Surat Dari Ronggeng Dukuh Paruk


Catatan ini dibuat lima puluh tahun selepas penari ronggeng terkenal dari Dukuh Paruk, Srintil, dibebaskan dari hospital sakit mental. Banyak yang telah berubah berbanding waktu Srintil masih terikat sebagai watak dalam novel Ahmad Tohari. Sekarang Srintil bukan sekadar watak Ahmad Tohari. Sekarang Srintil sudah terkenal menjangkaui sempadan terpencil Dukuh Paruk, malah melepasi sempadan negara Indonesia sendiri. Sekarang Srintil boleh ditonton di panggung wayang. Sekarang nama Srintil itu telah menjadi topik perbincangan dan perdebatan di setiap forum dan di setiap dewan kuliah universiti merangkumi pelbagai displin ilmu dan teori sastera. Sekarang nama Srintil itu ialah jenama paling dikhendaki dan paling lumayan untuk dipaparkan pada iklan syampu, iklan pencuci muka, iklan sabun baju, iklan kain batik Jawa, iklan gerai es teller, dan iklan restoran ayam penyet.

Sekarang Srintil ialah milik semua orang. Bukan lagi Dukuh Paruk.

Saya belum pernah bertemu dengan Srintil. Dia berada di mana-mana sahaja atas dunia ini. Usianya tidak pernah tua kerana setiap tahun novel Ronggeng Dukuh Paruk dicetak semula dan telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa. Beberapa bulan lepas saya menemui Ronggeng Dukuh Paruk versi PDF yang boleh dimuat turun secara percuma. Malangnya ia bukan versi asal tulisan Ahmad Tohari; telah berlaku pengubahsuaian pada bahagian akhir novel trilogi ini. Daripada menjadi gila kerana tidak dapat berkahwin dengan Bajus, Srintil terus meronggeng sehingga pada suatu hari Srintil telah diculik oleh Waras yang telah datang ke Dukuh Paruk bagi membalas dendam kerana Srintil pernah meninggalkannya ketika berkhidmat sebagai gowok. Srintil akhirnya diselamatkan oleh Rasus. Waras ditembak mati di tengah sawah di saat bangau-bangau beterbangan mengejar angin kencang. Srintil dan Rasus berkahwin. Dukuh Paruk kembali aman dan makmur. Tamat. Tetapi ia tidak tamat begitu sahaja. Disebabkan permintaan terhadap sambungan kisah hidup Srintil terus meningkat, muncul lagi banyak novel versi PDF yang boleh dimuat turun. Tiba-tiba semua orang ingin menjadi penulis. Semua orang ingin menceritakan sendiri perjalanan hidup Srintil dan masa depan Dukuh Paruk. Tulisan asal Ahmad Tohari sudah tidak penting. Mana tidaknya; setiap hari dan setiap waktu ada sahaja penulis yang sedang menulis semula novel Ronggeng Dukuh Paruk sehingga lama-lama nanti keaslian novel itu akan pupus dan bertukar menjadi produk komersil dengan percetakkan ulangan yang berterusan.

Dengan bantuan seorang teman, saya dapat menghubungi Srintil melalui surat. Khabarnya dia tidak tahu menggunakan Facebook, Twitter, apatah lagi berbual melalui Skype. Ini sahaja cara untuk saya mengenali ronggeng dari Dukuh Paruk itu.

* * *

Saudara Pembaca,

Semenjak sekian lama aku hidup di dunia ini sebagai seorang ronggeng, surat kamu adalah antara beberapa yang kupilih untuk balas. Benar kalau kamu fikir bahawa memang menjadi kewajipanku sebagai seorang ronggeng untuk melayani apa saja surat yang datang berlabuh di meja kamarku. Seperti kamu sendiri katakan: aku ialah Ronggeng Dukuh Paruk. Aku adalah milik semua manusia.

Ah, saudara, kalaulah begitu mudah untuk aku memandang hidupku. Kamu masih muda. Masih banyak kamu belum tahu tentang ronggeng dan pahit manis hidup ini. Aku pun tidaklah tua sangat dari segi rupa. Itulah sumpahku sebagai anak ciptaan Ahmad Tohari. Aku akan muda dan abadi dalam bukunya, tapi aku tidak akan dapat cinta dan kebahagiaan karena bukan itu tujuan aku diciptakan.

Bukan itu tujuan seorang ronggeng diciptakan.

Tapi aku tidak pernah menyalahkan penciptaku. Seperti aku tidak pernah malu lahir sebagai anak keluarga Santayib. Inilah diriku. Seorang ronggeng.

Kamu masih ingat saudara pohon pinang yang sering kutatap ketika mengawal Goder bermain? Dari tempatku berdiri pohon itu kuanggap sebagai dunia kecil damai dan berdaulat; dunia tanpa pengalaman pahit, tanpa ketakutan dan kekhawatiran. Aku salah sama sekali. Pada suatu sore aku melihat seekor burung gagak hinggap di atas pohon pinang itu. Burung yang hitam dan besar itu mengobrak-abrik sarang burung kecil karena ingin menjarah telur atau anaknya. Si burung kecil menghindar dan hanya bisa melihat dari jauh dunianya dihancurleburkan. Begitu juga dengan aku. Dunia kecil, dunia Dukuh Paruk, yang asalnya dibina untukku, telah kulihat hancur perlahan-lahan. Tapi apa yang aku boleh lakukan saudara? Aturan hidupku awal-awal lagi sudah ditentukan.

Maafkan aku saudara karena menceritakan semua ini padamu. Mungkin sisa kegilaan yang aku alami beberapa tahun lalu masih belum hilang sepenuhnya. Ketika aku keluar dar hospital itu aku tidak pernah sangka dunia ini akan bisa menerima aku semula.

Oh yah, dalam surat itu kamu menjelaskan kebimbangan tentang novel Ahmad Tohari yang sedang ditulis semula oleh orang lain. Kamu bimbang usia aku seterusnya akan berakhir begitu saja. Hayo, bukankah bagus kalau begitu? Aku gurau saja saudara. Memangnya aku tidak peduli kalau ada Srintil lain yang menggantikan tempatku. Itukan kuasa pembaca. Selama ini pun orang seperti kamu yang memberikan nyawa pada tubuhku.

Pokoknya begini, untuk akhiri suratku. Dalam hidup ini segala mestilah dilakukan pada batas kewajaran. Zaman mengubah budaya. Kalau suatu hari nanti ronggeng sudah berkubur, apa lagi yang bisa kulakukan untuk menghalangnya? Biarlah alam ini menyusun sendiri permainannya. Selagi ia memerlukan seorang ronggeng seperti aku untuk menari di pentasnya, maka aku menari, tapi apabila suara calung sudah diam, dan penonton meninggalkan arena untuk selamanya, maka aku akan turut pergi dari dunia ini.

Aku meninggalkan kamu dahulu di sini Saudara Pembaca.

Ronggeng Dukuh Paruk

* * *

Saudara Pembaca,

Bagaimana kamu tahu kamu benar-benar wujud dan bukannya watak sebuah buku seperti aku? Pernahkah kamu fikirkannya saudara?

Semalam aku pengsan di belakang pentas. Aku baru selesai ronggeng untuk Festival Woodstock di Amerika. Ramai sungguh peminat yang menjerit memanggil namaku seolah-olah aku sebahagian dari mereka.

Di hospital aku kembali memikirkan Rasus. Kemudian Goder. Kemudian calung Sakum. Aku kangen mendengar suara calungnya.

Aku kangen mendengar burung sikatan mencecet-cecet dari tempat persembunyiannya.

Ronggeng Dukuh Paruk

* * *

Saudara Pembaca,

Aku sudah pulang ke Jakarta. Terima kasih atas buku-buku yang kamu kirimkan. Aku tidak tahu jika aku ada masa untuk membacanya.

Sebut tentang masa, apakah perasaanmu ketika membaca Ronggeng Dukuh Paruk? Adakah waktu mengalir cepat atau perlahan ketika kamu membacanya?

Sini biar aku membantumu. Baca tulisan di bawah:

"Dukuh Paruk mulai hidup. Dentum lesung berisi gaplek yang ditumbuk. Bunyi minyak panas di wajan yang dikenai adonan tepung pembungkus tempe bongkrek. Atau gemerincing keliningan di leher anak kambing yang menyusu tetek induknya yang merekah. Seekor induk ayam berkotek keras-keras karena burung elang menyambar seekor anaknya. Anak-anak merengek minta makan. Seorang perempuan di dapur menghardik anaknya yang tidak sabar menunggu nasi gaplek masak ditanak."

Semasa pertama kali aku membacanya aku begitu kagum dengan Ahmad Tohari. Begitu detail dia bisa menggambarkan dunia terpencil Dukuh Paruk yang telah melahirkan aku itu. Tidak hairanlah kalau pembaca selalu menceritakan padaku yang mereka rasa Dukuh Paruk itu benar-benar hidup.

Tapi waktu aman dan bahagia seperti itu hanya hiasan kulit sebuah cerita. Banyak peristiwa yang berlaku di bawahnya. Banyak lagi yang tidak diceritakan oleh Ahmad Tohari. Tapi mana mungkin dia bisa menceritakan semuanya. Sebuah novel memerlukan cerita.

Sebuah novel bukan imitasi kehidupan sebenar.

Saudara, semasa Ahmad Tohari menulis novel ini, adakah kamu rasa dia mencintai aku sebagai wataknya? Kadang-kadang aku rasa Rasus itu yang lebih dekat dengannya. Dia memberikan kesudahan yang bagus pada Rasus. Aku sebaliknya dibiarkan saja di hospital sakit mental. Sungguh tidak adil bukan?

Aku kira, saudara, hubungan aku dengan Ahmad Tohari adalah seperti hubungan aku dengan Kartareja. Di matanya aku hanya seorang ronggeng dan sundal. Dan melalui Rasus dia bermain dengan perasaanku; melalui Rasus dia mencintaiku; melalui Rasus dia melihat dan merasai tubuhku; melalui Rasus akhirnya dia membunuh kewarasanku.

Zaman tidak akan pernah mengubah naluri seorang lelaki. Dan cinta seorang perempuan hanya ibarat permainan kejar-mengejar dengan seekor burung pipit sebelum ia dibunuh di udara yang lengang.

Dan bulu-bulu halusnya beterbangan di atas langit Dukuh Paruk.

Ronggeng Dukuh Paruk

* * *

Saudara Pembaca,

Aku belum berkesempatan untuk turun ke Kuala Lumpur. Percayalah suatu hari nanti aku akan datang menemuimu di sana. Dan seperti yang kamu minta, aku akan datang sebagai Srintil. Bukan sebagai Ronggeng Dukuh Paruk.

Sebentar lagi aku akan tiba di Tokyo. Di atas ribaku ialah novel Salina yang belum habis dibaca. Aku suka sama perempuan yang bernama Salina itu.

Seperti ada persamaan dengan diriku juga.

Srintil

* * *

Saudara Pembaca,

Aku sedih membaca surat terakhirmu. Kekasihmu telah pergi bersama lelaki lain.

Hayo, kamu jangan terlalu rungsing memikirkannya. Pasti ada cewek lebih cantik untuk kamu di luar sana.

Kamu bertanya padaku tentang Rasus. Apa lagi yang bisa kukatakan saudara? Ia hanya kenangan lama. Hidup kita bukan seperti sebuah novel. Kita tidak bisa menulis semula cerita yang sudah ditakdirkan untuk kita.

Karena dari mula lagi kita bukan penulis cerita itu.

Srintil

* * *

Saudara Pembaca,

Kamu sudah coba baju yang aku kirimkan? Maaflah kalau ia tidak padan dengan kamu. Itu saja yang sempat kubeli dalam perjalananku ke Kyoto.

Udara pada pagi ini masih dingin. Penumpang keluar masuk dari stasiun tanpa henti seperti burung-burung mencari makanan. Aku seorang diri kaca jendela sebuah cafe menanti kedatangan kereta api seterusnya. Tempat ini begitu asing buatku. Aku tidak sabar untuk pulang ke Indonesia.

Sementara masih ada waktu, aku ingin bercerita sedikit tentang Ahmad Tohari.

Kamu masih ingat malam aku menolak tawaran Pak Marsusi dalam buku Lintang Kemukus Dini Hari? Baik. Coba kamu baca ini:

"Yang membawa kembali ketenangan ke dalam hati Srintil adalah suara calung tunggal yang ditabuh Sakum. Mula-mula suara itu masih berbaur dengan lengking kemarahan Nyai Kartareja yang terus terngiang dalam telinga Srintil. Disusul kemudian oleh derik seribu jangkrik yang menggetarkan gendang telinga. Lama-kelamaan suara kacau itu surut. Tinggal bunyi calung yang menjalin malam Dukuh Paruk, menyatukannya dalam satu citra yang bulat dan utuh."

Membaca ini kamu akan menemui kearifan Ahmad Tohari pada bunyi alam di sekelilingnya. Kalau aku bisa gambarkan dia sebagai seekor binatang, maka akan kupilih seekor burung. Novel ini pun ada begitu banyak burung yang menghuni setiap halamannya. Dari pandangan alam seekor burunglah Ahmad Tohari bercerita kepada pembaca:

"Dari tempatnya yang tinggi kedua burung bangau itu melihat Dukuh Paruk sebagai gerumbul kecil di tengah padang yang amat luas. Dengan daerah pemukiman terdekat, Dukuh Paruk hanya dihubungkan oleh jaringan pematang sawah, hampir dua kilometer panjangnya. Dukuh Paruk, kecil dan menyendiri. Dukuh Paruk yang menciptakan kehidupan sendiri."

Burung bernama Ahmad Tohari ini sebenarnya bukan burung yang jinak. Ia suka sekali berbicara dan memberi komentar tentang setiap peristiwa yang berlaku di Dukuh Paruk seolah-olah dia lebih tahu apa yang terbaik untuk Dukuh Paruk melebihi warga Dukuh Paruk sendiri.

Beritahu aku saudara, bolehkah tuhan berbicara dengan makhluknya? Atau dia biarkan saja orang seperti aku dilambung oleh naratif penceritaan yang ditulisnya?

Srintil

* * *

Saudara Pembaca,

Tujuh hari lagi kritikus-kritikus Indonesia bakal menanyakan tentang kewujudanku. Apa yang patut kukatakan pada mereka?

Dari temanmu yang setia dan abadi.

Srintil


Comments

Popular Posts