan pengintipan. Kerana dia terpaksa. Itu saja kerja yang dia tahu untuk hidup. Dan untuk wujud sebagai manusia (sebagai lelaki barangkali juga). Lalu apabila kerja pengintipan ini dilakukan dengan terlalu lama - tahun demi tahun - ia mula mempengaruhi kehidupannya. Rumah hanya menjadi gua untuk menggantungkan gambar dan bahan bukti. Dia mungkin akan berpindah ke hotel murah untuk melarikan diri. Sambil terlentang di atas katil bujang, diterangi cahaya neon merah dari papan iklan di luar, dan menghembuskan asap rokok ke siling seolah-olah melepaskan wajah perempuan-perempuan yang dia pernah ikuti dan ingati ke tahap obsesi dan cinta; namun kemudian di saat itu baru dia sedar - dan baru kita sedar sebagai pembaca - bahawa dia bukan lagi mengintip kehidupan mereka, melainkan mereka sebaliknya sekarang sudah mengintip masuk ke dalam kehidupan dia. Kita mengintip orang lain Encik A hanya untuk membenarkan orang itu mengintip kita kembali."

Sudah malam. Encik A dan Hogarth masing-masing berjalan di bawah payung di susuran aspal tasik Sri Rampai. Tidak jauh daripada mereka ialah perempuan di dalam teksi tadi. 

"Wajah dia mirip wajah isteri saya," kata Encik A tersenyum. 

"Eh, tak mungkin mirip. Lain sama sekali bentuk wajah mereka," kata Hogarth.

"Kalau kita memandang dari luar, mungkin ia akan kelihatan berbeza. Tapi ia sama saja bagi saya Hogarth. Sama juga dengan kota ini. Ia tidak ada beza dengan kota lain apabila kita sudah melihat semuanya. Yang penting ialah menjadi kota tersebut. Memahami isinya luar dan dalam."

"Seumur hidup kota yang saya akan kenali hanya Kuala Lumpur. Mengenali Kuala Lumpur adalah mengenali tubuh saya. Dan mengenali tubuh saya adalah mengenali manusia lain. Barangkali."

"Bagaimana dengan perempuan itu Hogarth? Apa yang istimewa tentang perempuan itu untuk kamu?"

Lukisan Francesco Francavilla

Encik A dan Hogarth berada di dalam bilik tidur sebuah apartmen kos rendah. Keremangan bilik itu diterangi oleh cahaya lampu bilik mandi yang melimpah mausk melalui celah daun pintu. Perempuan itu sedang mandi.

Hogarth membuka lampu di atas meja solek. Dia duduk. 

"Saya melihat perempuan ini dan saya melihat seorang yang saya tidak kenali," kata Hogarth, "Seorang yang bukan diri saya. Tapi saya tahu dia adalah sebahagian daripada Kuala Lumpur. Bagai organ yang terpisah daripada tubuh. Ia berjalan dengan sendirinya. Ia naik bas; ia menonton wayang; ia minum kopi di Jalan Telawi; ia membuat protes sosial di depan KLCC; ia memakai beg jenama Gucci barangkali.Dan ia membaca Žižek. Organ, atau seketul jantung barangkali, yang mendefinisikan kewujudannya melalui kata-kata dan pemikiran Žižek."

"Namun kamu tidak akan pernah menegurnya Hogarth. Kerana kamu percaya hubungan adalah sesuatu yang mengasingkan. Kamu percaya sebuah kota seperti Kuala Lumpur mengasingkan manusia seperti kata-kata di dalam sebuah kamus. Atau senarai filem di dalam sebuah iklan akhbar. Cuba bayangkan sekarang Hogarth, apabila dia keluar dari bilik mandi itu. Mungkin dia akan bogel. Kecantikan tubuhnya membelakangi cahaya lampu yang terang. Kami bagaikan menjadi buta dibuatnya. Namun itu saja yang kamu akan tahu tentangnya Hogarth. Di dalam kecerahan. Di depan mata. Tapi kamu akan buta sebaik saja lampu dipadamkan."

"Ya... bagai lampu di dalam sebuah panggung," kata Hogarth memandang wajahnya di dalam cermin.

"Skrin yang kamu akan lihat hanya paparan imaginasi kamu," kata Encik A menghampiri Hogarth lalu meletakkan tangan di atas bahunya. 

Hogarth melunjurkan kaki ke kerusi depan kerana hanya dia dan Encik A saja yang berada di dalam panggung tersebut. Sebentar lagi filem itu akan tamat. Hogarth seronok memerhatikan wajah Jean Seberg. Dan  tiba-tiba muncul di babak itu ialah Hogarth sendiri, berpakaian gaya seorang detektif.

"Barangkali, Encik A, imaginasi ialah satu-satunya jendela yang kita ada untuk melihat kehidupan orang lain.," kata Hogarth, " Dan barangkali dalam kegelapan itu kita akan menemui kata-kata yang hilang. Dan bersembunyi. Kata-kata yang tidak malu untuk menceritakan kebenaran di sebuah kota yang sepi."

Hogarth menghulurkan popcorn kepada Encik A. Lalu mereka sama-sama mengunyah dalam diam. 
    

Comments

Anonymous said…
"Encik A, saya menjadi objektif untuk menjadi subjektif. Dan cuba Encik A ingat balik, pengalaman kita lalui semasa membaca sebuah novel detektif noir. Penyiasat dalam buku tersebut mengintip seorang perempuan yang akhirnya kita tahu akan menjahanamkan kehidupan dia. Tapi dia tetap melakukan pengintipan. Kerana dia terpaksa. Itu saja kerja yang dia tahu untuk hidup. Dan untuk wujud sebagai manusia (sebagai lelaki barangkali juga). Lalu apabila kerja pengintipan ini dilakukan dengan terlalu lama - tahun demi tahun - ia mula mempengaruhi kehidupannya. Rumah hanya menjadi gua untuk menggantungkan gambar dan bahan bukti. Dia mungkin akan berpindah ke hotel murah untuk melarikan diri. Sambil terlentang di atas katil bujang, diterangi cahaya neon merah dari papan iklan di luar, dan menghembuskan asap rokok ke siling seolah-olah melepaskan wajah perempuan-perempuan yang dia pernah ikuti dan ingati ke tahap obsesi dan cinta; namun kemudian di saat itu baru dia sedar - dan baru kita sedar sebagai pembaca - bahawa dia bukan lagi mengintip kehidupan mereka, melainkan mereka sebaliknya sekarang sudah mengintip masuk ke dalam kehidupan dia. Kita mengintip orang lain Encik A hanya untuk membenarkan orang itu mengintip kita kembali."

Macam Daniel Quinn.

Popular Posts