Konsert Kritikan Steven Moore

Menurut Steven Moore, penulisan novel bermula beribu tahun lebih awal daripada Robinson Crusoe


Pendapat penulis tentang sastera dan penulis lain ada hari membuat saya rasa seperti hendak berenang ke pulau terdekat dan paling terpencil di dunia ini dan menggali kubur paling dalam di situ dan setelah saya masuk saya ingin mengalami tidur paling lama dan paling indah sehingga semua kata-kata penulis itu hilang daripada ingatan saya.

Mari kita tengok secara rawak beberapa pendapat Jonathan Franzen dan anda akan faham maksud saya:

"Edith Wharton did have one redeeming disadvantage: she wasn't pretty."

Dan lagi tentang Wharton,

"[The House of Mirth] can be read...as a sadistically slow and thorough punishment of the pretty girl she couldn't be."

"The wealth of a country and its creation of realistic literature are linked."

"Literary difficulty can operate as a smoke screen for an author who has nothing interesting, wise, or entertaining to say." Dan ini komen datang daripada seorang penulis Amerika yang tidak dapat habis membaca novel Moby Dick (terlalu susah atau tidak menarik barangkali bagi level Franzen).

Dan ini pula ialah pendapat saya tentang Franzen: kehadirannya ternyata menyemak saja dunia kritikan sastera. Dan pendapat Franzen bukannya kritikan pun. Retoriknya lemah dan tidak memikat. Dia tidak ada style dan wit dan elegance langsung; dan ini aneh kerana Franzen ialah pengarang yang sering mendewakan penulisan fiksyen di abad kesembilan belas; penulisan yang mainstream; penulisan yang realistik; penulisan untuk pembaca umum; penulisan yang jelas dan senang ditafsirkan bahasanya; penulisan yang mudah! Franzen bagaikan lupa adanya penulisan novel di abad kelapan belas dan abad kedua puluh. 

Terserahlah kalau Tolstoy dan Dickens ialah dewa-dewa yang mempengaruhi penulisannya. Tetapi apabila dia masuk ke panggung penulisan yang lain, dia bagaikan hilang akal dan sengaja ingin membuat kecoh. Dia bagaikan orang-orang gila dalam dunia Dostoyevsky yang terpaksa bercakap dan terpaksa berkelakuan monyet di hadapan orang lain kerana orang-orang itu tidak ingin mereka bercakap kerana mereka dilihat sebagai bodoh, namun kerana mereka dilihat sebagai tidak berkepentingan untuk bercakap, mereka menjadi lebih ghairah untuk bercakap tentang percakapan yang mereka sendiri tidak ingin cakapkan, tapi, mereka terpaksa cakap kerana dengan bercakap tentang percakapan yang mereka tidak patut cakap, mereka akan memperbodohkan orang-orang yang tidak ingin mereka bercakap tadi. Dan selalunya percakapan orang-orang ini ialah percakapan yang tidak waras; walaupun ia boleh menjadi menarik dan dramatik. Sayang sekali, Franzen bukan Dostoyevsky: Franzen bukanlah dramatis yang bagus.   

Dia bukan Steven Moore.

Steven Moore, melalui bukunya The Novel: An Alternate History, bukan saja menunjukkan bakatnya sebagai pengkritik yang dramatik (melodrama barangkali deskripsi yang lebih sesuai), tetapi juga kesungguhan dalam mengubah cara kita memandang sejarah penulisan novel di Barat. Bagi Moore, penulisan novel itu tidak bermula dengan Robinson Crusoe - seperti yang selalu disebut oleh pengkritik dan sarjana sastera. Malah ia bermula lebih awal - jauh lebih awal - daripada Don Quixote. Moore mengambil rujukannya daripada karya-karya klasik di Mesir, Cina, Jepun, Ireland, Iceland yang dia melihatnya bukan saja sebagai karya klasik, tetapi juga sebuah novel.  

Bahagian paling memikat saya ialah pengenalan Moore kepada buku ini kerana dengan panjang lebar Moore mengeluarkan hujah demi hujah untuk membantai B. R. Myer, Dale Peck, dan Jonathan Franzen (dia menggelarkan mereka sebagai MPF) yang dilihatnya sebagai malaikat atau kesatria perang salib yang ingin mempertahankan kota suci mereka iaitu penulisan novel mainstream. Saya terkejut Moore tidak memasukkan sekali nama James Wood  kerana Wood ialah seorang lagi kesatria kepada kota suci tersebut; walaupun dia jauh lebih bijak sebagai pengkritik daripada Franzen; dan jauh lebih halus bahasanya daripada Peck; dan berbeza dengan angkatan MPF, James Wood memahami fiksyen dan tahu bagaimana untuk menterjemahkan fiksyen kepada bahasa kritikan yang berbobot. 

Antara semua pengkritik di Amerika, Steven Moore ialah yang paling ekstrem dalam mempertahankan penulisan abad kedua puluh; iaitu penulisan moden; iaitu penulisan yang dihasilkan sebagai kerja kesenian dan bukan produk kilang untuk diedarkan kepada masyarakat. Penulisan yang serius dan susah. Lagi susah ternyata lagi bagus buat Moore. Lantas kita boleh faham kenapa dia tidak boleh membaca Cormac McCarthy dan kenapa dia rasa seperti hendak gantung diri kalau dia terpaksa membaca kembali novel Samuel Richardson. Kita mungkin tidak akan bersetuju dengan semua pendapat Moore (dan seperti mana-mana pengkritik yang mempunyai teori tentang penulisan, ia adalah terbatas), tetapi keghairahan Moore dalam berhujah sangat lantang dan sangat memikat, kita terpaksa duduk dan dengar. 

Kalau kritikan Harold Bloom dan James Wood adalah seperti mendengar sebuah persembahan orkestra. Maka, Steven Moore ialah konsert Woodstock! Kalimat-kalimat Moore itu bagaikan melompat dan menjerit di atas kertas. Cuba lihat ini iaitu ciri-ciri novel yang Moore ingin baca:   

"Give me fat novels stuffed with learning and rare words, lashed with purple prose and black humor; novels patterned after myths, the Tarot, the Stations of the Cross, a chessboard, a dictionary, an almanac, the genetic code, a game of golf, a night at the movies; novels with unusual layouts, paginated backward, or with sentences running off the edges, printed in different colors, a novel on yellow paper, a wordless novel in woodcuts, a novel in first chapters, a novel in the form of anthology, Internet postings, or an auction catalog; huge novels that occupy a single day, slim novels that cover a lifetime; novels with footnotes, bibliographies, star charts, fold-out maps, or with reading comprehension test or Q & A supplement at the end; novels peppered with songs, poems, lists, excommunications; novels whose chapters can be read in different sequences; or that have 150 possible endings; novels that are all dialogue, all footnotes, all contributors' notes, or one long paragraph; novels that begin and end in midsentence, novels in fragments, novels with stories within stories; towers of babble, slang, shoptalk, technical terms, sweet nothing; give many-layered novels that a erect a great wall of words for protection against the demons of delusion and irrationality at loose in the world."

Permintaan Moore yang panjang dan gila ini; permintaan yang ditulis dalam satu baris; ialah antara tulisan kritikan paling monumental dalam sejarah kesusasteraan. Ia juga adalah tulisan kritikan paling eccentric yang saya pernah baca. Kita boleh hentam teori penulisan yang Moore bawa; kita boleh kutuk penulis-penulis avant-garde yang diangkat oleh Moore; kita boleh mempertikaikan kualiti kesarjanaan (dan mungkin kewarasan Moore sekali) buku ini; tetapi apabila kita sampai ke bahagian yang saya telah petik di atas, kita kena diam dan tepuk tangan saja.    

Ia adalah konsert kritikan yang memuaskan.
   


Comments

Popular Posts