Menjadi Produktif
Joyce Carol Oates |
Saya terdengar tempoh hari rungutan tentang produktiviti Ruhaini Matdarin: "Terlalu cepat," "Terlalu banyak." Ya, apa masalahnya penulis menjadi prolifik? Kalau bukan hidup untuk menulis, dan berfikir melalui kata-kata, untuk apa lagi penulis menjadi penulis? Keghairahan menulis itu sendiri kadang-kadang mampu mengatasi keterbatasan bakat dan pengalaman hidup. Ibarat kereta api yang terlalu laju sehingga ia terkeluar landasan dan melanggar rumah orang-orang yang masih sedang enak bermimpi. Kehalusan kepengarangan adalah mitos dan angan-angan tentang keagungan seni yang telah berlalu.
Dalam hal produktiviti ini, saya mengagumi penulis yang menyediakan waktu untuk membangunkan diari atau jurnal. Ia nampak macam kerja mudah, tetapi cubalah memberi komitmen untuk menulisnya setiap hari, dan anda akan tahu bahawa warna kata-kata itu sungguh kabur apabila anda hendak melukiskan raut wajah akal yang telah melahirkannya. Di Amerika saya tidak tahu jika ada penulis jurnal yang lebih prolifik daripada Joyce Carol Oates. Buku di atas meja saya mengumpulkan catatan dari tahun 1973 hingga 1982. Entah berapa jilid sebenarnya kalau semua jurnal Joyce dikumpulkan apabila dia telah mati. Sesuai dengan peribadinya sebagai penulis jurnal tegar, dia turut mencatat faedah dan kenikmatan menyimpan jurnal:
The value of this journal for me: a transcribing of my experiences in writing. Otherwise the process is lost, swallowed up in the final product. I have only the dimmest memories or emotions experienced while writing books years ago... I would like to know now what I felt while writing my first published novel, but it's forgotten. And some of the early stories which were so groping, so experimental in their own way - in terms of my own way of seeing and ordering things.
Membaca ini saya terus ingat akan Ridhwan Saidi. Dia pun sudah lupa pengalaman menulis novel-novel awalnya. Malah, katanya, draf pertama salah satu novel itu juga hilang. Beberapa tahun lalu saya dengar komputer Marsli N. O. rosak lalu melenyapkan koleksi cerpennya. Mungkin pada masa itu saya juga kehilangan draf sebuah novel yang saya tinggalkan di dalam gerabak kereta api ketika sibuk melayan kerenah manja seorang mantan kekasih.
Comments