Jargon: Suara Baru Sastera Malaysia

Dalam sejarah sastera, akan sentiasa ada generasi yang membawa penulisan alternatif. Kehadiran mereka selalunya sekejap sahaja seperti Beat Generation dan Imagism di Amerika, atau Symbolism dan nouveau roman di Perancis. Kehadiran mereka adalah seperti taufan yang ganas dan semua orang terpaksa mengelak, dan ada yang cuba membina benteng bagi mempertahankan institusi sastera yang lama. Berjaya atau tidak; bagus atau tidak; berpengaruh atau tidak; kehadiran mereka akan tetap dirasai, dan apabila taufan mereka sudah reda, kehadiran mereka akan direnung kembali. Salah satu kehadiran baru dalam sastera kita ialah generasi yang menggelarkan diri mereka sebagai Jargon.

Sekitar tahun lapan puluhan, sastera kita dikejutkan dengan gelombang karya-karya eksperimental dan ultra-abstrak yang diterajui oleh cerpenis seperti Zaen Kasturi, Marsli N. O. , dan Mana Sikana. Karya mereka dianggap sebagai elit; karya mereka, menurut rungutan pembaca, susah nak difahami dan sarat dengan bambu-bambu retorik dan simbol yang terlalu peribadi. Sekarang, gelombang ini sudah reda dan dianggap sebagai "gaya lama" walaupun masih ada penulis yang cuba mengikut langkah mereka. Sekarang, karya eksperimental telah diambil alih oleh karya intelektual; oleh karya metropolitan; oleh karya yang aromanya sangat memikat kemenangan sayembara sastera; oleh karya generasi sembilan puluhan iaitu Faisal Tehrani, Nisah Haron, Zaid Akhtar, dan Mawar Shafie. Sekarang, mahu atau tidak, mereka ialah institusi sastera kita, terutama sekali dalam genre fiksyen. Kalau nak jadi novelis, seorang penulis muda perlulah menumbangkan Faisal Tehrani. Kalau nak jadi cerpenis, seorang penulis muda perlulah menumbangkan Mawar Shafie atau S. M. Zakir. Sesungguhpun begitu, mereka ini hanya monument masa, "the spirit of the age," seperti kata penulis esei Romanticism William Hazlitt. Mereka bukanlah yang terbaik dalam sastera kita apatah lagi kebal (seperti Shahnon Ahmad) sehingga mustahil untuk sama sekali untuk ditumbangkan. Mereka perlu dicabar supaya sastera kita tidak menjadi kaku, supaya sastera kita sentiasa ada variasi dan setanding dengan variasi dalam sastera Indonesia, supaya kita mendapat pandangan hidup yang segar dan alternatif. Dan ciri-ciri ini dapat ditemui dalam buku kumpulan Jargon berjudul Jargon I:

"Kekadang dunia ini begitu kejam
Kosong, kelam, sunyi tak berteman,
Aku tinggalkan kau di sini,
Bersama nota hidup palsu,
Yang aku coretkan dahulu,
Jasadku tak pernah bercantum dengan jasadmu
Jiwaku tak mungkin bersatu dengan jiwamu
Kerana kau hanya taman indah di mataku."

Puisi ini dipetik daripada Monotonus Cinta Seorang Lelaki karya M. Nazmi A. yang saya lihat menceritakan dengan jelas emosi kedukaan yang mewarnai karya-karya penulis Jargon. Membaca Jargon I ialah seperti melakukan pembedahan ke atas hati kita. Dan apabila ia sudah terbuka, kita terpaksa melihat sudut-sudut kegelapan dalam diri kita, bayang-bayang percintaan dalam diri kita, dan gema-gema kesepian dalam diri kita. Mereka ini bukanlah pemberontak atau pencipta pembaharuan, kerana karya-karya mereka tidaklah terlalu eksperimental dan bersifat elit. Mereka hanya ingin kita melihat dunia dari kaca mata mereka. Dunia mereka ialah dunia urban; dunia mereka ialah Kuala Lumpur; dunia mereka dihuni oleh komuter, lampu trafik, jalan raya, stesen LRT, teh tarik, kopi, kafe (Starbucks barangkali), rokok, gitar, neon-neon kota, roti canai banjir - semua ini membuat kita berasa seperti betul-betul berada di Kuala Lumpur. Selain itu, turut wujud secara tersirat ialah bayang penulis-penulis luar yang mempengaruhi karya mereka: Sartre. Kierkegaard, Gibran, Dostoevsky, Andre Gide, Simone de Beauvoir, Nietzsche, Heidegger. Ya, ini ialah nama-nama besar dalam sastera dunia, dan memang sangat "un-Malay" apabila ada penulis kita yang dipengaruhi oleh mereka. Bagi penulis Jargon, saya lihat pengaruh ini belum memberikan kesan yang kuat ke atas karya mereka, dan ini berpunca, barangkali, 0leh karya mereka yang bersifat formless.

Sebuah karya sastera, sama ada fiksyen atau puisi, harus mempunyai vision kehidupan yang jelas serta diikat oleh struktur teks yang kukuh. Konvensional atau eksperimental; realisme atau avant-garde; tradisional atau pasca-moden, bukan persoalannya di sini. Saya tidak kisah membaca sebuah karya berbentuk fragmen - seperti karya Franz Kafka dan Fernando Pessoa - asalkan di hujung pembacaan ada invisible hand yang sedang menjalinkan semula dalam minda saya satu vision kehidupan yang jelas. Apabila saya membaca Jargon I, saya tidak mendapat vision ini. Terlalu banyak karya dalam buku ini yang formless sehingga ia kadang-kadang hanya kelihatan seperti monolog cinta yang kosong. Contohnya, karya Tramizi Hussin berjudul Sampai Bilapun Aku Tidak Akan Merayu, atau karya Shak Hassan berjudul Kembalilah Sayang: Kita Raikan Pluraliti, atau karya Zia berjudul Gadis dan Lelaki dan Disember dan Oktober, atau karya Rasyidah Othman berjudul Et c'est Pourquoi Je Vous Ecris. Emosi dalam karya-karya ini memang jujur dan ada waktunya mempunyai gaya bahasa yang begitu memikat, tetapi ia dibiarkan terbang tanpa sayap, dan selepas sekali baca, ia terus jatuh seolah-olah penulis tidak bersungguh-sungguh ketika menulis.

Namun, apabila para penulis Jargon ini menjadi serius dan bervisi dan berpuitis, kita mendapat karya-karya yang memukau daripada mereka. Salah seorang penulis berbakat dalam Jargon I ialah Zulwaqar Akram. Izinkan saya untuk menunjukkan di sini petikkan daripada dua karyanya yang bagus iaitu 13 dan Aku Memilih untuk Menjadi Hantu:

"Malam dingin macam suara-suara yang kita dengar dalam diri masing-masing."

"... dinding-dinding sunyi yang bogel menjadi penonton yang setia untuk kegilaan yang telah hidup."

"Mungkin kerana Malam ada melodi yang susah untuk dikategorikan - lampu-lampu jalan, cengkerik di bawah pokok-pokok moden, asap-asap dari umur remaja, bau tar yang basah dan kita ikut bermain lagu bersama getaran string gitar yang pincang."

Dalam naratif eksperimental Zulwaqar, kita menemui satu suara yang bukan sahaja puitis dan meditatif, tetapi turut teliti akan imej-imej kota yang menghuni imaginasinya. Zulwaqar mengingatkan saya kepada cerpen-cerpen Putu Wijaya dan puisi Charles Baudelaire yang sebelum ini hanya pernah diungkapkan oleh penyair seperti T. Alias Taib dan Baha Zain.

Seorang lagi penulis Jargon yang mempunyai imaginasi urban ialah Tramizi Hussin melalui karyanya berjudul Momen yang Beku dan Satu Hari Cinta Pergi. Berbanding Zulwaqar, gaya penulisan Tramizi lebih terkawal, sederhana, dan mempunyai struktur naratif yang seimbang. Dalam Momen yang Beku, Tramizi menghidangkan kepada kita sebuah cerita yang menarik: nada naratornya itu begitu bersahaja, jujur, dan memang menggambarkan wataknya sebagai lelaki generasi sekarang. Seperti Zulwaqar, Tramizi turut teliti dalam memerhatikan suasana kehidupan di Kuala Lumpur seperti yang dilukis dalam Satu Hari Cinta Pergi:

"Aku lihat anjing menyalak dari rumah hadapan, bulunya kusam, matanya sedih, salaknya pilu. Aku melihat aci surat khabar tersenyum gembira menatap berita..."

"Aku lihat ada gadis terjun daripada bangunan tinggi dan jejaka menembak diri sendiri, ada budak lelaki yang menumbuk budak perempuan."

Walaupun terdapat beberapa puisi dalam Jargon I, tetapi puisi bukanlah tunjang kekuatan buku ini. Kebanyakkan puisi yang ada itu terlalu emosional dan mendayu-dayu bahasanya. Hanya ada beberapa puisi seperti Perempuan II, Nyanyian Sunyi Sang Bubul, dan Magnet yang saya rasa agak terhibur ketika membaca. Itupun, ini bukanlah karya-karya terbaik penulis-penulis ini. Kepuasan puitika lebih terasa dalam karya-karya yang bukan berbentuk puisi. Contohnya, karya Rasyidah Othman yang, bagi saya, ialah antara penulis dalam Jargon yang mempunyai gaya bahasa yang romantis dan indah. Kita lihat sahaja dalam karyanya berjudul Sang Pemimpi, Dewa-Dewa Cinta, dan Utopia:

"Sepanjang malam aku akan -, kedengaran sosok-sosok suara sang pemimpi memuja dewa-dewa cinta yang lewat ke Utopia. Langit kelihatan melankolis, seolah-olah sejumlah malaikat telah terbang dan langkau ke sana, sambil menabur bunga-bunga ke atasnya - biru dan centil, aman, dan mendamaikan."

Jadi, adakah kehadiran Jargon akan memberikan impak besar kepada sastera kita? Masih terlalu awal untuk kita menilai. Masih terlalu awal untuk kita meramalkan masa depan mereka. Ada kemungkinan mereka akan dipinggirkan oleh komuniti sastera kita, terutama sekali oleh para penulis veteran dan elit yang akan melihat golongan ini sebagai anti-establishment dan cuba mencabar kedudukkan mereka. Biarlah apa orang-orang tua nak kata. Yang penting sastera kita terus berkembang. Yang penting sastera kita sentiasa dinamik dan segar. Yang penting sastera kita terus diwarnai oleh imaginasi dan pemikiran generasi baru seperti yang terdapat dalam Jargon.

Comments

qifahsdamha said…
terima kasih untuk ulasan ini juga. :)
qifahsdamha said…
Salam, saya nak minta izin untuk masukkan tulisan saudara tentang Jargon ke dalam zine seorang teman. Boleh?
Anonymous said…
Rasyidah Othman genius dalam penulisan bahasa sastera.

Popular Posts