Kebangkitan Penyair Bernama Tuhan

untuk Aidil Khalid


"Where do these words come from that pour out of my mouth, and what do they mean, no, saying for nothing, for the words don't carry any more, if one can call that waiting, when there's no reason for it, and one listens, that stet, without reason, as one has always listened, because one day listening began, because it cannot stop, that's not a reason, if one can call that respite. But what's all this about not being able to die, live, be born, that must have some bearing, all this about staying where you are, dying, living, being born, unable to go forward or back, not knowing where you came from, or where you are, or where you're going, or that it's possible to be elsewhere, to be otherwise, supposing nothing, asking yourself nothing, you can't, you're there, you don't know who, you don't know where it is, nothing changes, within it, outside it, apparently, apparently. And there is nothing for it but to wait for the end, nothing but for the end to come, and that end all will be the same, at the end at last perhaps all the same as before, as all that livelong time when there was nothing for it but to get to the end, or fly from it, or wait for it, trembling or not, resigned or not, the nuisance of doing over, and of being, same thing, for one who could never do, never be."
(Petikkan dari novel Samuel Beckett The Unnamable)


Kelahiran seorang penyair bermula dari dalam mindanya. Kelahiran seorang penyair bermula dengan kelahiran kata-kata. Kelahiran seorang penyair bermula dengan peminjaman kata-kata. Kelahiran seorang penyair bermula dengan kematian kata-kata. Itu ialah paradoks penulisan. Paradoks hubungan antara manusia dengan alam. Dan perbualan serta pendengaran yang berlaku antara seorang penyair dengan penyair-penyair yang hadir dalam dirinya. Penulisan seorang penyair ialah penurunan dan pengisian kata-kata pada halaman pemikiran manusia yang telah terlebih dahulu telah tertulis oleh penyair yang datang sebelumnya.

Kata-kata tidak lahir begitu sahaja tanpa terlebih dahulu ditanam dalam imaginasi manusia-manusia genius (ah, genius, sungguh asing untuk dengarnya disebut apatah lagi bermain di bibir para sasterawan dan sarjana kita). Alam tidak melahirkan kata-kata; ia tidak melahirkan bahasa. Puisi yang melahirkan alam. Sebab itu manusia akan sentiasa berada di atas zaman ia dilahirkan; ia akan sentiasa berada di depan masyarakat, menuju keabadian, di saat pohon, sungai, hujan, bintang jatuh berguguran ke dalam kitaran waktu yang berterusan. Julius Cesar sudah beribu tahun gugur di tangan pembunuhnya; namun setiap kali drama Shakespeare dipentaskan, sejarah seribu tahun itu kembali pada kita dengan wajah baru yang bersinar-sinar seolah-olah Julius Cesar bukan lagi milik Shakespeare, bukan lagi milik sejarah, tetapi milik semua manusia. Bagaimana pula dengan Dante Divine Comedy? Atau Tolstoy War & Peace? Atau Balzac Human Comedy? Kita keluar dari Balzac dan tiba-tiba orang di sekeliling kita terasa lebih fiksyen dari fiksyen itu sendiri; kita menjadi lesu dengan realiti dan alam. Lalu ia memaksa kita untuk menggantikan sejarah dengan kata-kata. Lagipun apa yang kita ingin banggakan dengan sejarah? Peristiwa hari ini hanya menanti untuk digantikan oleh peristiwa esok hari. Pemimpin hari ini hanya menanti untuk digantikan oleh orang-orang di bawahnya. Sesiapa pun boleh mencipta sejarah. Namun berapa ramai manusia yang boleh menuliskannya kembali dalam kata-kata terindah?

Atau dalam kata-kata yang tidak lagi dapat diucapkan? Yang terakhir ini ialah milik Beckett. Nak melabelkan Beckett sebagai novelis atau dramatis hanya akan merendahkan kegeinusan Beckett. Dia pada akarnya ialah seorang penyair seperti James Joyce dan Virginia Woolf itu ialah penyair. Ketiga-tiganya menulis puisi dalam bentuk prosa (Beckett dengan novel triloginya; Joyce dengan Ulysses; Virginia Woolf dengan The Waves); ketiga-tiganya kembali pada teks klasik (Beckett kembali pada Dante; Joyce kepada Homer dan Dante; Virginia Woolf pada Shelley dan Shakespeare); ketiga-tiganya menggunakan teknik monolog dalaman secara intensif; dan ketiga-tiganya berminat dengan pengaliran kata-kata dalam minda manusia. Ini ialah yang dikatakan dengan penulisan moden. Kembali atau kepulangan penyair ke dalam sastera. Dan penutupan pintu sastera kepada masyarakat. Dan juga alam. Tetapi ia berbeza dengan sastera negara kita. Penyair dan novelis kita ingin manusia kembali pada masyarakat dan alam tanpa kita terlebih dahulu mengajar mereka untuk menjadi penyair. Kita begitu yakin bahawa moraliti, pemikiran, budaya, dan keimanan bangsa kita sudah cukup sebagai bekalan untuk berdepan dengan kehidupan; tetapi sebaik sahaja mereka membuka pintu rumah dan melangkah keluar ke tengah jalan, alam datang menjemput dari setiap sisi minda mereka dengan wajah dan pakaiannya yang pelbagai sehingga masyarakat kita tunduk sahaja pada tuntutan alam. Ini berlaku bukan kerana orang kita tidak ingin melawan dan mencari tempatnya sendiri di dunia ini; tetapi kerana ketiadaan kata-kata untuk mereka menterjemahkan alam dan membina identiti mereka sendiri. Sebetulnya sastera kita tidak pernah menjadi moden. Ia masih tidur dalam gua Plato dengan kedua-dua tangan dan kakinya diikat pada rantai sejarah.

Sementara di luar dunia sentiasa berubah. Minda manusia sentiasa berubah. Kita hanya perlu berdiri sekejap di tingkap bilik untuk memerhatikan suatu bintang sebelum mata kita mula beralih ke bintang yang seterusnya dan seterusnya. Seni itu ibarat cinta yang sentiasa mendambakan pakaian baru di tubuhnya. Mata hati manusia itu pula ibarat pengembara yang terlalu lama berada di tengah lautan sehingga pemandangan di sekelilingnya kelihatan sama sahaja. Ia perlu diajar untuk pulang kembali ke pelabuhan. William Hazlitt di penghujung usia kritikannya dikatakan berhenti membaca sama sekali kerana tidak dapat lagi menemui bacaan yang memikat seleranya. James Joyce tidak dapat menemui kegeniusan Marcel Proust seperti Virginia Woolf tidak dapat menemui kegeniusan James Joyce. Robert Musil menolak cerpen Franz Kafka The Metamorphosis dan minta ia dipendekkan. Sainte Beuve dalam kritikannya gagal untuk meletakkan Balzac, Hugo, dan Flaubert pada tempat yang betul seperti James Wood gagal untuk meletakkan Nabokov, John Updike, dan Thomas Pynchon pada tempat yang betul di zaman kita.

Mudah sebenarnya untuk menolak sebuah buku, tetapi sangat susah untuk kita menolak seorang manusia sebelum kita terlebih dahulu mengenalinya. Lebih-lebih lagi untuk menolak seorang yang bijaksana. Ia seolah-olah kita menolak satu sisi dalam diri kita juga. Di dewan seminar sekarang kita sering mendengar kenyataan para sarjana yang ingin mengangkat satu teori keilmuan atas nama Tuhan. Dengan mengangkat teori ini, kata mereka, ilmu sastera yang lain tidaklah ditolak, tetapi mesti ditapis mengikut kesesuaian. Hakikatnya: kita tahu bukan ini yang berlaku. Di saat mereka membina masjid dan universiti buat tamadun manusia, tubuh Flaubert, Beckett dan Derrida disalib pada pokok, buku-buku mereka dibakar, dan khutbah Naquib al-Attas dipasang pada pembesar suara sehingga menggeletar dan berguling-guling tubuh-tubuh tidak bernyawa di dalam kubur. Ilmu dan rasionaliti diangkat sampai ke pintu syurga, tetapi tangga-tangga kemanusiaan awal-awal lagi sudah runtuh sebelum sempat melepasi langit petala ketiga. Atas nama Tuhan fitnah dilontarkan; atas nama Tuhan kebencian dan kemarahan dinyalakan; atas nama Tuhan seni dimandulkan; atas nama Tuhan matahari menjadi bulan dan bulan menjadi matahari; atas nama Tuhan kawan menjadi musuh dan musuh menjadi kawan; atas nama Tuhan agama menjadi Tuhan dan manusia dijadikan pertaruhan -

atas nama Tuhan sastera hanya tinggal nama dan penyair agungnya ialah penyair bernama Tuhan.

Kesalahan di sini bukan Tuhan. Kerana menyalahkan Tuhan ialah seperti menyalahkan sejarah kerana melahirkan kita sebagai bangsa terjajah, padahal sejarah itu sendiri tidak wujud. Yang ada hanya manusia. Individu. Dan individu yang menulis naratif sesuatu zaman. Fungsi masyarakat hanya untuk membacanya. Maka di sini datangnya seni untuk melengkapkan emosi manusia. Sekiranya ilmu dan teori itu dibina mengikut hukum logik dan nota kaki, seni itu sebaliknya bersifat menyeluruh dan skeptikal. Seni itu ibarat muzik yang bergantung pada sayap angin; ia datang dari setiap penjuru dunia ini kepada mereka yang sudi mendengarnya. Ia tidak memandang pangkat akademik dan alamat seorang penulis. Yang penting akhirnya ialah masa dan darah yang dikorbankan bagi menarik keluar kata-kata terbaik dari dalam diri seorang pengarang. Serta kebijaksanaannya. Apa lagi yang kita patut tuntut dari seorang penulis melainkan untuk dia datang kepada kita membawa dirinya secara total dan menceritakan kepada kita rahsia alam ini yang telah diterjemahkan ke dalam kata-kata yang paling peribadi? Apa lagi yang kita patut tuntut dari sebuah buku melainkan untuk ia mengajarkan kepada kita tentang kehidupan dan kematian? Apa lagi yang kita patut tuntut dari seni melainkan untuk ia memberikan kita sedetik waktu yang terindah dan abadi berbanding seribu tahun kebosanan dan kekecewaan bersama realiti? Hari ini kita membuka Eka Kurniawan, dan sebelum kita sempat mengenalinya, sudah datang Gabriel Garcia Marquez mengetuk kaca jendela, dan esok harinya bersama Marquez kita menuruni tangga-tangga stesen komuter dan mendapati Faulkner dan Cervantes sudah menanti kita di platform dengan debu antiquity masih melekat di baju mereka, dan di hujung hari ketika malam baru menjemput kita pulang, mimpi kita sudah terbang dibawa karpet Aladdin dengan Scheherazade dan Ovid menceritakan ceritera cinta dan magis dari bintang-bintang di dada langit. Dialektik kesenian. Dan juga kematian.

Sekiranya seni itu ialah kehidupan, maka ia juga adalah kematian. Kata-kata itu ialah kehidupan dan juga kematian. Ia bergerak dalam bulatan yang sama. Pemergian seorang manusia menandakan penerusan hidup buat manusia lain. Seperti pemergian Mrs. Ramsay dalam novel Virginia Woolf To the Lighthouse menjadi pemisahan waktu antara masa lalu dengan masa akan datang yang digambarkan dengan jelas dan original dalam bahagian berjudul Time Passes:

"Nothing stirred in the drawing room or in the dining-room or on the staircase. Only through the rusty hinges and swollen sea-moistened woodwork certain airs, detached from the body of the wind (the house was ramshackle after all) crept around corners and ventured indoors. Almost one might imagine them, as they entered the drawing-room, questioning and wondering, toying with the flap of hanging wall-paper, asking would it would hang much longer, when would it fall? Then smoothly brushing the walls, they passed on musingly as if asking the red and yellow roses on the wall-paper whether they would fade, and questioning (gently, for there was time at their disposal) the torn letters in the wastepaper basket, the flowers, the books, all of which were now open to them and asking, Were they allies? Were they enemies? How long would they endure?

[...]

The house was left; the house was deserted. It was left like a shell on a sandhill to fill with dry salt grains now that life had left it. The long night seemed to have set in; the trifling airs, nibbling, the clammy breaths, fumbling, seemed to have triumphed. The saucepan had rusted and the mat decayed. Toads had nosed their way in. Idly, aimlessly, the swaying shawl swung to and fro. A thistle thrust itself between the tiles in the larder. The swallows nested in the drawing-room; the floor was strewn with straw; the plaster fell in shovelfuls; rafters were laid bare; rats carried off this and that to gnaw behind the wainscots. Tortoise-shell butterflies burst from the chrysalis and pattered their life out on the window-pane. Poppies sowed themselves among the dahlias; the lawn waved with long grass; giant artichokes towered among roses; a fringed carnation flowered among the cabbages; while the gentle tapping of a weed at the window had become, on winters' nights, a drumming from sturdy tress and thorned briars which made the whole room green in summer."

Di sini tidak ada kehadiran manusia. Yang ada hanya sebuah rumah; hanya anak-anak alam yang memamah sisa-sisa kebahagiaan yang tertinggal; hanya ingatan-ingatan sebuah memori yang diabadikan ke dalam kata-kata. Penulisan moden ialah perbualan seorang penyair dengan kematian. Pemilihan kata-kata dibuat dengan begitu teliti dan tepat seolah-olah sedang membina keranda buat lubang kubur yang berada di setiap halaman buku. Dan tidak ada keranda yang lebih besar daripada yang dibina oleh Marcel Proust. Kalau keranda ini boleh digali keluar dan dibuka pintunya, kita akan menemui tubuh Marcel Proust yang masih segar dan muda. Dengan Beckett, kita tidak akan menemui sebarang tubuh manusia di dalam kerandanya, melainkan sebuah perakam kaset milik seorang lelaki bernama Krepp. Atau Samuel Beckett sendiri.

Apa yang penulis ini boleh berikan kepada aku? Apa yang penulis ini boleh ajar aku tentang hidup dan mati? Apa yang penulis ini boleh tawarkan kepada aku yang aku belum tahu dari penulis yang datang sebelum dan selepasnya? Apa yang penulis ini - seniman ini - inginkan dari buku yang telah diciptanya? Begitu banyak persoalan. Bukan sahaja buat Beckett. Tetapi mana-mana penulis yang bakal kita tarik turun dari perpustakaan kita. Namun kerap kalinya sebelum buku itu turun lagi kita sudah sediakan tali dan rotan bagi menjatuhkan hukuman mengikut prinsip yang kita fikir patut dimiliki oleh mana-mana buku. Kita tidak memberikan ruang pada diri kita untuk menjadi diri penulis itu dan melihat dunia seperti mana dia telah melihat dunia. Sebuah buku - sebuah novel - bukan terbentuk dari pemikiran seorang manusia yang dangkal atau mabuk oleh khayalannya sendiri. Sebab itu, mengikut nasihat Virginia Woolf, untuk memahami misteri penciptaan sebuah novel kita harus menulis dan bukan sekadar membaca. Ambil pengalaman yang terdekat dengan kita dan cuba turunkannya di atas kertas. Mudah sekali untuk fikir, berdebat, dan merenung tentang sesuatu idea atau kenangan. Tetapi sebaik sahaja ia bersentuhan dengan mata pena, kita mendapati idea yang kukuh tadi telah berkecai menjadi serpihan kaca. Kata-kata itu melintas lebih laju sebelum fikiran kita sempat melompat dari satu idea ke idea yang seterusnya. Dan ada waktunya, lebih-lebih lagi di zaman kita, kata-kata itu hanya terperangkap di ruang minda kita. Ini ialah ruang yang seorang pembaca akan berbicara dengan Beckett.

The Unnamable ialah novel ketiga dalam siri trilogi Beckett dan juga merupakan antara novel terakhirnya sebelum dia beralih kepada penulisan drama. Pada masa ini Beckett merasakan yang dia sudah melakukan perulangan terhadap dirinya (sesuatu yang Shahnon Ahmad sudah patut belajar daripada Beckett). Ketiga-tiga novel ini boleh sahaja dibaca secara terasing memandangkan setiap satunya adalah siri monolog dalaman. Nak memanggil novel Beckett sebagai novel pun sebenarnya sudah menjadi kesalahan kerana pemahaman kita tentang struktur sebuah novel terpaksa dibuang ke luar tingkap sebaik sahaja kita masuk ke dalam dunianya. Antara tiga novel ini, The Unnamable ialah yang paling sukar memandangkan pembaca akan banyak bermain dalam minda penceritanya, seorang lelaki lumpuh yang tidak dapat bergerak, dan dipisahkan terus dari latar kehidupan sehingga memaksa monolog novel ini bergerak bebas antara apa yang dikatakan benar dan fiksyen. Kesepian ialah apa yang dicari oleh narator novel ini. Dan bukankah dalam kesepian seorang penyair berbicara dengan dirinya? Bukankah dalam kesepian itu juga akhirnya suara-suara manusia lain hadir dalam diri seorang penyair? Tetapi bagaimana kita boleh tahu kemudian yang perbicaraan itu belum mengubah diri kita menjadi manusia yang lain? Untuk narator Beckett (atau Beckett sendiri) dalam novel ini, dia mempersoalkan sama ada suara yang didengar dalam midanya masih miliknya atau telah beralih kepada watak lain: Malone, Molloy, Murphy - semua ini ialah watak dalam novel Bekcett. Ini mengingatkan kita kepada Fernando Pessoa yang turut mengalihkan suara mindanya kepada pelbagai watak atau heteronyms yang diciptanya. Buat Pessoa, pemisahan ini bukan suatu paksaan, tetapi merupakan cara mindanya berfungsi dari kecil lagi. Dengan Beckett kita rasa dia seperti tidak ingin berpisah dengan kepalanya (berapa kali dalam novel-novel Beckett kita menemui imej kepala diulang gunakan?). Atau barangkali Beckett mempersoalkan keupayaan kata-kata untuk menyampaikan kebenaran kepada dunia. Berbeza dengan Dante dan Shakespeare, dua orang penyair yang membahagi-bahagikan minda mereka kepada pelbagai jenis dan lapisan minda manusia, Beckett memilih untuk menafikan keagungan kata-kata dengan memerangkapkan kata-kata dalam mindanya sendiri. Adalah menjadi tugas pembaca untuk membedahkan sendiri dan mencari kata-kata yang tersembunyi di situ.

"Nature has presented us with a large faculty of entertaining ourselves alone; and often call us to it, to teach us that we owe ourselves in part to society, but chiefly and mostly to ourselves."
(Montaigne)

Kehidupan di bawah minda ialah musuh kepada masyarakat kerana sudah menjadi sifat semula jadi masyarakat untuk menarik manusia ke dalam sistem pemikiran mekanikalnya. Ramalan Walter Benjamin kini ialah realiti kehidupan kita. Minda digantikan dengan mesin pencetak. Kata-kata digantikan slogan propaganda. Kematian kata-kata? Kita tidak perlu pergi sampai jauh itu. Bangun dari meja atau pusing belakang dan lihat sahaja buku-buku yang tersusun kemas di atas rak; ia menanti sahaja untuk dibuka dan dibaca dan kata-katanya akan melompat ke riba kita. Tetapi siapakah pembaca yang akan menerima kata-kata ini? Pembaca sastera yang datang kepada sastera kerana seni dan kehidupan? Atau pembaca - para penyair - yang datang untuk menimbang, mengukur, menilai, dan menghukum buku-buku ini atas nama Tuhan?

Comments

Popular Posts