Cerpen-Mikro: Augusto Monterroso (II)
Mencabar kesedaran pembaca |
Cerpen-mikro. Ini ialah istilah baru. Jadi apakah definisinya? Kita tahu apabila soalan itu ditanya, ia ditanya dengan sedikit nada sinikal, dengan sedikit nada ragu-ragu, dan mungkin dengan sedikit nada kebimbangan seolah-olah "benda baru" ini ialah serangga terancam yang mesti segera diklasifikasikan mengikut spesis dan label balang sebuah makmal eksperimentasi. Kerana apabila ia sudah jadi bahan eksperimen, kita boleh melepaskan nafas lega: yalah, kan ia hanya eksperimen; dan eksperimen akan kekal sebagai eksperimen di dalam makmal - ia bukan untuk kita yang tidak tahu apatah lagi mengambil kisah kerja-kerja orang gila di dalam makmal.
Kerja gila ini juga dilakukan oleh mereka yang mencipta puisi prosa. Sampai sekarang ia masih dianggap sebagai tikus putih di dalam sangkar; binatang mainan para penyair yang dilihat sebagai tidak berbakat dan sengaja ingin melanggar hukum genre untuk membuktikan kepenyairan mereka.
Bagaimana pula dengan "espen" (esei + cerpen)? Nak letak Mohd. Affandi Hassan di dalam makmal barangkali sudah tidak lagi sesuai kerana ternyata pengikut-pengikut Affandi sudah menyeledupkan dia keluar dan menjadikan Affandi sebahagian daripada mereka, bagaikan orang-orang alim yang mengambil Bart Simpson sebagai pemimpin dan pembaca khutbah. Tapi Affandi bukan Bart Simspon. Imej itu terlalu jauh ke depan buat Affandi; terlalu komersil; terlalu pascamoden; terlalu ke-Baratan untuk level Affandi. Kerana Affandi mencipta sesuatu label ketika label itu sudah lama digunakan. Kerja Affandi ialah ibarat kerja pencipta mesin merentas masa yang bersusah-payah membina mesin tersebut tahun demi tahun hanya untuk mendapati lima tahun kemudian, ketika ia sudah siap dan sedia untuk diperkenalkan kepada dunia, mesin hebat itu telah dicipta oleh orang lain dan kini menjadi iklan di belakang kotak bijirin perisa coklat anak-anaknya.
Tapi apa boleh buat; memang itu risiko kerja orang yang mencipta label. Sama dengan risiko orang yang ingin melanggar sesuatu bentuk. Hasilnya pasti seekor monster. Dan kadang-kadang kita perlukan monster untuk menakutkan orang: kita perlukan monster untuk membangkitkan kesedaran terhadap realiti.
Kafka mencadangkan kapak sebagai senjata untuk memecahkan kesedaran. Tapi di zaman sekarang kapak saja tidak cukup. Kapak tidak boleh memusnahkan Google, Amazon, Facebook, dan Twitter. Pembaca tidak memerlukan metamorfosis daripada karya seorang penulis - mereka boleh melakukannya setiap hari di depan komputer. Fiksyen perlu hadir dalam bentuk lebih radikal. Dan dalam bentuk yang lebih cacat.
Sementara kita sibuk membincangkan tentang monster, mari kita tengok salah satu cerpen-mikro paling pendek di dunia dan antara yang terbaik dalam tradisi ini, iaitu tulisan Augusto Monterroso berjudul Dinosaur:
"Dan ketika dia terjaga, dinosaur itu masih ada."
Sangat mudah bukan? Namun semua ganjaran dan kenikmatan yang kita inginkan daripada sebuah fiksyen ada dalam cerita ini.
Bagaimana kita nak petakan lokasi sebenar cerita ini? Adakah watak itu sedang bermimpi? Adakah ia berlaku di zaman purba? Atau mungkinkah ia berlaku di zaman moden akibat suatu kebocoran dimensi waktu sehingga menyebabkan binatang kuno ini boleh muncul di depan katil watak kita pada suatu pagi? Mana-mana satu daripada situasi ini saya bersedia untuk menerima. Kerana apa yang Monterroso tawarkan kepada kita ialah sebuah cerita yang sudah dipotong bahagian awal dan akhirnya. Kita tahu apabila ia bermula dengan kata penghubung "Dan" seolah-olah cerita ini asalnya datang dari dunia lain dan ketika Monterroso menulisnya, dia sekadar melanjutkan cerita itu kepada kita.
Tetapi setelah ia sampai kepada kita pun, kita tahu dilema watak ini dengan dinosaur itu tidak akan berakhir. Ia akan berterusan. Tanpa penghujung. Dan terus bercerita.
Comments