Milan Kundera Dan Novelis Universal


Ketika membaca Milan Kundera saya tertarik dengan cara dia melihat hubungan novel dengan muzik. Baru-baru ini Will Self turut berkongsi pandangan sama. Kupasan yang lebih detail, menarik, dan original boleh ditemui dalam buku Adam Thirlwell Miss Herbert. Sebenarnya aspek muzikal dalam sastera itu tidak pernah terpisah kerana kata-kata itu sendiri adalah muzik dalam minda manusia. Kita membaca untuk mendengar kata-kata dan dengan mendengar kata-kata kita membebaskan minda untuk bersatu dengan minda seluruh manusia.

Kita membaca esei Kundera tentang novel dan kita habis dengan perasaan mengenali Kundera dengan lebih dekat sebagai novelis. Dia ialah novelis yang apabila sudah mula berkhutbah tentang seni penulisan novel, akan tidak dapat mengelak daripada memperkatakan novel-novelnya sendiri. Ini tidak berlaku dalam esei-esei Nabokov tentang novel. Atau surat-surat kepada novelis muda yang ditulis oleh Mario Vargas Llosa. Pandangan, pendapat, dan penilitian Kundera terhadap genre novel itu memang bagus dan tidak ada satu saat pun yang kita pertikaikan kewibawaannya. Dia bercakap tentang novel dari dalam genre itu sendiri. Dan ini sebenarnya keterbatasan Kundera. Dia ibarat Dracula yang membawa kita masuk ke dalam istana dan mengurungkan kita dalam bilik. Kamar-kamar lain adalah kawasan larangan. Bukan kerana Kundera merasakan kamar-kamar ini tidak bagus. Tetapi kerana kamar-kamar ini tidak memberikan apa-apa sumbangan penting kepada Kundera sebagai novelis.

Ada novelis yang tidak menulis langsung secara formal pendapat mereka tentang novelis lain. W. G. Sebald tidak pernah sekali pun membincangkan karya Thomas Mann, Goethe, Brecht. Kafka pun sama kecuali dalam surat-suratnya (Flaubert ialah antara novelis kegemaran Kafka). Philip Roth hanya sekadar melakukan wawancara walaupun dari situ kita boleh nampak kecenderungan Roth dalam jenis bentuk fiksyen. Shahnon Ahmad dan A. Samad Said banyak menulis tentang penulis luar namun pandangan mereka sangat terbatas. Shahnon sendiri, dalam esei-esei - atau khutbah - mutakhir nampak sangat ketinggalan di belakang apabila ingin membincangkan penulisan novel di Barat. Saya lebih rela membaca tulisan Eka Kurniawan terutama sekali eseinya tentang Borges yang dikupas dengan sangat detail.

Mencari penulis yang berpaksi universal dan lahir dari rahim sastera itu sendiri memang sangat susah. Rata-rata penulis kita di rantau ini masih sibuk bergayut dan bertenggek di dahan penulisan masing-masing.

Comments

Popular Posts