Mengingati The Aleph dan Cerita Borges Berjalan Bersama Estela Canto
untuk Sufian Abas
The Aleph |
Borges dan Estela Canto |
Kita hidup dalam ruang. Semua orang memerlukan ruang untuk bergerak, untuk bernafas, untuk bercakap, untuk diam, untuk termenung, untuk berfikir, untuk tidur, untuk membaca, dan barangkali untuk menulis.
Georges Perec lebih faham tentang ruang berbanding mana-mana penulis dalam sastera sehingga memang sangat padat ruang dalam dunia fiksyennya. Susah untuk kita berjalan. Kata-kata Perec adalah ibarat perabot yang ditindan-tindan atas setiap lapisan minda kita.
Lalu apabila kita beralih kepada Borges, kita akan perasan pada mulanya yang ruang Borges kelihatan seperti tidak ada banyak beza dengan Perec. Ia padat dan ekonomi. Tetapi ternyata dunia Borges bukan dunia sebuah apartmen; ia bukan sekadar pintu, katil, tingkap, lif, tangga, lampu, meja, peti sejuk, payung, pensil, dan almari yang berantakan seperti mana kita jumpa dalam apartmen Perec. Dunia Borges ialah dunia sastera: ibarat dunia yang dia sendiri bina dalam cerpen The Aleph iaitu "tempat kepada seluruh dunia."
Kebetulan, sekarang ialah bulan September, dan ia membuat saya lebih ingat tentang The Aleph yang diterbitkan pada tahun 1945 dalam bulan sama di majalah sastera terkenal Argentina berjudul Sur yang diasaskan oleh Victoria Ocampo.
The Aleph sebenarnya bermula dengan sebuah cerita cinta. Lebih tepat: ia bermula dengan cerita berjalan kaki.
1944. Seorang penulis Argentina bernama Estela Canto telah datang ke rumah pasangan Adolfo Bioy Casares dan Silvina Ocampo (adik kepada Victoria) untuk makan malam. Turut berada bersama mereka ialah seorang lagi penulis Argentina yang pada masa itu sudah terkenal dan mengalami masalah penglihatan: Borges.
Ini merupakan pertemuan pertama Estela dengan Borges. Sebelum malam itu lagi Estela memang seorang peminat Borges; malah dia pernah menyertai sayembara penulisan dengan tujuan untuk mengumpan selera Borges yang merupakan salah seorang panel hakim.
Ketika mereka hendak pulang, Borges menawarkan dirinya untuk menemani Estela sampai ke stesen kereta api. Sampai di atas tangga ke platform bawah tanah, Borges mencadangkan yang mereka patut terus berjalan lagi. Lalu sejam kemudian mereka sampai ke sebuah kafe di Avenida de Mayo. Perbualan mereka telah beralih kepada sastera. Estela meluahkan minatnya kepada drama berjudul Candida. Ini membuat Borges sedikit terpempan kerana itu ialah kali pertama dia mendengar seorang perempuan menyukai karya George Bernard Shaw. Borges telah terpikat.
Di hujung perbualan mereka, dengan penglihatannya yang tidak sihat, Borges memberikan pujian kepada Estela: "The smile of Gioconda and movement of a chess knight."
Mereka meninggalkan kafe tersebut ketika ia hendak ditutup. Dan mereka sambung berjalan sampai jam tiga pagi. Beberapa hari kemudian Borges mengirimkan buku Conrad Youth ke rumah Estela.
Dalam tahun-tahun akan datang mereka banyak menghabiskan masa berjalan-jalan dan naik trem listrik di sekitar selatan Beunos Aires. Trem listrik kegemaran Borges ialah trem nombor 7 yang dia ulang naik ke tempat kerjanya di perpustakaan. Di atas trem ini juga dia belajar bahasa Itali dengan membaca buku puisi terkenal Dante.
Pada tahun 1945, Borges mengirimkan surat kepada Estela memberitahu yang dia akan menulis sebuah cerpen untuknya. Cerpen itu ialah The Aleph.
Selepas ia diterbitkan pada bulan September, Estela datang bertemu Borges di Hotel Las Delicias. Ini ialah tempat yang sangat penting buat Borges kerana ia ialah tempat dia tinggal bersama keluarganya ketika musim panas, selain membaca buku di situ; dan ia juga tempat Borges pernah cuba untuk membunuh diri akibat tekanan.
Pada malam mereka keluar berjalan dari hotel itu dan menyusuri jalan dan lorong yang gelap bagai babak dari sebuah filem noir, Borges memandang ke arah Estela, lalu meluahkan hasratnya untuk berkahwin. Sayang sekali perkahwinan itu tidak pernah jadi. Tetapi manuskrip asal The Aleph sepanjang tujuh belas halaman disimpan oleh Estela hingga ke hari tuanya.
Alberto Manguel menceritakan yang dia berkesempatan untuk melihat manuskrip ini pada tahun 1966 di Beunos Aires. Ia disimpan di dalam laci meja rumah Estela dan tertulis pada manuskrip itu nama dedikasi Estela Canto. Alberto Manguel, yang baru berusia belasan tahun, menggambarkan ketakutannya apabila Estela menarik tangannya rapat ke pipi: "Lihat tulang di wajah ini. Kau pasti percaya yang aku cantik suatu masa dahulu."
Ya, mungkin betul katanya. Mungkin kerana kecantikan itu juga telah lahirnya sebuah cerpen berjudul The Aleph.
Comments