Shafiq Halim dan Khutbah Cinta

"The world always look straight ahead; as for me, I turn my gaze inward. I fix it there and keep it busy. Everyone looks in front of him; as for me, I look inside of me; I have no business but with myself; I continually observe myself, I take stock of myself, I taste myself."

Begitulah kata-kata Montaigne yang bukan sahaja seorang penulis esei Perancis, tetapi merupakan pengasas kepada tradisi penulisan esei itu sendiri. Kata-katanya menjadi semacam kredo penulisan yang terukir di meja setiap penulis esei yang datang selepasnya: Samuel Johnson. William Hazlitt, Charles Lamb, Emerson, Virginia Woolf. Tujuan saya memetik kata-kata Montaigne ini ialah untuk mengkaitkan nasihatnya dengan karya-karya Shafiq Halim dalam buku Jargon I yang saya lihat lebih menyerupai sebuah catatan jurnal, atau "mungkin" sebuah esei, atau barangkali - yang lebih tepat - sebuah khutbah cinta.

Subjek penulisan yang paling sukar ialah diri kita sendiri. Bagaimanakah seorang itu menulis tentang dirinya tanpa menghadapi risiko yang dia akan dilabel sebagai egotistic atau narcissistic? Mungkin lebih baik, dan selamat, kalau dia menulis sahaja tentang politik, atau sukan, atau filem, atau sastera seperti yang saya sedang lakukan ini - walaupun, sesungguhnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk mengkategorikan penulisan saya. Namun, kita mungkin terlupa (termasuk saya) nasihat Montaigne yang mengatakan bahawa dalam diri kita terdapat diri setiap manusia. Dan setiap manusia ialah cermin kepada manusia yang lain. Kuncinya, buat seorang penulis esei, ialah membentuk hubungan intim dengan pembaca supaya mereka dapat mencari kaitan antara kehidupan mereka dengan kehidupan penulis. Hubungan ini terbentuk melalui kejujuran penulis; melalui penggunaan bahasa yang mudah atau accessible - walaupun tidak salah sebenarnya kalau ingin beretorik atau bermain bunga bahasa sekali-sekala sebab bosan juga kalau penulis asyik membawa pembaca terbang sahaja atas sayapnya tanpa berhenti sekejap di tepi pantai untuk bernyanyi. Dan satu lagi ialah melalui kesederhanaan. Kalau kata-kata seorang penyair itu mesti yang terindah dalam susunan terbaik, maka kata-kata seorang penulis esei itu mesti yang paling bermakna. Di sinilah sebenarnya masalah dalam karya-karya Shafiq Halim; ledakkan bahasanya itu terlalu padat dengan emosi sehingga menjadi peribadi dan mengasingkan pembaca.

"Menyedihkan tidak. Gila pun tidak. Bagi aku, itu adalah kesyukuran. Dan, aku jujur kepada diri, setidaknya, bila aku katakan bahawa kesedihan itu tetap ada dalam hati. Tapi mungkin ia terlalu rapat dengan diriku (terlalu rapat, terikat di hati sehingga tak pernah meninggalkanku), dan tangisan bukan caranya aku meraikan kesedihan itu."

Di sini Shafiq cuba menjadi melankolis; di sini Shafiq cuba bermain bahasa seperti Zulwaqar dan Rasyidah; di sini Shafiq cuba memancing simpati pembaca dengan berlaku jujur melalui rintihan emosi. Tetapi emosi yang Shafiq luahkan itu terlalu berat dan peribadi buat pembaca. Burung kalau ia terbang terlalu laju atau tinggi, pasti akan membuat pembaca yang berada di sayapnya melayang ke angkasa seolah-olah penulis tidak pernah mempedulikan tentang kewujudan mereka. Shafiq sebenarnya tidak perlu bermain bahasa gaya seorang penyair memandangkan dia sering bermeditasi dan berfalsafah dalam penulisannya. Barangkali Shafiq ingin menjadi Kierkegaard atau Nietzsche. Tidak kisahlah mana satu pun kerana Shafiq mampu menjadikan dirinya sebagai subjek penulisan seperti seorang penulis esei. Kalau nak berkhutbah cinta, silakan sahaja berkhutbah seperti yang dibuatnya dalam Tentang Kesedihan dan Pragmatisme (dan Kita) dan Cinta dan Wain (I). Cuma, kalau boleh, saya ingin bahasa Shafiq itu bersifat santai seperti dalam karya Zia, atau bernaratif seperti dalam karya Tramizi, atau - kalau nak serius juga - biarlah ia sederhana dan mudah seperti yang Shafiq sendiri lakukan dalam Catud: Onze:

"Keduanya, hidup dan mati, adalah bagian yang berbeda secara roh dan fisik. Meski masih hidup dan belum merasai kenyataan mati itu, aku (dan kebanyakkan kita) selalu membayangkan hidup dan mati itu adalah dua situasi, keadaan, acara, pengalaman, peristiwa yang begitu jauh bedanya."

Inilah gaya bahasa yang patut digunakan dari awal lagi. Di sini kita menemui Shafiq Halim sendiri, dan bukan lagi Doktor-Cinta-Shafiq-Halim. Walaupun masih ada sedikit rintihan emosi, tetapi dalam karya ini Shafiq menampakkan bayang bakatnya sebagai seorang penulis esei: ada renungan diri yang mendalam dan bermakna.

Kalau kita kembali kepada kata-kata Montaigne yang awal tadi, setiap pembacaan dan penulisan itu ialah proses seseorang itu membaca dirinya. Kita membaca puisi kerana suara dalaman seorang penyair itu menyanyi dalam diri kita. Kita membaca novel dan cerpen kerana watak-wataknya menjelma dalam imaginasi kita. Dan kita membaca esei kerana kita menemui diri kita dalam diri penulis esei itu. Inilah matlamat yang Shafiq Halim perlu letakkan dalam penulisannya yang akan datang.

"Whoever so that knows himself, let him boldly speak it out." (Montaigne)

Comments

qifahsdamha said…
terima kasih, saudara Azriq, untuk ulasan ini. saudari Rasyidah ada berkata ulasan ini agak harsh, tapi rasanya, tidak.

apapun, terima kasih sekali lagi. :)

Popular Posts