Adonis Bakal Pemenang Hadiah Nobel?


Setiap tahun saya dan Roslan Jomel akan meramal pemenang seterusnya Hadiah Nobel. Setiap tahun ramalan kami tidak pernah lagi tepat. Salman Rushdie, Haruki Murakami, Adam Zagajewski, Cormac McCarthy, Tanikawa, John Ashbery ialah antara nama yang sentiasa berada dalam senarai pendek saya. Setiap tahun - atau dari permulaan anugerah ini diperkenalkan - majoriti penulis yang mendapatnya ialah bukan penulis yang kita boleh kata mewakili kegeniusan zamannya dan juga zaman akan datang. J. M. Clezio? Doris Lessing? Mario Vargas Llosa? Toni Morrison? Tanpa menafikan kekuatan mereka sebagai novelis, kita masih perlu akui bahawa mereka bukan yang terbaik dari segi sumbangan mereka kepada perkembangan tradisi penulisan novel. Cuba tengok Clezio. Saya tidak boleh membayangkan ada penulis sekarang, dari mana-mana negara, akan mengikut gaya penulisannya dalam Terra Amata dan War. Clezio itu patut menang ketika nouveau roman masih panas di Perancis - itupun ia adalah aliran penulisan yang gagal. Nak merungut sekarang pun sebenarnya tidak ada guna lagi. Pembaca dan penulis dari setiap generasi yang akan menentukan sendiri penerimaan seorang penulis ke dalam kanon sastera dunia.

Seterusnya kita ada nama yang memang tidak perlu dipertikaikan lagi kegeniusan mereka. Jose Saramago, Gabrial Garcia Marquez, Czeslaw Millosz, Pablo Neruda, Beckett. Sumbangan Marquez, Neruda, Beckett ialah antara yang paling besar di zaman kita. Malah sastera Inggeris zaman pasca-perang barangkali tidak akan melahirkan penulis seperti Angela Carter, Jeanette Winterson, A. S. Byatt, dan Salman Rushdie tanpa Marquez. Di negara kita dan Indonesia, Neruda ialah penyair dunia yang paling berpengaruh. Untuk Marquez kita boleh tengok pengaruh paling jelas dalam Roslan Jomel dan Eka Kurniawan. Selepas Marquez sudah tentu nama Borges yang akan disebut. Namun Borges (bersama James Joyce, Virginia Woolf, Tolstoy) ialah antara mereka yang tidak mendapat Hadiah Nobel. Yang menang di awal abad kedua puluh itu ialah Herman Hesse, Henri Bergson, Sinclair Lewis, Ivan Bunin. Tetapi di manakah nama-nama ini sekarang?

Saya baru dapat tahu pagi tadi yang Adonis, penyair dari Syria, telah menerima anugerah Goethe. Seorang lagi penyair yang selalu disebut-sebut untuk menerima Hadiah Nobel. Sebelum ini Yehuda Amichai ialah penyair pilihan untuk menerimanya, tetapi dia tidak menang juga. Calon pilihan tahun ini selain Adonis ialah Haruki Murakami dan Cormac McCarthy. Yang terbaik antara tiga orang mereka ialah Cormac McCarthy. Tidak ada satu novel Murakami yang boleh berdiri sama tinggi dengan pencapaian McCarthy dalam Blood Meridian dan The Road. Namun semenjak beberapa dekad ini, penulis dari Amerika memang bukan calon pilihan. Selepas Faulkner, jika ada seorang penulis dari benua itu yang patut menerima Hadiah Nobel, penulis itu ialah Cormac McCarthy.

Comments

Nimoiz T.Y said…
Calon seterusnya ialah Roslan Jomel.

Popular Posts