Seniman Yang Merendah Diri


buat Roslan Jomel

“Why is it not, in like manner, lawful for every one to draw himself with a pen, as he did with a crayon?” - Montaigne

Menulis tentang diri sendiri ialah antara benda paling susah di dunia ini. Sudah berapa banyak memoir dan autobiografi ditulis sepanjang tradisi kesusasteraan dunia, dan dari jumlah itu hanya berapa yang masih dibaca?

Nak berfikir itu mudah sahaja kerana fikiran kita bergerak lebih laju sebelum ada kata-kata sempat menangkapnya. Dan sangat mudah untuk melihat diri sendiri dalam sungai pemikiran yang sentiasa mengalir itu. Namun sebaik sahaja kita cuba menurunkan fikiran kita di atas kertas, imej dalam sungai itu telah hanyut.

Paul Auster ialah antara penulis yang pernah berkesempatan untuk menemui Samuel Beckett di Paris. Auster masa itu berumur dua puluh lima tahun. Beckett menceritakan kepadanya tentang novel Mercier et Camier yang baru siap diterjemahkan dari bahasa Perancis ke Inggeris. Ia ditulis dua puluh lima tahun sebelum itu. Auster, yang masih belum dikenali oleh sesiapa, tidak dapat menahan diri daripada memberitahu Beckett tentang kehebatan novel itu. Beckett sudah tentu menafikannya. Ia bukan dalam naluri Beckett untuk menerima pujian. Malah dalam terjemahan bahasa Inggeris, Beckett telah memotong dua puluh lima peratus dari karya asal.

"Kenapa awak buat begitu? Ia buku yang sangat hebat. Awak tak patut potong satu perkataan pun," tegas Auster.

"Tak, tak bagus, tak bagus sangat," kata Beckett.

Mereka sambung berbual tentang hal-hal lain, dan selepas beberapa minit, Beckett tiba-tiba bertanya pada Auster: "Kau memang suka ya? Kau memang rasa ia sangat bagus?"

Ia memang sangat bagus. Namun kita tidak salahkan Beckett kerana tidak dapat melihat kegeniusan karyanya sendiri. Tidak ada penulis yang boleh. Tangan yang memegang pena itu terlalu dekat dengan seninya. Semakin halus mata pena itu maka akan semakin halus kata-kata seorang penulis. Dan semakin halus kata-katanya maka akan semakin sukar untuk dia keluar dari jaring bahasa yang telah dibina. Ia berlaku pada seniman yang terbaik.

Dan ia boleh juga berlaku pada mereka yang masih belum asahkan mata pena dengan tajam, tetapi sudah berpuas hati dengan gaya penulisan yang tumpul dan bernada amatur.

Sainte Beuve, pengkritik besar Perancis yang sudah tidak lagi dibaca, dalam satu suratnya kepada Charles Baudelaire memberitahunya bahawa kalau dia bukan seorang mentor kepada Baudelaire (dia baru menerima satu puisi dari Baudelaire) dia sudah pasti, ketika mereka berjalan-jalan di tebing bukit sebuah pantai, akan menyadung kakinya supaya dia jatuh ke dalam lautan di bawah.

"Semoga dengan itu kamu akan tahu berenang dan menemui haluan kamu sendiri untuk merentasi terik matahari dan segala pukulan ombak."

Comments

Popular Posts