Tahun Pembacaan Yang Kurang Memuaskan
Saya kira berbanding tahun lepas, tahun ini saya kurang membaca novel. Sekarang sudah bulan November dan bulan depan saya harus siap-siap untuk memilih novel terbaik 2015. Pilihan terbaik itu memang ada, tetapi ia bukanlah novel yang menggoncang imaginasi saya, mahupun mengubah seratus peratus kefahaman saya tentang bagaimana cara untuk membaca sebuah novel. Dua tahun lepas saya membaca untuk pertama kali novel Karl Ove Knausgaard dan ia memberikan impak yang luar biasa. Seperti kata James Wood, kita rasa "seolah-olah kehidupan sedang berlaku dalam buku ini." Malangnya saya tidak menemui rasa "kehidupan" itu dalam novel ketiga dan keempat dalam siri My Struggle Knausgaard. Tidak dinafikan lagi novel terbaik Malaysia saya akan pilih untuk 2015 adalah Rebel oleh Saat Omar. Jarang benar kita dapat membaca sebuah novel realistik yang sederhana pengucapan, tetapi masih mampu memberikan konflik idea dan semangat pemberontakan generasi muda yang mengesankan. Betapa bezanya novel ini dengan hari-hari terakhir seorang seniman karangan Anwar Ridhwan yang masih longgar susunan cerita dan belum matang bahasa. Saya teringin nak membaca dengan lebih gigih novel Abdullah Hussain, Arena Wati, dan Othman Kelantan, tetapi apa boleh buat: tulisan mereka masih membuat saya tertidur. Di pertengahan tahun ini saya banyak membaca novel Orhan Pamuk dan Tanpinar, namun tidak dapat menemui sebarang kesegaran dan pembahuruan dalam tulisan mereka. Memoir Orhan Pamuk tentang Istanbul jauh lebih menarik daripada novel-novel Istanbulnya. Sastera Turki ternyata mengambil terlalu serius pengaruh Dostoyevsky. Masalah sama saya turut temui ketika membaca novel Roberto Arlt, seorang pengarang Argentina, yang juga banyak meminjam idea daripada Dostoyevsky sehingga tulisannya terasa begitu asing dengan dunia Hopscotch Cortazar atau My Two Worlds Chejfec. Saya setiap tahun memang membaca novel-novel dari Argentina secara konsisten dan jarang sekali dikecewakan. Mujur kehampaan saya dengan Arlt ditebus oleh novel terbaru Cesar Aira Dinner. Seperti biasa, Aira membuktikan dia antara novelis paling liar imaginasi di dunia sekarang. Setiap novel Aira sentiasa berbeza-beza dan mampu mengejutkan kita. Apapun, Dinner masih tipikal Aira untuk saya dan tidak dapat mengatasi keseronokan saya ketika membaca Seamstress and the Wind. Ketika kali pertama saya menyusun senarai ini, saya memilih novel Enrique Vila-Matas sebagai yang terbaik. Tahun ini saya meletakkan harapan tinggi kepada A Brief History of Portable Literature kerana saya sangka bentuknya akan dirangka sebagai objek mudah alih. Tetapi sebaliknya ini adalah novel Vila-Matas paling lemah saya telah baca. Kalau novel-novel sastera tulen banyak mengecewakan saya tahun ini, novel-novel cerekawala sebaliknya memberikan kepuasan. Senarai sepuluh terakhir saya kali ini akan padat dengan novel cerekawala, terutama sekali dalam genre horor. Barangkali perubahan selera pembacaan saya di tahun 2015 menandakan perubahan arah penulisan saya di tahun-tahun akan datang. Barangkali.
Comments