Cinta Hari-Hari Kurungan (Hari Kesembilan)


Saya menonton kembali semalam filem Before Sunrise yang bukan sahaja antara filem perbualan terbaik, tetapi juga filem berjalan kaki terbaik. Sudah tentu babak saya paling nantikan ialah ketika Celine dan Jesse berjalan menyusuri tebing sungai di Vienna, dan seorang "penyair jalanan" menahan mereka. Menurut penyair itu, kalau mereka berikan kepadanya satu perkataan, dia akan tulis satu sajak dengan perkataan itu di dalamnya; kemudian kalau mereka suka dan sajak itu memberikan makna baru dalam hidup mereka, maka boleh berikan wang kepadanya dalam apa-apa jumlah. Celine memilih perkataan "milkshake." Maka si penyair pun mulalah mengarang selama beberapa minit. Hasil akhirnya boleh tahan juga. 


Barangkali inilah imej yang orang selalu bayangkan tentang bagaimana seorang penulis mendapat idea untuk menulis. Gelandangan, rambut serabai, dan berpakaian compang-camping sambil duduk termenung menghisap rokok. Aduhai, romantiknya! Tetapi... hakikatnya kebanyakan penulis menempuh kehidupan harian seperti semua orang. Apatah lagi di Malaysia; nak hidup gelandangan dengan bergantung pada penulisan semata-mata - sukar dan tidak ramai mampu menempuhnya. 

Maka saya sampai kepada Abdullah Hussain dan cerpen menariknya berjudul "Lipas." Idea sering kali datang kepada penulis pada waktu yang tidak disangka-sangka. Apakah yang mencetuskan idea untuk seorang penulis? Ini sudah tentu berbeza-beza mengikut penulis. Haruki Murakami mendapat idea untuk menulis ketika menonton perlawanan bola lisut. Azizi Haji Abdullah mendapat idea untuk sebuah novel selepas menonton berita di TV. Kadang-kadang idea itu datang daripada pengalaman langsung seorang penulis, terutama sekali kalau dia jenis rajin kembara. Sahabat saya Johan Radzi ialah contoh terbaik pengarang yang menulis berdasarkan pengalaman. Pengalaman juga boleh datang daripada memori atau luka dalam dari masa lalu. Sebagai contoh, A. Samad Said hanya boleh menulis novel banyak tahun selepas sesuatu peristiwa telah berlalu. 

Cerpen Abdullah Hussain, seperti kebanyakan karya bagus, mempunyai premis mudah: seorang lelaki ingin membunuh lipas di dalam rumahnya. Saya akan kongsi terlebih dahulu proses kreatif Abdullah Hussain. Sesiapa yang ingin membaca petikan daripada cerpen tersebut, boleh terus turun ke bahagian bawah. Selamat membaca dan selamat berkurung. 

* * *


PROSES KREATIF "LIPAS," Abdullah Hussain

Pada akhir tahun 1971, kami pindah ke rumah baru, rumah kami sendiri di Jalan 17/22. Pada masa itu sebahagian besar daripada kawasan tersebut belum banyak yang diduki orang, banyak rumah yang sudah siap tetapi masih kosong. Damansara dan SEA Park belum dibuka. Jalan Damansara dari Jalan Duta masih merupakan jalan kebun getah Tuan Haji Sujak (mudah-mudahan Allah mencuri rahmat ke atas arwahnya) yang pada masa itu menjadi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, berkata kepada saya ketika saya mahu meminta pinjaman perumahan, "Buat apa beli rumah di tempat jin buang anak?" 

Memang pada masa itu rasanya agak jauh kerana banyak kawasan yang belum dibuka. Rumah yang kami beli itu pun tidak jauh dari kebun getah, hanya di sebelah Jalan 17/21 saja. Walaupun saya tidak mendapat pinjaman rumah kerana masalah teknikal tetapi kami pindah juga ke tempat jin buang anak itu dan tiggal sana sampai hari ini. 

Waktu baru pindah itulah, mungkin kerana belum banyak rumah ditinggali orang maka pada satu malam rumah kami diserang lipas yang agak banyak. Mula-mula ia masuk ke dalam bilik dapur dan malam berikutnya ketika saya sedang menaip di dalam bilik tidur sesudah makan malam, isteri dan anak-anak menonton TV di ruang makan. Tiba-tiba terbang masuk seekor lipas dan hinggap di kain langsir jendela tidak jauh dari tempat duduk. Saya memang ada fobia dengan lipas, tidak boleh melihatnya terus saja mahu bunuh. Maka saya pun bangun mencari pemukul serangga dan memukulnya. Belum pun lipas itu mati, masih bergerak-gerak di atas lantai, terbang masuk seekor lipas lain. Saya kejar dan memukulnya. Bangkai kedua lipas itu saya buang ke dalam mangkuk jamban dan splash. Saya merasa lega melihatnya hilang lesap dibawa arus air tetapi kelegaan itu tidak lama kerana sebaik saja saya mahu duduk, di atas langsir tepat di atas mesin tulis saya ada sepasang lipas sedang bercengkerama. Tindih-bertindih sambil membuka-buka sayapnya. 

Belum sempat saya pukul keduanya terbang berkeliling bilik dan saya berpusing-pusing mencari di mana mereka akan hinggap. Dalam masa berpusing-pusing itu saya melihat ada pasangan lain yang sudah hinggap di kain langsir. Saya menerpa mahu memukulnya tetapi mereka dapat mengelakkan diri, terbang ke tempat lain, di sana ada beberapa ekor lagi. Malam itu saya berperang dengan lipas, tidak tahu berapa banyak yang saya bunuh. Anehnya di dalam bilik tidur itu saja yang banyak, di luar tempat isteri dan anak saya menonton TV hanya beberapa ekor saja. Serangganya mulai berkurang menjelang tengah malam dan saya terbaring keletihan. 

Keesokan hari saya mulai membuat sedikit kajian tentang lipas ini cuba mahu memahami tentang masalahnya barangkali saya dapat berkompromi dengan mereka. Sejak itu walaupun sekali-sekala ada lipas yang tersesat, tetapi tidaklah banyak hanya seekor dua saja yang muncul dari lubang air di bilik mandi. 

Cerpen ini sesudah disiarkan di dalam majalah Dewan Sastera banyak mendapat komen. Seorang pegawai bertanya ketika kami sama-sama minum kopi di kantin dewan, "Bagaimana bung boleh berdialog dengan lipas?" 

Saya memandang mukanya untuk melihat apakah dia serius ataupun hanya berseloroh saja. Rupanya dia serius sebab sesudah itu dia berkata, "Seronok boleh bercakap dengan binatang serupa itu."

Saya tidak menjawab, cuma tersenyum geli hati mendengarnya.

Cerpen ini merupakan satu-satunya karya saya yang pernah mendapat perhatian para pengkritik. Richard Summerrell seorang sarjana Modern Indonesian and Malaysian Literature dari Australia telah menulis kritikannya dalam bahasa Inggeris sepanjang 12 muka surat berbanding dengan cerpennya yang hanya lapan muka surat. Satu kritikan yang baik.   

* * *

LIPAS, Abdullah Hussein

Dua malam yang lalu, aku membunuh lebih sepuluh ekor lipas. Jumlah yang paling banyak untuk sekali pembunuhan. Malam ini aku mencarinya lagi. Tetapi tidak seekor pun yang datang. Seolah-olah binatang itu sudah tahu aku sedang menunggunya. Aku merasa semacam kemenangan. 

Aku pasangkan lampu pada meja kerjaku. Anak-anakku semuanya kusuruh keluar, tidak seorang pun dibenarkan tinggal di dalam bilik itu. 

"Kau mahu buat apa?"

Aku tidak berapa jelas mendengar suara itu, tetapi aku yakin ada suara yang bertanya serupa itu di dalam bilik itu. Aku pun menoleh ke kiri dan ke kanan. Aku mulai curiga. Suara siapa? Aku masukkan kertas ke dalam mesin tulis.

"Hei!"

Aku kaget. Suara itu amat jelas. Aku pun memandang ke arah suara itu datang. Ada seekor lipas hinggap di atas kain langsir. Secara automatik aku bangun mau mencari pemukulnya. 

"Tunggu dulu."

Aku sudah pasti benar-benar bahawa suara itu datang dari tempat lipas itu hinggap. Tidak mungkin lipas boleh cakap. Tetapi siapa? Orang lain tidak ada. Aku lalu mendekatinya.

"Kau yang bercakap tadi?"

"Ya, aku!"

"Aku hampir terduduk. Kupandang lipas itu baik-baik. Kepalanya dihalakan kepadaku. Warna tubuhnya agak merah kehitaman. Sesungutnya bergerak-gerak. Matanya seperti melihat kepadaku. 

"Kau tidak bunuh aku?"

Aku diam. Ragu-ragu.

"Kau tidak bunu aku?"

Apa yang akan kukatakan kepadanya, supaya jawapanku itu tidak salah dan dia boleh terus bercakap-cakap denganku. Aku ingin bercakap-cakap dengannya, dengan lipas ajaib ini.    

Comments

Popular Posts