Kritikan Agresif
Henry James
Beberapa hari ini saya sibuk menulis ulasan terhadap buku James Wood How Fiction Works. Tidak sempat lagi untuk masuk tulisan baru di blog. Antara semua buku yang saya telah buat ulasan, ini ialah yang paling berat dan mencabar. Menulis kritikan ke atas kritikan seorang pengkritik memerlukan pendekatan berbeza. Lebih-lebih lagi dengan seorang kritikus seperti James Wood yang memang kaya dengan metafora, detail dalam setiap penelitian, tegas dalam setiap hukuman yang dijatuhkkannya pada merit dan kegeniusan seorang penulis. Selesai membuat ulasan saya akan letakkannya di blog ini.
Kritikan keras. Kadang-kadang kita tidak dapat mengelak membaca kritikan jenis ini. Saya jumpa satu di Dewan Sastera 1974 iaitu artikel yang ditulis Mohd Affandi Hassan. Dalam tulisan itu dia menyerang kritikan Baha Zain dan Umar Junus terhadap puisi Latiff Mohidin. Dari mula hingga akhir Affandi memang menyerang dengan gaya-Affandi yang kita sudah biasa dan naik mual nak baca. Tetapi itulah Affandi. Pengkritik yang agresif.
Tetapi bukankah memang sudah menjadi lumrah untuk seorang kritikus itu menjadi agresif? James Wood itu agresif. Harold Bloom itu agresif. Martin Amis lagilah. Pengecualian, barangkali, boleh diberikan kepada Virginia Woolf yang meluncur dengan tenang dan penuh bijaksana dalam setiap kritikan yang ditulisnya. Henry James dalam buku berjudul The Art of Criticism membawa sisi feminin dan maskulin; gabungan antara Sainte Beuve dan Matthew Arnold. Di beberapa tempat kita nampak James itu agresif terhadap penulis yang dikritiknya, terutama sekali penulis yang memberi cabaran pada teori fiksyennya sendiri (George Elliot, Hawthorne, Flaubert), tetapi James sentiasa mengalir bersama arus pemikiran - pandangan hidup - penulis itu. Dia masuk lebih dalam daripada Woolf dan James Wood. Selesai membaca esei-esei Henry James kita rasa seperti baru turun dari suatu perjalanan keretapi yang jauh, dan ketika kita duduk termenung menghirup udara lokomotif dan kesepian landasan, kita membuka kembali ingatan-ingatan kita terhadap kebenaran hidup yang beberapa jam lalu telah melintas di jendela koc kita.
Comments