Kritikan Tumpul Agus R. Sarjono


Membaca kritikan Agus R. Sarjono ialah membaca kritikan ke atas tradisi kritikan itu sendiri. Tetapi kita tahu Agus tidak menyedarinya. Seperti orang-orang Bloomington Budi Darma tidak menyedari yang mereka tidak bebas kerana adanya benang penulis yang terjahit di tubuh mereka. Itu dalam dunia fiksyen. Dalam dunia kritikan tidak ada watak melainkan manusia sahaja. Penulis ialah teman utama seorang kritikus. Agus sendiri ialah seorang penyair. Dan Agus pada sama juga ingin berada di luar kumpulannya; dia ingin berteori; dia ingin membawa lidah sosial ke dalam sastera; dia ingin menjadi seorang kritikus. Hal sama kita boleh katakan tentang Sapardi dan Goenawan. Bezanya Sapardi dan Goenawan membawa kritikan ke dalam sastera. Agus sebaliknya hanya sekadar mengheret kritikan ke depan cermin dan menulis dari imej songsang yang dilihatnya.

Agus bukan seorang pengulas buku. Malah tidak ada satu pun ulasan buku dalam Sastra dalam Empat Orba. Judul ini diambil dari salah satu eseinya yang agak panjang dan bernada ilmiah iaitu "Sastra Indonesia dalam Empat Orde Baru." Seperti Korrie Layun Rampan dan Maman S Mahayana, Agus membawa pendekatan seorang sejarawan dalam kritikannya. Dia masuk ke dalam sastera untuk mencatat, merekod, dan menganalisa. Tetapi bukan untuk melihat. Bukan untuk mengenali. Dan sudah tentu bukan untuk menulis semula sastera dengan bahasa kritikannya sendiri.

Masalah kritikan Agus ialah masalah kritikan Malaysia dan Indonesia sekarang. Ia membosankan. Ia terlalu mabuk dengan teori dan struktur akademik. Ia lebih berminat dengan warna kulit, rambut, dan pakaian dalam seorang penulis berbanding dengan kata-kata yang terbentuk dalam mindanya. Ia lebih berminat dengan sejarah berbanding kegeniusan individu. Ia lebih berminat dengan politik berbanding sastera itu sendiri. Dalam dunia Agus, seorang penulis tidak boleh duduk diam sahaja di kamar. Dia mesti mengikut Agus naik ke "mimbar" sosial Orde Baru Indonesia. Di atas sana - di pentas masyarakat - baru seorang penulis itu akan mengenali apa yang disebut oleh Agus sebagai "habitat" iaitu tempat asal sastera dilahirkan. Tidak hairanlah kalau penyair "sufi" (atau yang pernah dapat label sufi) seperti Abdul Hadi W. M. mendapat kritikan tajam daripada Agus:

"Penyair yang menulis dari keheningan meditasi sufistis akan merasa bahawa pilihannya tidak lagi mencukupi, karena kesufian menjadi mandul dan kehilangan sosialnya. Nabi Muhammad, setelah Mi'raj tidak berdiam di keheningan dan kenyamanan sufistik. Beliau turun kembali ke bumi mengubah masyarakat dengan basis kesempurnaan rohaninya. Beliau menjadikan pencapaian rohani punya relevansi pada perubahan sosial."

Tangan kritikan Agus itu ada dua: pertama ialah tangan sosial dan satu lagi ialah tangan puisi. Agus ialah jenis penulis yang apabila dia sudah menggunakan satu tangan, dia akan lupa untuk menggunakan tangan yang satu lagi. Ini mengingatkan kita pada Shahnon Ahmad dan Muhammad Haji Salleh di Malaysia. Antara dua tangannya itu tangan sosial yang paling banyak membuat kerja kritikan untuk Agus. Tangan itulah yang, dengan berani dan tidak warasnya, mengajak penulis untuk "membersihkan bahasa" bagi "membersihkan masyarakat" (Agus meminjam kata-kata Lao Tze). Tangan ini barangkali terlalu kasar untuk menangkap kata-kata dalam puisi Afrizal dan Sutardji kerana kata-kata mereka itu bersifat individualistik dan tidak mesra publik. Kalau Agus itu ingat untuk menggunakan tangannya yang satu lagi ketika dia membuat kenyataan ini barangkali dia akan sedar bahawa bahasa puisi itu bukan bahasa publik walaupun ia asalnya meminjam kata-kata publik. Setelah kata-kata itu dipinjam ia mengalami transformasi dalaman. Ia dimandikan dengan imaginasi dan idea seorang penyair. Selesai mandi, cara seorang penyair memberikan pakaian kepada kata-kata puisinya itu memang terserah pada desakkan intuisi si penyair. Joko Pinurbo dan Taufiq mungkin suka pakaian yang sederhana. Tetapi itu tidak bermakna pakaian simple dan mesra publik mereka itu lebih agung dari pakaian gaya dandy dan urban Afrizal. Atau yang berjubah intelektual seperti Subagio dan Goenawan.

Membaca esei-esei Agus dalam buku ini ialah seperti membaca catatan seorang wartawan yang tidak pernah keluar daripada tub mandi biliknya. Pemerhatian Agus terhadap sastera Indonesia - apatah lagi Malaysia - terbatas pada bahagian kulit sahaja, dan ia tidak masuk sampai ke dalam sumsum tulang dan DNA pemikiran seorang penulis. Untuk DNA Agus sendiri, sebagai kritikus, ia mudah sahaja dibaca dan ia boleh digambarkan melalui petikkan beberapa tulisan gaya kewartawanannya itu:

"Manusia kota, besar atau kecil, mengisi banyak lembaran-lembaran karya sastra sejak dulu hingga sekarang. Namun, adakah karya sastra Indonesia yang menampilkan dan menggarap sosok petani dengan latar pertaniannya?"

Atau ini ketika dia cuba mengkritik karya Budi Darma:

"Dan Budi Darma yang dengan novel Olenka dan kumpulan cerpen Orang-orang Bloomington-nya meneguhkan posisi manusia sebagai entitas yang sepi dan homeless, dalam novel terbarunya, Ny. Talis, mulai mencitrakan sebuah rumah tangga yang tegak dan at home dengan anak-anak yang tumbuh besar dalam ketenteraman keluarga."

Atau ini:

"Apresiasi kesenian, khususnya sastra, tidak mendapat wahana memadai di media TV baik pemerintah maupun swasta. Tak ada perbincangan buku sastra sebagaimana perbincangan tentang sepak bola atau mode dari peristiwa nun jauh di mancanegara sana."

Dan di sini kita menemui dua perkataan kegemaran Agus iaitu "pemerintah" dan "media." Dari dua posisi ini Agus banyak membuat kritikannya terhadap budaya, politik, teknologi, ekonomi, dan -akhirnya - sastera Indonesia. Hanya apabila Agus benar-benar berada dalam sastera, iaitu apabila tangan penyairnya itu mula menulis, baru kita akan didedahkan dengan seni penulisan seorang kritikus. Ini amat jelas apabila puisi dan fiksyen ialah subjek utama kritikan Agus seperti yang ditulisnya dalam Sastra Indonesia Dalam Empat Orde Baru. Tetapi tulisan dari tangan penyair Agus itu sering kali dibiarkan sembunyi dalam saku celana sementara tangannya yang satu lagi sibuk diayunkan ke udara bagi laungan protes sosial yang sia-sia.

Comments

Naskah Percuma said…
saya suka tulisan anda. pada saya seni yang dikeluarkan utk tatapan masyarakat harus mempunyai nilai fikiran dan nilai jiwa untuk masyarakat itu. Tetapi seni bukan utk masyarakat saja. Seperti agama, seni juga utk individu. Dan nilai yg dismpaikan oleh seni individualistik adalah utk individu yg mampu menghubungkan pengalaman dan pengetahuannya dgn seni yg dicetuskan itu. Chairil Anwar juga seorang penyair individualistik tetapi individualitinya mampu dikongsi oleh ramai kerana pada pengalamannya ada pengalaman ramai. Tulisan anda bernas. Syabas :)

Popular Posts