Membuka Majalah Lama






"An indeed, if there is a counterpart to the confusion of a library, it is the order of its catalogue."
(Walter Benjamin)

*
Buku-buku berselerak di atas lantai. Dan bukannya sedikit. Di atas meja dan kerusi pun sama. Adakah ini sebuah perpustakaan? Ya, ini memang sebuah perpustakaan. Tentang namanya, iaitu Pusat Dokumentasi Melayu, kita boleh abaikan sahaja, walaupun saya tertanya-tanya juga, memandangkan kita sudah menganggapnya sebuah perpustakaan, kenapa ia tidak dibuka pada hujung minggu. Ia buka ikut office hours, jawab suara budaya dalam telinga saya. Oh, kalau begitu, senang cerita. Budaya office hours itu memang budaya kita seolah-olah hanya di waktu itu orang membaca buku dan, kalau ada masa, menulis.

Berbalik kepada Pusat Dokumentasi Melayu. Bahagian arkib majalah. Sekejap, sebelum kita naik ke tingkat itu, mari kita tengok tangganya. Saya fikir bentuk, binaan, dan ketinggian sebuah tangga itu penting di dalam sebuah perpustakaan. Susah untuk orang tua panjat kalau sebuah perpustakaan itu ada sampai empat tingkat dan tangganya berpintal-pintal. Dan cuba anda bayangkan kalau memang wujud sebuah Perpustakaan Babel seperti yang dilukiskan oleh Borges dalam cerpennya. Ia bukan sekadar sebuah perpustakaan, tetapi juga kamar alam semesta ini:

"The universe (which others call the Library) is composed of an indefinite and perhaps infinite number of hexagonal galleries, with vast air shafts between, surrounded by very low railings. From any of the hexagons one can see, interminably, the upper and lower floors. The distribution of the galleries is invariable."

Itu Perpustakaan Babel. Bukan Perpustakaan Negara Malaysia apatah lagi, kalau ia memang sebuah perpustakaan, Pusat Dokumentasi Melayu. Tentang tangga untuk naik ke bahagian arkib majalah itu memang sangat tinggi seolah-olah setiap anak tangga itu sedang membawa kita ke ruang solat dan khutbah sebuah masjid. Mungkin dengan kekuatan keimanan kita sanggup sahaja. Tetapi untuk panjat naik mencari majalah dan keratan akhbar lama seseorang itu mungkin akan fikir dulu puas-puas. Lebih-lebih lagi apabila sudah sampai di bahagian arkib itu dia melihat sebuah kamar ilmu yang tidak terurus. Dan seorang manusia pun tidak ada.

Tetapi sebenarnya memang ada orang. Saya perasan setelah menyusuri rak-rak tinggi di situ dan mendapati ada kelibat kepala botak seorang lelaki sedang tersembunyi di balik tirai kubikel sebuah meja kerja. Kehadiran saya tidak dipedulikannya. Mungkin dia tidak dengar, atau buat-buat tidak dengar, dan kalau dia ingin dengar juga, memang tidak apa-apa untuk dia dengar, kerana arkib itu, sama ada seseorang itu dengar atau tidak dengar, sudah menjadi seakan-akan bilik mayat sebuah hospital. Tempat tubuh-tubuh tidak bernyawa dan tidak bersuara bersemadi. Begitu juga dengan buku, akhbar, dan majalah lama.

Bahan-bahan ini ditempatkan di sebuah arkib kerana tidak ada lagi manusia yang ingin mendengar jeritan suara batin mereka.

*
Saya bukan seorang pengumpul buku. Beli memang saya beli. Malah rak di rumah sudah tidak cukup untuk menampung apa-apa buku baru. Tetapi, dan ini yang membezakan saya dengan seorang pengumpul, saya membeli untuk tujuan membaca. Walter Benjamin memberitahu kita bahawa keghairahan seorang pengumpul itu digerakkan oleh suatu kekacuan memori: "For what else is this collection but a disorder to which habit has accommodated itself to such an extent that it can appear as order?" Masalah ini ialah masalah seorang pengumpul. Ia bukan masalah buat saya. Memori bukan sebuah kamar kaku. Kita harus sentiasa mengemas dan menghiasinya. Tetapi kerja mengemas dan menghias ini, saya kira, yang menjadi kekangan kepada seorang pengumpul. Dia tidak membaca semua buku yang dibelinya. Mana ada masa. Seseorang itu membaca buku bukan sahaja untuk menambah sudut baru dalam memorinya tetapi pada masa sama untuk menyusun semula ingatan-ingatan yang mungkin sudah dipinggirkan dan dilupai.

Manusia itu ialah makhluk yang sentiasa berubah-ubah identitinya. Dan pembacaan ialah ruang untuk suaranya di masa sekarang berbicara dengan suaranya di masa lalu.

Tetapi buat seorang pengumpul, perbualan ini berlaku secara luaran. Dia mesti melihat sendiri di depan matanya diri dari masa lalu itu. Seperti seorang itu membaca buku secara berterusan seumur hidup, seorang pengumpul mengumpul buku secara berterusan seumur hidupnya. Kadang-kadang proses ini berlaku secara serentak dalam diri seorang pembaca. Walter Benjamin, yang bukan sahaja seorang pengumpul buku, tetapi juga penulis esei kritikan dan falsafah, pernah memberikan definisi tentang penulis dan pengumpulan buku: "Writers are really people who write books not because they are poor, but because they are dissatisfied with the books which they could buy but do not like."

*
Majalah pertama saya keluarkan dari rak Pusat Dokumentasi Melayu dan baca ialah Horison edisi Januari 1968. Dewan Redaksi Horison pada masa itu ialah Mochtar Lubis, H. B. Jassin, Zaini, Taufiq Ismail, Arief Budiman, dan Goenawan Mohamad. Illustrasi kulit depan berwarna hitam putih dengan corak abstrak. Sekali pandang ia nampak macam majalah-majalah zine di negara kita sekarang. Kertasnya sudah kuning. Jari-jari saya terasa gatal apabila menyelak dari satu halaman ke satu halaman. Seolah-olah emosi dari zaman majalah itu muncul sedang menggigit saya. Berikut ialah senarai beberapa tulisan menarik yang saya kutip dari majalah itu (ejaan lama sengaja dikekalkan):

Di halaman 3 ialah Sebuah Sketsa Setengah Abad: Kesusastraan Indonesia (1917-1967) oleh Goenawan Mohamad.

Di halaman 5 ialah Demikianlah Ujar Zarathustra oleh Nietzsche yang diterjemahkan oleh H. B. Jassin.

Di halaman 9 ialah cerpen Godlob oleh Danarto.

Di halaman 12 ialah cerpen Djimat oleh Mochtar Lubis.

Di halaman 16 ialah sajak-sajak W. S. Rendra iaitu Njanjian Angsa, Bersatulah Pelatjur-Pelatjur Kota Djakarta, Pesan Pentjopet Kepada patjarnja.

Kebanyakkan tulisan ini saya sudah pernah baca, tetapi kenikmatan membaca semula dari majalah asal ia muncul, ternyata, lebih mengesankan. Ia adalah perasaan sama kita rasa apabila membaca edisi pertama sebuah novel yang sudah tidak ada lagi di pasaran. Terutama sekali kalau ia novel yang hanya boleh ditemui di kedai buku terpakai.

Saya tidak berhenti dengan Horison edisi ini sahaja. Dalam edisi Ogos 1968 saya menemui salah satu sajak Goenawan kegemaran saya iaitu Randjang Pengantin Kopenhagen:


"Di luar saldju terus. Hampir pagi.
Tubuhmu terbit dari berahi
Angin menembus. Hilang lagi.

Nafasmu membajang dalam dingin. Mentjari

Panar katulistiwa itu
Gamelan perkawinan itu
Tak ada kini padaku
Adakah kau tahu?
Hanja ingin, hanja senjap, hanja rusuk
Darimana aku ada.
Hanja dingin. Lindap. Lalu kantuk
Darimana engkau tiada."


Turut berada dalam edisi itu ialah esei H. B. Jassin tentang novel Shahnon Ahmad Ranjau Sepanjang Jalan. Penulisan gaya Jassin ini sudah susah untuk ditemui dalam kritikan sekarang iaitu penulisan yang menggambarkan warna, bayang, emosi dan tubuh sebuah karya sastera:

"Selesai membaca buku ini kita merasa lepas dari cenkeraman maut dan bertambah pengalaman kita, meskipun hanya dengan penghayatan imajinasi. Dan kita menghadapi tugas hidup kita sehari-hari dengan perasaan syukur, bahawa penderitaan kita masih lebih ringan dari penderitaan yang dialami oleh Lahuma sekeluarga."

Membuka majalah lama ialah membuka album gambar lama. Yang anehnya gambar-gambar di dalam album itu bukannya gambar kita, tetapi ia juga, sebenarnya, memang gambar-gambar kita. Gambar-gambar emosi yang dihidupkan semula.

*
Saya pernah memberitahu Lutfi Ishak yang saya tidak percaya pada sejarah. Ini sebenarnya tidak betul. Saya telah menipu Lutfi. Pada masa sama - tanpa saya sedari masa itu - saya juga telah berkata benar padanya. Saya percaya pada sejarah tapi bukan pada sejarah itu sendiri. Ia adalah seperti kepercayaan kita pada fiksyen. Pada sastera! Ia adalah seperti kepercayaan kita pada Tembok Besar China Franz Kafka yang, kita yakin, adalah berdasarkan Tembok Besar China yang sebenar, tetapi kita turut yakin - sebagai pembaca fiksyen - yang ia adalah Tembok Besar China yang lain. Ia adalah Tembok Besar China milik Kafka seorang. Dan ia juga adalah kepercayaan sama apabila D. Zawawi Imron menulis dalam sajaknya "kulempar lembing ke wajah bintang yang menangis semalam," atau "kugenggam sunyi, beribu senyum mengintip," atau "di langit merah/ membias/ diam yang tak bisa kuterka." Ini ialah kepercayaan kita pada bahasa puisi. Kepercayaan, dan kesudian untuk mendengar, suara emosi manusia lain. Saya sengaja tak turunkan di sini "Bulan di atas kuburan," atau "Aku ini binatang jalang," atau "Aku ingin mencintaimu dengan sederhana." Perlu ke? Kita sudah biasa dengan bahasa penyair-penyair ini. Ia sudah menjadi klise. Seperti sudah menjadi klise untuk memetik nama Usman Awang dan A. Samad Said - seolah-olah tidak ada nama lain - apabila membuka topik seni penulisan puisi. Tetapi, jangan keliru, klise mereka bukan klise Fudzail atau klise Lim Swee Tin atau klise Rahman Shaari atau klise Arbak Othman. Jauh sekali.

Sejarah bukan lahir dari sejarah. Sejarah lahir dari minda manusia. Tetapi sebelum dapat lahirnya suatu sejarah - suatu tradisi atau budaya baru - seorang manusia itu mesti menghamilkan minda dan batinnya dengan kata-kata yang tulen. Dia mesti berperang dengan klise budaya seperti yang disebut oleh Martin Amis dalam bukunya berjudul The War Against Cliche:

"To idealise: all writing is a campaign against cliche. Not just cliches of the pen but cliches of the mind and cliches of the heart. When I dispraise, I am usually quoting cliches. When I praise, I am usually quoting the opposed qualities of freshness, energy and reverberation of voice."

*
Di mana kita tadi? Oh ya, PDM. Giliran Dewan Sastera sekarang. Waktu itu sudah jam tiga petang. Saya mengambil tempat duduk di belakang rak yang menghadap tingkap dengan tersusun di atas lantai, dalam barisan panjang, buku-buku, majalah-majalah, risalah-risalah lama. Suasana masih sunyi. Kecuali suara-suara gosip beberapa orang pustakawan yang sangat merimaskan. Saya memilih Dewan Sastera edisi Ogos 1987. Kenapa? Sebab di muka depannya ialah illustrasi potret Latiff Mohidin. Di kalangan penulis, mapan atau muda, nama Latiff itu sering mengukirkan suatu senyuman. Bukan sebab gembira atau teringatkan orangnya. Ya, nak jumpa dia dalam masyarakat pun susah. Seseorang itu gembira selalunya kerana nama Latiff itu sudah begitu sinonim dengan puisi Sungai Mekong. Seperti Chairil Anwar itu begitu sinonim dengan puisi Aku walaupun itu mungkin bukan puisi terbaiknya. Atau Sapardi yang sinonim dengan puisi Aku Ingin (malah itu sahaja puisi Sapardi yang kebanyakkan orang tahu). Sebut sahaja Latiff, imejan dan warna perasaan dari baris-baris Sungai Mekong akan mengalir perlahan-lahan kembali ke ingatan. Sebut A. Samad Said... apa yang orang akan ingat? Salina? Mungkin. Hujan Pagi? Mungkin. Sungai Mengalir Lesu? Mungkin juga. Daerah Zeni? Mungkin, mungkin. Orang-orang BERSIH, sama ada yang menyokong atau sekadar menjadi parasit-rintihan di janggut putih Pak Samad, ingin ingat Pak Samad yang turun ke tengah Kuala Lumpur dengan baju kuningnya; Pak Samad yang makan gas bersama mereka; Pak Samad yang tersenyum - dan dia memang selalu tersenyum - apabila berhadapan dengan kekerasan pihak polis bagai Gandhi, mungkin juga Tolstoy, yang tiba-tiba menjelma semula dalam tubuh seorang sasterawan negara. Itu yang mereka mahu ingat. Kecuali Kemala. Dan mungkin juga Latiff sendiri. Latiff, Latiff. Ah, nama itu terketar-ketar di bibir para penulis muda mengalahkan deklamasi puisi Pyanhabib. Satu-satunya penulis, satu-satunya sasterawan, yang mendapat tempat dalam dunia underground (bagai Allen Ginsberg dan Jack Kerouac) dan juga dunia kesusasteraan mainstream (bagai Andre Breton dan Charles Simic):

"Falsafah?... Kalau adapun hanya bersikap sederhana dalam segala hal... Sebab demikian saya dididik sejak dari kecil - terkilas dalam peribahasa... Seni dah hidup itu berkaitan rapat dan itu tergantung juga kepada sikap. Jadi kita sering cuba kembali kepada sikap sederhana."

Itu Latiff dalam wawancara. Saya masih ingat, beberapa bulan lalu, ketika sedang mencari buku di Kinokuniya KLCC, saya nampak Latiff sedang berjalan-jalan bersama keluarganya. Sehari sebelum itu saya dengar beberapa orang penulis kita telah bertolak ke Pulau Pinang untuk bertemu dengannya di sana. Malang sekali dia berada di Kuala Lumpur. Itu pertama kali saya melihat Latiff. Orangnya rendah (lebih kurang tinggi Rahimidin Zahari kalau tidak silap saya). Kulit sedikit gelap. Dan ya, sudah berkerut-kerut, raut wajah yang suatu masa dahulu - seperti yang saya lihat dalam Dewan Sastera - menjadi ikon perjuangan orang seni yang tulen. Latiff itu, seperti T. Alias Taib dan Muhammad Haji Salleh, dalam sajak-sajak lewatnya, dan juga usia seni, sedang menghampiri nyala lilin yang terakhir.


"1. suatu hari kauakan bangun
dari lumpur
melihat sekitar
penh ketandusan

kerana air
telah kembali ke tian bumi
asap ungu telah berpusar
di atas perdu yang luluh

di sudut taman simen kaukini terbaring
bertanya: tidak adakah yang datang?"


Petikkan dari sajak Latiff berjudul Seruan Air. Saya tulisnya dalam buku catatan. Bersama ringkasan polemik yang pernah berlaku antara Umar Junus dengan Ajip Rosidi, dan juga polemik antara Suhaimi Haji Muhammad - yang kata dia menulis untuk kaum elit - dengan Rahman Shaari. Tetapi saya malas nak ingat pasal polemik. Bukan itu tujuan saya mencari majalah lama. Saya mencari majalah lama kerana usia hidup ini singkat. Dan kerana usia sastera itu, sebaliknya, sentiasa dihidupkan semula dengan setiap pembacaan.

Comments

MARSLI N.O said…
Sdr Wan Nor Azriq: Saya suka membaca catatan Sdr yang mengilhamkan ini: "Seseorang itu membaca buku bukan sahaja untuk menambah sudut baru dalam memorinya tetapi pada masa sama untuk menyusun semula ingatan-ingatan yang mungkin sudah dipinggirkan dan dilupai."

MARSLI N.O
Wan Nor Azriq said…
Terima kasih Sdr Marsli

Popular Posts