Membaca Elizabeth Costello Dari Halaman Belakang



Kenapa tidak boleh? Sebuah buku - kalau kita sedia menerima premis seni sebagai imitasi kehidupan - ialah ibarat sebuah rumah di tepi gaung yang dalam. Sebetulnya kita boleh masuk rumah itu dari mana-mana tingkap dan pintu. Kerana dalam kehidupan itu sendiri kita ditawarkan dengan lebih dari satu jalan bagi menentukan takdir hidup kita. Tetapi itu kehidupan. Bukan sebuah novel. Bukan sebuah buku. Bukan minda seorang pengarang yang kita boleh bayangkan sebagai belon yang mengembang dalam kepala pengarangnya sendiri. Ia hanya menanti untuk dipecahkan.

* * *

[halaman 233 novel Elizabeth Costello, tulisan J. M. Coetzee, terbitan Viking tahun 2003]


Acknowledgements

An earlier version of Lesson I appeared under the title 'What is Realism? in Salmagundi nos. 114-15 (1997)

An earlier version of Lesson 2 appeared as 'The Novel in Africa,' Occasional Paper no. 17 of the Townsend Center for the Humanities, University of California at Berkley, 1999. Cheikh Hamidou Kane is quoted from Phanuel Akubueze Egejuru, Toward African Literary Independence (Greenword Press, Westport, 1980), by permission of the author. Paul Zumthor is quoted from Introduction a la poesie orale, by permission of Edition du Seuil.

Lesson 3 and 4 were published, with responses by Peter Singer, Marjorie Garber, Wendy Doniger and Barbara Smuts, as The Lives of Animals (Princeton University Press, 1999).

An earlier version of Lesson 5 appeared as 'Die Menschenwissenschaften in Afrika' / 'The Humanities in Africa' (Siemens Stiftung, Munich, 2001).

An earlier version of Lesson 6 appeared in Salmagundi nos. 137-38 (2003).

'Letters of Elizabeth Costello, Lady Chandos' was published by Intermezzo Press, Austin, Texas, in 2002.

* * *

[beberapa soalan untuk Milan Kundera selepas dia selesai mendengar Leoš Janácek]

Anda sudah membaca Elizabeth Costello? Kalau ya, adakah anda merasakan Coetzee telah menghasilkan novel yang lebih bagus dari novel terkenal anda iaitu The Unbearable Lightness of Being? Dan adakah anda rasa tergugat dengan kelantangan Coetzee berbanding diri anda yang lebih berminat dengan jenaka, muzik, malaikat, dan seks? Kemudian kalau anda belum baca, walaupun saya harap anda sudah membacanya memandangkan anda seorang novelis terkenal, tapi apa nak buat kalau anda belum (saya rasa V. S. Naipul pun sama), adakah pemilihan untuk tidak membaca itu kerana anda takut untuk berdepan dengan kemunduran karya anda sendiri?

Saudara, anda menyerang saya dengan soalan-soalan gila ini seolah-olah memaksa saya untuk mendengar sonata Opus 111 pada volume tinggi. Pertama, anda memberi senario kemungkinan yang saya sudah membacanya, dan, ya, saya memang sudah membacanya, kemudian anda membuat perbandingan yang tidak adil anda antara buku Coetzee dan saya. Biar saya jelaskan dahulu. Oh, sekejap -

- kundera telah bangun untuk membetulkan potret ayahnya dan sebelum kembali duduk dia memasang Stravinsky -

Baik. Seperti saya katakan tadi, anda telah membuat perbandingan yang salah antara saya dan Coetzee. Kenapa saya kata anda salah? Kerana "Elizabeth Costello" bukan sebuah novel!

Encik Kundera, jawapan anda mengelirukan saya, kerana ia datang dari seorang pembaca yang sangat meminati Robert Musil dan Hermann Broch, padahal ini ialah dua orang novelis yang menghasilkan novel berbentuk idea, seperti novel anda sendiri, berbanding novel berbentuk psikologikal yang di abad sebelum ini menjadi ukuran utama keagungan sebuah novel.

Betul. Musil dan Broch ialah dua orang novelis yang hebat. Seperti juga Thomas Mann dan Carlos Fuentes. Jangan lupa Franz Kafka. Mereka telah mengubah cara novelis memandang novel sebagai suatu bentuk seni. Ia bukan lagi pentas drama seperti di zaman Balzac dan Dostoyevsky. Buat mereka ini yang lebih penting ialah melukiskan kompleksiti kehidupan manusia di zaman moden. Seperti yang saya buat dalam buku "The Book of Laughter and Forgetting". Kalau anda masih ingat, buku itu terbahagi kepada tujuh bahagian, sementara buku Coetzee, "Elizabeth Costello", dibahagikan kepada lapan bahagian yang dia sebut sebagai Lesson. Saya boleh sahaja asingkan tujuh bahagian dalam buku saya itu untuk menjadi tujuh buah novel asing; tetapi dengan itu saya akan gagal untuk melakukan apa yang Musil dan Mann telah berjaya. Kompleksiti kehidupan moden. Sebab itu seni elipsis sangat penting dalam novel saya. Ini sesuatu yang saya belajar dari Leoš Janácek dan Laurence Sterne. Malah ia bukan perkara baru dalam sejarah penulisan novel. Anda hanya perlu membuka buku Rabelais dan Cervates untuk mencari bukti. Berbalik kepada Coetzee. Saya fikir kegagalan Coetzee ada persamaan dengan kegagalan Broch iaitu bukunya itu terlalu mekanikal. Unsur puitika itu telah hilang. Setiap lapan Lesson dalam buku Coetzee itu ialah esei tentang realisme, novel di Afrika, binatang, eros, dan Tuhan. Saya lihat buku ini sebagai kumpulan esei. Bukan sebuah novel. Dan bukankah esei-esei itu telah diterbitkan dalam jurnal akademik sebelum dijadikan sebuah buku?

Tetapi bukankah itu juga pengalaman yang kita dapat apabila membaca Borges? Bahasa Borges lebih akademik dari Coetzee apatah lagi Musil yang tidak membawa perubahan besar kepada tradisi novel dari aspek linguistik. Dalam Coetzee masih ada element realisme dan monolog dalaman. Tentang Elizabeth Costello sendiri saya melihatnya sebagai watak yang progresif dalam novel ini. Namun, perkataan "progresif" itu akan memberikan konotasi materialistik kepada perwatakannya. Gambaran lebih tepat ialah melihat perkembangan Elizabeth dari mula hingga hujung sebagai pengembaraan rohani dari dasar neraka hingga ke pintu syurga seperti yang ditemuinya dalam Lesson kelapan. Perjalanan hidup seorang novelis, dan Coetzee sendiri, serta anda Encik Kundera, ialah seperti perjalan hidup Dante dalam Divine Comedy. Seorang novelis sentiasa melihat, mencatat, mentafsir, dan menceritakan kebenaran yang ditemuinya. Dia mencari sesuatu untuk dipercayai. Saya tahu anda seorang atheis Encik Kundera. Tidakkah anda rasa yang kemarahan anda terhadap novel ini, yang anda tidak ingin sebut sebagai novel, ialah kerana anda melihat diri anda dalam Elizabeth Costello? Tidakkah anda rasa, ketika Elizabeth disoal-siasat oleh tribunal yang ingin menyelidik kepercayaan hidupnya itu, anda juga sedang melalui pengalaman yang sama dengannya? Tidakkah anda juga ingin lihat apa yang menanti di sebalik pintu syurga?

- kundera diam. muzik stravinsky masih berputar. ruang loteng tempat kundera bekerja sangat kecil sehingga ia mengingatkan saya pada lubang bawah tanah dalam cerpen Kafka. mungkin itulah kehidupan seorang novelis. menulis dari bawah tanah seolah-olah dia akan mati di situ -

Antara Tuhan dan sastera, mana anda akan pilih?

-kundera memandang saya. dia mematikan muzik stravinsky. saya fikir sekejap dan jawab -

Kedua-duanya. Sastera di tempat kedua.

Saya akan pilih sastera. James Joyce pun sama rasanya. Dia akan kata, Kenapa pilih Tuhan? Sastera itu ialah Tuhan!

Comments

Popular Posts