Kematian Tradisi Penulisan Kritikan (II)


Sastera itu ada ramai penulis, tetapi tidak ramai kritikus besar. Yang bagus itu selalunya menulis bukan sahaja esei dan kritikan, tetapi juga fiksyen (Shahnon Ahmad, Virginia Woolf, Henry James), atau puisi (Goenawan, Sapardi, Coleridge, Emerson, Borges), atau memang dikenali sebagai penulis esei sahaja walaupun ada menulis puisi dan novel (Hazlitt, Johnson, Sontag). Kritikus sejati? Itu sangat sedikit. Harold Bloom ialah yang terbaik di zaman kita. Di Indonesia ialah H. B. Jassin. Sehingga sekarang, kedudukkannya belum ada pengganti.

Semasa Jassin meninggal dunia pada tahun 2000, Agus R. Sarjono menulis bahawa penulis-penulis Indonesia kini telah menjadi yatim piatu; mereka kehilangan rumah - kehilangan gereja - untuk mereka berteduh dan membina kamar peribadi; mereka kehilangan sang paus yang akan mengucup dahi dan memberkati kelahiran mereka sebagai sasterawan; mereka kehilangan pelita untuk menerangi sastera Indonesia keluar ke pentas antarabangsa - pentas universal seperti yang Jassin sendiri perjuangkan dari permulaan penulisannya sebagai kritikus. Jassin itu dimakamkan di Taman Makam Pahlawan Nasional Kalibata.

Begitu tinggi sekali orang Indonesia mengangkat kritikus mereka. Susah nak membayangkan negara lain melakukan penghormatan yang sama. Kalau kritikus itu diangkat sekali pun pada suatu zaman, dia mungkin dilupakan di zaman yang lain. Masih adakah orang membaca Jassin sekarang? Masih adakah orang membaca F. R. Leavis atau Allen Tate atau William Empson? Di universiti mungkin. Itupun teori Formalisme Baru sudah tidak dipandang oleh pensyarah dan sarjana. Terlalu mudah. Tidak cukup intelektual. Tidak cukup Melayu dan Islamik. Kita mesti mencipta teori kita sendiri. Begitulah seruan yang bergema dalam kitab-kitab tebal dan berkulit keras dan berhabuk para kritikus kita. Bunyinya hanya berdesis di celah daun-daun pintu dewan kuliah. Ia tidak sampai ke telinga pembaca. Apatah lagi para penulis. Teori akan hanya tinggal teori. Dan para kritkus yang menciptanya akan dilupakan begitu sahaja.

Memang mudah untuk kita menyalahkan masyarakat apabila tulisan kritikan tidak dibaca apatah lagi dipandang serius sebagai sebuah karya seni. Novelis dan penyair pun sama. Mereka menuduh pembaca kita sebagai mempunyai taste yang rendah. Jangan membaca Ramlee Awang Murshid dan Ilham Hamdani. Itu taste rendah. Tuduhan sama dilontarkan kepada mereka yang menonton wayang. Penulis dan pengkritik mengutuk mereka kerana menonton filem seram atau lawak-bodoh-ala-Senario. Itu taste rendah. Tetapi, kita mesti ingat, bahawa keinginan umum itu ialah hukum yang berada di luar batas seorang seniman. Dan seorang seniman itu sendiri juga bermula, dan kemudian kembali, dalam kelompok umum yang sama. Betul, dia mencipta. Dan dia mencipta menggunakan bahasa puisi - bahasa sastera - yang mengubah, memintal, melebih-lebihkan, merendah-rendahkan, mendramakan, dan mengindahkan bahasa umum sebuah masyarakat. Memang itu kerjanya. Dia ialah, seperti kata Paul Valery, tuhan dalam penulisannya. Tetapi pada sama dia juga bukan tuhan. Dia hanya manusia. Dia juga sebahagian, dan kadang-kadang tidak sebahagian, daripada keinginan umum yang dia sendiri ingin mengelak untuk memuaskan keinginan peribadinya. Dia tahu dia tidak boleh tunduk sepenuhnya pada kehendak masyarakat. Tetapi, dia juga tahu, untuk dia memuaskan keinginannya, dia mesti memuaskan keinginan bahasa itu sendiri.

Saya pernah tulis bahawa tradisi kritikan di negara kita sudah mati. Ia mati bukan kerana tiada lagi buku dan tulisan kritikan di majalah. Ada. Memang sangat ada. Itu belum ambil kira penulis-penulis kita yang membuat ulasan buku di blog. Kemudian cuba anda masuk ke dalam sebuah majlis sastera. Perbincangan. Polemik. Kertas kerja! Semua ini dilakukan, kononnya, atas nama perbincangan ilmiah yang, sebenarnya, tidak membawa apa-apa sumbangan penting kepada perkembangan tradisi kritikan. Tetapi ia tetap kritikan. Seterusnya kita tengok pengkritik dan sarjana kita. Ramai bukan? Di Indonesia pun sama. Malah buku kritikan mereka lebih banyak daripada kita. Yang feminisnya; yang studi budayanya; yang pascakolonialnya; yang Derrida; yang Foucault; yang Lacan. Dan masing-masing ingin tampalkan label mereka di dinding dan jendela rumah sastera. Kamar Chairil Anwar dan Amir Hamzah itu pasti terlalu gelap kerana banyak sarjana yang menempelkan label di jendela mereka. Itu belum tengok kamar Ayu Utami. Atau Faisal Tehrani. Setiap hari masyarakat melintas depan rumah sastera ini dan mereka akan melihat dinding-dinding yang tertampal. Kalau di kota, manusia itu sudah jemu membaca iklan. Di kampung, manusia sudah mempunyai alam sebagai teman. Dia tidak memerlukan label. Jadi, akhirnya, rumah sastera itu akan tinggal sebagai sebuah rumah kertas sahaja.

Pengkritik sekarang hanya mencipta kertas. Pengumpul suratkhabar lama di belakang rumah sastera.

Seorang pengkritik seharusnya menulis dari dalam rumah itu. Dia harus membangunkan sebuah rumah sastera.

Untuk itu, dia mesti terlebih dahulu, selaku arkitek sastera, memahami asas binaannya. Dia mesti membina dari dalam sastera itu sendiri, bukan dari luar. Dia mesti membawa dirinya ke setiap kamar penulis dalam rumah itu; menyimpan sebanyak mungkin pengalaman hidup yang dikutipnya dari penulis-penulis yang dia telah berbual dan mengenali; kemudian dia mesti menguruskan rumah itu, mengikut desakkan intuisi, supaya semua orang berada di kamar dan tingkat yang sepatutnya. Label dan risalah orang luar sudah tidak penting buatnya. Kalau ada tetamu, pembaca, yang datang ke rumah itu, maka dia mesti menjemput, menerangkan, menjelaskan, dan mempengaruhi mereka untuk mencintai sastera. Ingat, mempengaruhi, bukan memaksa. Tidak ada paksaan dalam seni. Seperti seorang pengkritik tidak boleh memaksa penulis (bukan seorang penulis, tetapi banyak) untuk tunduk pada kehendaknya. Sudah cukup kalau dia dapat membangunkan dalam dirinya kata-kata yang akan mengikat roh dan pemikiran antara dirinya dengan penulis itu.

Dan ini bukan kerja mudah.

Comments

MARSLI N.O said…
Sdr: Saya suka membaca bahagian tulisan Sdr yang ini:"...Tidak ada paksaan dalam seni. Seperti seorang pengkritik tidak boleh memaksa penulis (bukan seorang penulis, tetapi banyak) untuk tunduk pada kehendaknya. Sudah cukup kalau dia dapat membangunkan dalam dirinya kata-kata yang akan mengikat roh dan pemikiran antara dirinya dengan penulis itu."

Terutamanya mengenai tiada paksaan itu......

MARSLI N.O
fadz said…
terasa tau.. kita ulas saja2, hahaha
Wan Nor Azriq said…
This comment has been removed by the author.
Anonymous said…
Salam,

Sepekan yang lalu, satu SN dan satu penulis rajin berusaha bercakap2 tentang tradisi kritikan sastera yang semakin mati di negara ini. Antara alasan yang lahir dari cakap2 SN itu adalah ketiadaan ruang kritikan sastera di media cetak manakala si penulis rajin berusaha menyebut tentang ketidakberanian orang mengkritik kerana merasakan bahawa mereka tidak cukup ilmu.

Satu orang bebal sastera, yang lebih banyak diam tiba-tiba mencelah,

"Mungkin sekarang semua orang lebih ingin menghasilkan dan menerbitkan karya masing-masing dan tidak lagi peduli dan mengambil tahu tentang karya orang lain."

Saya tidak dapat membaca riak wajah SN dan penulis yang rajin berusaha ketika mendengar pernyataan orang bebal sastera itu.

Dulu, dalam satu seminar sastera Nusantara, Allahyarham Cikgu Azizi Hj Abdullah pernah mengeluh dan mengadu kepada SN Arenawati tentang karya-karyanya yang dipakaikan dengan bermacam-macam teori dan pendekatan sastera oleh para pengkritik.

Cikgu Azizi: Tapi Pak Arena, saya tidak pernah menulis dengan memikirkan segala macam teori sastera itu. Saya tidak tahu banyak tentang teori-teori sastera. Jadi, bagaimana?

SN Arenawati: Kau tidak perlu risau Azizi. Kita ini penulis, tulis sahaja tentang apa yang kita inginkan. Tentang kritikan dan segala macam teori itu biarkan sahaja. Itu kerja para pengkritik. Kau menulis sahaja tanpa perlu bimbang apa-apa. Kita sudah selesai dengan kerja kita, bahagian para pengkritiklah pula yang akan menilainya.

Popular Posts