Bunuh Aku David Cronenberg!
-
Melihat orang kena pukul ialah pemandangan yang mengujakan. Kita
memerhatikannya bagai tayangan di panggung. Menunggu dan menanti babak
ganas seterusnya sementara mangsa kita sibuk dipijak dan diterajang oleh
orang ramai. Mungkin dia ialah perompak atau peragut. Kerana hanya
dengan itu baru kita sanggup membebaskan binatang buas dalam diri kita.
Hanya dengan itu baru kita sanggup membunuh untuk hiburan -
Inspektor
Hogarth berhenti membaca nota yang melekat di hujung ibu kaki mangsa
yang masih belum dikenali. Di penjuru bawah nota itu ialah nama
penulisnya: Chairil Gibran. Inspektor Hogarth mengeluh. Ini ialah mangsa
Gibran kesepuluh.
4. 30 A. M.
Rakaman
Inspektor Hogarth. Mangsa ditemui di ladang kelapa sawit di Nibong
Tebal. Aku sampai lewat kerana semalaman aku bersama May di rumahnya.
Panggilan itu datang mengejut ke dalam mimpiku bagai hentaman kepala
keretapi. Dan aku seakan-akan terpelanting ke dalam lubang kosong.
May
menyediakan kopi dan biskut keju sebelum aku keluar. Dia tidak
menegurku menghisap rokok di meja makan; dia sudah biasa melihat aku
dirasuk oleh mimpiku sendiri.
Mayat
lelaki dipercayai mangsa pembunuhan kejam dan ia ditemui oleh orang
awam yang curiga dengan kepulan asap di sebuah ladang kelapa sawit
berhampiran Jalan Sungai Kechil. Mayat dibakar dalam keadaan tanpa
kepala, kedua-dua tangan dikerat pada paras siku dan kaki dipotong pada
bahagian paha. Ternyata ini ialah kerja Gibran.
5. 05 A. M.
- Dua hari lepas aku mencari semula Putu Wijaya dalam almariku. Sudah lama aku tidak membacanya. Kalau bukan kerana Lho dan Telegram, aku tidak akan menjadi seorang seniman -
- Flannery O' Connor: "I
suppose the reason for the use of so much violence in modern fiction
will differ with each writer who uses it, but in my own stories I have
found that violence is strangely capable of returning my characters to
reality and preparing them to accept their moment of grace. Their heads
are so hard that almost nothing else will do the work. This idea, that
reality is something to which we must returned at considerable cost, is
one which is seldom understood by the casual reader, but it is one which
is implicit in the Christian view of the world." -
- Semalam aku mimpi ibu mengucup dahiku. Esoknya aku naik ke rumahnya di tingkat empat membawa sup ekor
kegemaran ibu. Ah, ibu duduk saja setiap hari dalam gelap menonton drama
kegemarannya. Ibuku terlalu suci untuk mengenal keganasan. Aku
menyuapkan ibu sup; sisa-sisanya tumpah ke atas karpet; dan aku mengucup
mata ibu yang terbeliak. Chairil akan jaga ibu -
- Adakah manusia waras mempercayai Tuhan? Selepas membaca Karamazov Brothers, aku kira kita mencipta kegilaan untuk membunuh Tuhan. Menarik -
Dari dalam keretanya, Inspektor Hogarth membaca satu-satu nota yang dikutip ketika polis menyerbu rumah Gibran di Gombak.
Inspektor
Hogarth memandang keluar. Kelibat hitam kumpulan unit forensik melintas
di bawah bayangan pohon yang meliuk-liuk. Sisa kepulan asap masih
tergantung di udara dan ia bagaikan menari-nari apabila ada cahaya
kereta peronda menyuluhnya.
Inspektor
Hogarth merebahkan kerusi ke belakang, dan dia menggantungkan sebelah
kaki di atas pintu, dan dia menyalakan rokok sambil memasang Chet Baker Everything Happens to Me di radio.
Lagu itu membuat dia mengantuk.
Dia
tersenyum dalam tidurnya membayangkan dagu dan hidung patah seorang
lelaki gemuk yang pernah dibelasahnya di dalam lif apartmen May.
7. 30 A. M.
- Kau rasa dia di mana?
- Siapa?
- Gibran.
- Mungkin kita patut serbu perpustakaan.
- Ulat buku pun boleh jadi pembunuh. Gila!
-
Jangan terkejut. Orang berilmu yang paling bahaya di zaman sekarang.
Mereka akan buat apa saja yang mereka percaya. Termasuk bunuh kawan dan
saudara sendiri.- Mereka hidup dalam fantasi.
- Ia tidak ada beza.
- Apa yang tak ada beza?
- Fantasi dan realiti. Sama saja buat mereka.
- Betul ke Gibran ni asalnya pengkritik filem?
- Ya, dia guna nama pena Fadli Al-Akiti.
- Penulis blog?
- Siapa yang bukan penulis blog sekarang?
- Kau pernah baca blog dia?
- Gibran?
- Fadli Al-Akiti!
- Ia sudah ditutup selepas orang tahu Fadli Al-Akiti ialah sebenarnya Chairil Gibran.
- Tapi kau mesti pernah baca.
- Ya... pernah.
- Bagus ke kritikan dia?
- Entah. Aku tak minat filem. Kerja aku tangkap orang jahat saja.
- Aku dengar dia suka filem noir.
- Oh.
- Aku dengar dia pernah buat kritikan tentang The Night of the Hunter.
- Filem apa tu?
- Cerita tentang pembunuh psiko yang menyamar sebagai orang alim dan memburu dua orang budak.
- Dan kau suka?
- Aku suka.
- Tapi kau polis.
- Jadi? Apa maksud kau? Aku tak faham.
- Kau patut berkawann dengan Gibran.
- Hahaha, bukan aku yang obses nak selesaikan kes pembunuhannya. May sihat?
- Sial kau!
10. 07 A. M.
Inspektor Hogarth masuk ke pejabatnya dan mencari artikel Gibran yang pernah dicetaknya dari blog Tonton Filem.
Menara kotak fail yang tersusun bagai gudang di tepi tingkap disepak dan dipunggah sehingga berantakan bilik itu.
Seorang
kerani balai baru mengetuk pintu untuk masuk, tapi Hogarth telah
membaling cawan kopi ke dinding pintu sehingga ia pecah, lalu kerani itu
segera melarikan diri.
Anggota-anggota di luar berpandangan. Bunyi gemerencing kipas siling membuat Hogarth bertambah bengang.
Rupa-rupanya artikel itu Inspektor Hogarth telah biarkan melekat di papan putih bersama dokumen-dokumen kes yang lain.
Bunuh Aku David Cronenberg!
Oleh Fadli Al-Akiti
Kalau
tidak muntah "darah," aku memang sah muntah "peluru" tengok filem
terbaru David Cronenberg. Aku beberapa kali "terangkat" di tempat duduk
ketika menontonnya (nama filem pun History of Violence; kalau tak
"terangkat," maka tak cukup ganas lah filem ni). Kita terhibur sebab
kita ketawa (aku lah ketawa, penonton lain entah awal lagi pengsan), dan
kita ketawa sebab ia ganas. Kalau Cronenberg sumbat masuk pistol ke
dalam mulut aku ketika menulis review ini, memang aku akan jerit: pull the damn trigger you old prick! Supaya aku boleh mati dan hidup semula dan menderita lagi menonton filem ini.
Tapi
sebelum itu biar kita clear siap-siap dengan satu benda. Gaya filem ini
masih "Cronenberg" walau tinggi mana pun ia buat kau "terangkat", dan
ia masih ada "feel" Crash, dan ia masih ada "feel" Videodrome.
Kau masih, ya masih, akan rasa "mual" (mungkin "berahi" bagi peminat
tegar!) tengok perempuan-perempuan Cronenberg kena rogol; walaupun
mereka selalunya macam "enjoy" dirogol, tapi biar saja diri mereka
dirogol kerana ada nafsu binatang yang meronta-ronta naik ke permukaan
sampai membuat mereka lost-control dan sadis dimain lelaki.
Kalau Cronenberg hidup dalam dunia fiksyen Dostoyevsky dan William S. Burroughs (hah, ingat lagi Naked Lunch?),
memang dia akan blend masuk dengan sempurna. Aku tak tahu ada lagi ke
pengarah lain yang obses dengan apa yang berlaku dalam "subconscious"
manusia daripada Cronenberg. Dia tak buat aku "takut" (keganasan
selalunya tidak "menakutkan" sebab keganasan ialah "komedi" terbesar
dalam hidup kita), tapi dia buat "subconscious" aku terganggu, macam ada
butang time-bomb yang tiba-tiba ditekan; macam tiba-tiba ada orang
lempang belakang kepala aku; macam ada itik yang tiba-tiba hangus di
dalam oven; macam ada bibir yang tiba-tiba rasa gatal dan buat kau rasa
nak gigit-gigit saja; macam ada keganasan yang tiba-tiba saja akan
meletupkan skrin panggung.
Tapi Cronenberg tidak
lah terus melepaskan "atom" dari awal. Dia nak kita relaks dan terpesona
dulu dengan dunia pastoral "utopia" yang dia bina di sebuah pekan
kecil. Kata Cronenberg, dia ingin memberikan dunia Amerika yang
"fantasi" berbanding dunia Amerika yang penonton sudah biasa tengok.
Memang itu yang kita dapat.
Kita melihat semuanya dari
mata Tom Stall (dilakonkan dengan hebat oleh Viggo Mortensen), salah
seorang penghuni "baik" di pekan kecil itu, tapi kemudian perlahan-lahan
dalam perjalanan filem ni mula mendedahkan sisinya yang tidak lah
"baik" sangat; sisi Mr. Hyde bernama Joey (atau sisi Kapten Ahab), yang
"mabuk" apabila lemas dalam "nafsu" keganasan.
Si Tom ini ada keluarganya sendiri: seorang isteri seksi berambut "blonde" bernama Edie (Maria Bello), seorang anak lelaki usia remaja bernama Jack yang ternyata sudah
terlebih testosterone dalam seluarnya sampai dibelasahnya teruk seorang
budak di sekolah (Ashton Holmes), dan anak perempuan bernama Sarah
(Heidi Hayes), juga berambut "blonde," dan peranannya macam
ada-dan-tak-ada saja dalam filem ni, melainkan sekadar menjadi pelengkap
kepada "potret" sebuah keluarga "bahagia."
Aku suka
warna yang dipilih untuk rumah keluarga Tom iaitu hijau. Semuanya hijau
belaka: wallpaper, katil Sarah, dinding bilik Sarah, meja makan, almari
dapur, dan entah-entah mangkuk tandas pun warna hijau. Tapi Cronenberg
tidak berhenti di situ. Dia pengarah yang "detail," dan "detail"
Cronenberg bukan sekadar memberi rasa "realisme" kepada setiap babaknya,
tapi dia juga ingin memberikan dimenasi "psikologi" kepada wataknya,
terutama sekali Tom. Ada satu babak dalam filem ni, ketika Edie memeluk
Tom di ruang tamu, kita akan nampak poster jenis-jenis burung tergantung
di dinding, dan ada juga gambar berbingkai seekor kuda berlari (kita
akan jumpa lebih banyak gambar kuda dalam babak kemuncak filem ni).
Kemudian ada lukisan bunga di dinding luar bilik tidur Tom dan Edie.
Keluarga "bahagia" ni macam saja diletakkan di dalam hutan oleh
Cronenberg: mungkin ia adalah Eden untuk Adam (Tom) dan Hawa (Edie)
bermain "seks" dan melahirkan lebih ramai "anak"; atau ia mungkin ia
saja tempat buangan di mana ada saja "monster" untuk bangkit dari dalam
diri orang-orang yang menghuninya.
Dan ada satu lagi
kepentingan hijau dalam filem ni: Tom. Dari mula sampai habis filem
rasanya aku nampak dia pakai baju hijau saja. Selalunya "hero" filem
Hollywood diberikan warna merah (dan dah agak klise warna ni) bagi
menyerlahkan kepentingannya, dan untuk secara halus, mengumpan rasa
intimasi penonton dengan watak. Tapi Tom bukan sebarang "hero," walaupun
di awal filem ni dia menjadi "hero" di pekan itu apabila dia menembak
mati dua orang penyangak (salah seorangnya dilakonkan dengan bergaya
oleh Stephen McHattie, cuma sayang lakonan dia sekejap saja) yang datang
membuat kacau di restoran miliknya. Kita mendapat tahu kemudian yang
Tom mempunyai "sejarah keganasan" sebagai seorang gangster yang dikenali
sebagai Joey. Kedua-dua orang "lelaki" ini bagaikan "bersarang" dalam
tubuh yang sama. Bagaikan sebuah "hutan" yang mempunyai sisi cerah dan
sisi gelap. Tapi ternyata tidak boleh dipisahkan.
Aku
tak tahu macam mana nak gambarkan betapa bagusnya lakonan Veggo
Mortensen dalam filem ni sebagai Tom (atau Joey)... Kau kena tengok
sendiri babak selepas Tom memilih untuk pulang ke Philadelphia sebagai
Joey untuk menemui abang kepala gansternya bernama Richie (dilakonkan
dengan sangat eccentric dan gila oleh William Hurt). "Transformasi" Tom
kepada Joey itu berlaku dengan sangat halus sehingga kita tidak akan
perasan kalau tengok filem ni sekali saja. Dari cara Joey berjalan
keluar dari kereta ke bar, dan accent Inggeris yang tiba-tiba berubah
menjadi bahasa orang Philadelphia, kita tahu waktu tu Tom dah jauh
ditinggalkan di pekan "utopia" itu. Kerana sudah giliran Joey untuk
mengganas di skrin.
Ini belum ambil kira kegilaan aku
menahan nafas apabila Veggo Mortensen dah mula jadi "Dirty Harry" (bak
kata watak Ed Harris yang merupakan salah seorang gangster yang memburu
Joey) dan menembak dan mematahkan tulang orang semudah mengepak tulang
leher ayam yang akan buat James Bond dan Jason Bourne nampak macam
"pondan" apabila berlawan. Tapi semua keganasan ini tidak pernah
bertukar menjadi "blood bath" ala Robert Rodriguez dan Tarantino.
Cronenberg ialah pengarah yang lebih dekat dengan seni keganasan Edgar
Allan Poe. Sedikit dan sekejap; bagai hirisan pisau cukur. Dan tidak
ada pengarah yang lebih sinister bermain pisau ini daripada David
Cronenberg.
12. 45 P. M.
- Aku ingat, semasa aku masih budak, orang kampung sangat tidak menyukai ibu. Mereka kata ibu aku orang gila kerana dia akan sengaja buat kecoh di mana-mana majlis dia pergi. Pernah satu kali itu, aku nampak ibu panjat pokok kelapa. Di bawahnya ialah kenduri kahwin jiran kami. Aku melambai kepada ibu apabila dia sampai ke puncak (dalam hati, aku seperti berbangga melihatnya). Orang ramai mula berkumpul di bawah pokok itu dan menjerit memanggil ibu aku sundal dan pelacur! Tapi sebelum mereka sempat buat apa-apa, ibu melompat turun, dan di saat itu aku nampak ibu bagai malaikat yang dibuang dari syurga. Tubuh ibu jatuh tepat di atas meja pengantin dan sebahagian darahnya memercik ke pakaian putih kedua-dua orang pelamin.
Setelah aku dewasa, aku tanya pada ibu kenapa dia sengaja menyusahkan orang kampung masa itu. Ibu keatwa dan kata: "Memang betul mereka tidak pernah menyusahkan ibu. Cuma, pernah sekali, ibu balik rumah seorang lelaki, dan ada orang kampung mengetahuinya, dan disebabkan perbuatan ibu orang kampung jadi malu, maka ibu terus benci kepada mereka." -
Nota ini ditemui oleh Inspektor Hogarth semasa pembunuhan ketiga Gibran di Raub. Ia ditanama bersama tubuh seorang ahli politik yang dipotong kepada lapan belas bahagian.
- Maaf kalau notaku ini terlalu pendek: Aku tak ada banyak masa kerana mayat belum ditanam. Aku nak beritahu kepada sesiapa yang membaca notaku bahawa Putu Wijaya ialah penulis prosa terbaik dalam bahasa Melayu. Kalau dia tidak menulis, aku yakin dia akan jadi pembunuh -
Yang ini ditemui di Rawang. Unit forensik menariknya keluar dari dalam mulut mayat seorang jutawan kosmetik. Kedua-dua belah matanya dipercayai telah ditikam dengan jarum peniti berulang-ulang kali.
- Ini ialah kali pertama aku membunuh seorang pengkritik sastera. Disebabkan dia terlalu terkenal, orang hanya memanggilnya Encik A. Aku membunuh dia kerana aku sangat menyukai teorinya tentang keganasan minda sehingga ke tahap aku kemudian menjadi sangat benci kepadanya. Biar aku jelaskan.
(1) Novel Sebagai Pemberontakan Agama
Menurut Encik A, kebangkitan novel sebagai sebuah genre di Eropah bermula apabila manusia (pengarang) mula memberontak dengan kerajaan Tuhan di langit. Mereka mula memberontak dengan realiti atau kerajaan yang Tuhan telah hamparkan di atas dunia ini buat mereka. Dan ia bukan sekadar keinginan untuk bebas daripada Tuhan; tapi juga rasa hampa dan lesu dengan penderitaan hidup yang ditempuh di bawah pemerintahan raja-raja Eropah yang melihat diri mereka sebagai mewakili kekuasaan Tuhan di atas muka Bumi.
Encik A menjelaskan lagi bahawa sebelum kemunculan novel, iaitu ketika masyarakat Eropah masih bergantung imaginasi dan kepercayaan mereka pada kitab Bible, fiksyen hadir secara terbuka kepada umum. Bukan saja di gereja dan di rumah. Tetapi juga dalam teks kitab itu sendiri. Encik A memberikan contoh cerita Raja David dari kitab Old Testament. Pada suatu pagi, David sedang berjalan-jalan di luar istana apabila dia nampak Bathsheba, dan dia terus naik berahi dan ingin mendapat perempuan itu sebagai isterinya. Lalu David membunuh suami Bathsheba yang seterusnya akan membawa kepada hukuman Tuhan terhadap David. Kegilaan dan keganasan David, berdasarkan semua ceritanya dalam kitab Old Testament, tidak pernah berlaku secara bawah sedar. Dia tidak bercakap dengan dirinya; seolah-olah dia tidak wujud untuk dirinya. Dia hanya bercakap kepada Tuhan. Dan keganasan David ialah keganasan untuk disaksikan oleh Tuhan.
Semua ini berubah, menurut Encik A, apabila Don Quixote muncul di Eropah bersama temannya Sancho Panza. Buat pertama kali, seorang watak fiksyen memberontak dengan kerajaan Tuhan. Dia tidak lagi tunduk kepada plot serta hukum kehidupan yang Tuhan sudah tanam dalam minda semua manusia. Lebih menarik dan genius tentang buku Cervantes, tambah Encik A, ialah dia bukan sekadar memberikan pemberontakan Don Quixote kepada pembaca, tapi kita juga melihat pemberontakan (atau pembalasan) Tuhan terhadap Don Quixote. Yang melucukan ialah dari mula Don Quixote keluar mengembara, dia tidak pernah sedar yang dia sedang memberontak dengan Tuhan, apatah lagi realiti. Semuanya adalah normal buat Don Quixote seperti mana ia adalah normal bagi Raja David dalam kitab Bible. Nabokov menggambarkan Don Quixote sebagai novel yang sangat ganas. Kata Encik A, ia memang betul pun, kerana ia adalah juga novel paling melucukan dalam sejarah sastera.
(2) Menggantikan Suara Tuhan
Ketika tradisi penulisan novel sampai ke penghujung abad kesembilan belas, ia juga perlahan-lahan membina kerajaan kukuh dalam minda pengarang; seolah-olah pengarang di zaman itu ingin memisahkan diri mereka secara total daripada Tuhan. Atau mungkin juga, tulis Encik A, mengembalikan pembaca ke dalam minda ialah jalan terbaik bagi sesetengah pengarang untuk mengkaji wacana keagamaan secara serius dan dramatik. Tradisi baharu ini mencapai kemuncaknya dalam penulisan novel Dostoyevsky. Tapi Dostoyevsky ialah contoh yang sangat jelas bagi Encik A.
Dia turut mengalihkan perhatian kita kepada cerpen-cerpen Isaac Babel - seorang lagi penulis Rusia yang mahir mencipta watak dramatik dan komedi. Kita dapat rasakan dalam dunia Chekhov suara Tuhan menanti untuk ditemui. Tetapi dalam dunia Babel, penderitaan emosi melahirkan keganasan. Ia adalah dunia gangster Yahudi dan dunia militer Cossack. Ia adalah dunia orang lelaki: keganasan orang lelaki terhadap alam. Encik A memberikan contoh cerpen Babel berjudul My First Goose di mana seorang perajurit muda dihantar ke kawasan desa untuk diletak di bawah jagaan tentera Cossack. Sementara senja membuka jubahnya, prajurit kita pergi ke rumah berdekatan dan di situ dia menemui seekor angsa putih. Kebetulan ada sebilah pedang tergeletak di atas tanah. Lalu diambilnya pedang itu dan kemudian dia menangkap angsa putih itu dan menekan batang lehernya dengan but sehingga ia mampus. Sekejap saja babak ini. Tapi keganasan perajurit muda itu datang mengejut kepada kita seolah-olah ada rasa marah sangat kuat terpendam dalam dirinya dan ia menanti saja untuk meletup. Di hujung cerpen ini, Babel memberikan sedikit gambaran tentang apa bermain dalam fikirannya, dan ia sungguh indah, serta menakutkan juga:
"We slept, all six of us, beneath a wooden roof that let in the stars, warming one another, our legs intermingled. I dreamed: and in my dreams saw women. But my heart, stained with bloodshed, grated and brimmed over."
(3) Pemberontakan Minda Pengarang
Sampai ke era moden, tulis Encik A, penulisan novel kembali sepenuhnya ke dalam minda. Selepas melalui dua perang dunia, dan selepas berlakunya Auschwitz, tamadun Barat masa itu mungkin sudah kehilangan kepercayaan kepada Tuhan; tetapi kepercayaan pengarang kepada sastera bertambah kuat. Kemuncak kepercayaan ini melahirkan The Wasteland dan Ulysses.
Tetapi Encik A percaya yang minda pengarang sekarang semakin memberontak untuk keluar daripada sastera. Adakah mereka kembali mencari Tuhan?
Encik A tidak memberikan kepada aku jawapan yang memuaskan. Jadi aku potong lidahnya dan salibkan badan dia ke batang pokok berserta nota-nota yang engkau sedang baca -
Rakaman Inspektor Hogarth. Aku mimpi lagi. Ia mimpi sama saja setiap kali. Aku rasa aku semakin kerap tertidur sekarang. Tiga hari lepas aku tertidur di dalam kereta peronda. Dan hari ini aku tertidur di atas timbunan fail dan nota milik Gibran.
Kadang-kadang aku cerita kepada May yang aku rasa macam ada sepasang tangan sedang cuba untuk mengoyak kulit dadaku dari dalam.
Bagaimana aku nak gambarkan mimpi itu? Malam di sebuah kota. Mungkin Kuala Lumpur. Ribuan lampu berkelip seperti kunang-kunang. Wangi makanan merangkak keluar dari restoran-restoran, berat di udara, serasa boleh dipegang, dan aku bersama seorang lelaki bernama Tony berjalan-jalan bagai orang tidak waras. Nampak gayanya dia sangat mengenali aku, tapi aku tak kenal dia. Dia ketawa sambil memanggil aku Parang.
Kami berjalan terus. Lewat jambatan. Tiba dalam gelap samar di bawah pohon-pohon asam. Ketawa perempuan-perempuan sundal berderai bagai patung mainan budak. Aku nampak bola cahaya sebuah teksi menikam pandanganku. Tony menahannya. Kami naik.
Tony suruh pemandu teksi itu bawa kereta melintasi di hadapan Hentian Bas Pudu.Cahaya dari persimpangan jalan masuk ke dalam teksi dari kaca depan, menerangi muka pemandu. Orang tua saja rupanya. Cina barangkali. Tony makin kuat ketawa. Dia menolak-nolak badanku mengusik. Di tanganku macam ada sesuatu objek. Aku cuba melihatnya. Aku rasa ia adalah sebilah pisau cukur, tapi aku tidak pasti kerana aku macam terganggu mendengar Tony berbual dengan pemandu teksi itu. Entah kenapa, kereta semakin laju meluncur. Suara Tony dan pemandu teksi itu kian kuat. Tony memandang aku; dia macam memberikan aku isyarat. Aku terus mengelar leher pemandu teksi itu dengan pisau cukur. Darah mercik ke cermin depan dan ada sisa yang kena mukaku. Teksi berpusing-pusing terbalik melanggar tiang listrik.
Benda terakhir aku selalu ingat sebelum terjaga ialah tulang rahang Tony yang terkoyak dan kedua-dua belah kakinya yang terjepit di bawah pintu kereta. Mungkin dia memanggil aku. Parang. Tapi aku sudah jauh hilang. Siapa ya si Parang ini?
Semalam May kata aku patut ambil cuti panjang. Dan lupakan sekejap kes ini. Tapi bagaimana aku nak lupa kalau Gibran sentiasa bermain dalam fikiranku?
Inspektor Hogarth keluar ke balkoni untuk menyalakan rokok. Suara tangisan May masih kedengaran dari dalam bilik. Hari ini dia pulang lebih awal daripada biasa. Sampai di depan pintu apartmen May, dia terus menendang pintu macam orang gila. Wajah May begitu takut. Dia menarik May masuk ke dalam bilik dan menyepaknya sampai terpelanting melanggar meja di tepi katil. Hogarth menanggalkan semua pakaian. Dia mengikat May ke birai katil. Suara pekikkan May bergaung mengiringi alunan lagu Chet Baker setiap kali punggungnya dibantai dengan tali pinggang oleh Hogarth.
Ketika Inspektor Hogarth menyeluk saku, dia tertangkap gumpalan kertas renyuk. Ditariknya keluar. Ia adalah salah satu nota milik Gibran.
- Ibu tidak pernah tahu kerja-kerja yang aku buat. Dia percaya aku ialah seorang anak yang baik. Hari ini aku naik mencari ibu di rumahnya. Aku tengok ibu duduk di situ juga. Seorang diri. Aku sudah semakin tidak kenal wajah ibu. Kesucian itu bagaikan sudah terpadam dengan usia. Lama sekali aku duduk memandang ibu. Mengharapkan ibu akan mengatakan sesuatu kepada aku.
Apakah agaknya yang dia nampak? Adakah dia nampak Tuhan dalam mataku? Atau adakah dia nampak kegelapan; adakah dia nampak sejarah keganasan hidupku yang pajang? -

2. 39 P. M.

6. 33 P. M.

Comments