Cerita Dari Peti Ais





Tajuk cerpen-cerpen Roslan Jomel selalunya sudah boleh memberikan gambaran dari mana imaginasinya berpusat dan berputar. Lihat sahaja sepuluh buah cerpen dalam buku terbarunya berjudul Serangga Di Dalam Kepala yang juga merupakan pemenang sagu hati Sayembara Penulisan ITBM-Pena-Berita Harian: Wilayah Penguin, Potong Jari, Emak Saya Ingin Rumah Batu, Peti Ais, Gam Mata, dan Cinta Daripada Barang Buangan. Roslan Jomel sekarang sudah sampai kepada buku kumpulan cerpen ketiganya, dan pembaca turut semakin selesa melayan idea-idea gila daripada penulis kelahiran Sarawak ini yang ternyata pemalu dan sering menyembunyikan diri daripada pandangan masyarakat. Ibarat serangga di dalam tanah atau manusia ajaib di dalam peti ais.

Melalui setiap buku seorang penulis mengajar pembaca cara-cara untuk menghuni dunia imaginasinya. Buat pembaca setia karya Roslan, pelajaran tersebut sudah tamat. Sebelum menyelak halaman Serangga Di Dalam Kepala, kita sudah siap menanti imej-imej tertentu yang sering muncul daripada pena sihir Roslan: lelaki pertengahahan umur, berkaca mata, berperut buncit; penulis atau pembaca sastera tegar dengan masalah komunikasi tahap kritikal ; objek-objek harian di rumah dengan kuasa luar biasa; suasana di kota dengan jenama dan barang-barang kapitalis dari Barat; suasana di desa (sudah tentu Sarawak) dengan peristiwa misteri dan manusia-manusia aneh.  Buku ini memang tidak mengecewakan harapan dan ketagihan kita. 
          
Antara cerpen menarik pembaca akan temui adalah Wilayah Penguin. Ia mengisahkan pengalaman Bidin yang pada suatu hari telah melihat sekumpulan penguin menembak mati sepuluh orang manusia tidak berpakaian di tebing sungai. Desa aman dan terpencil itu tiba-tiba menjadi sasaran penjajahan kuasa luar yang diwakili oleh unit pembunuh khas bertubuh penguin. Kenapa mereka datang? Apa yang mereka cari? Adakah mereka memang binatang atau sebenarnya jelmaan manusia dengan agenda-agenda rahsia dan tersembunyi? Ada kemungkinan juga semuanya tidak pernah berlaku, melainkan permainan imaginasi si Bidin semata-mata. Fakta yang pasti adalah sedang berlakunya kempen pilihan raya di kampung itu dan ia menyebabkan suasana kehidupan penduduk tempatan menjadi tidak tenteram. Di sini kita melihat Roslan menyusun naratifnya di sempadan antara realiti dan fiksyen seolah-olah kedua-duanya sukar dibezakan pada zaman sekarang. Penduduk kampung itu lebih senang mempercayai laporan wartawan daripada mempercayai angan-angan kosong Bidin yang kerjanya hanya terlentang malas di atas sampan seharian. Namun bagaimanakah mereka boleh pasti laporan mereka baca juga bukan fiksyen? Kadang-kadang kebenaran boleh sahaja bersembunyi dan menjelma menjadi tubuh asing seperti kumpulan penguin yang dilihat oleh Bidin. 

Kegelisahan emosi sering menghantui kehidupan watak-watak utama (dan juga narator) Roslan yang boleh dikatakan semuanya adalah lelaki. Bukan itu sahaja, lelaki-lelaki ini turut hidup dalam kurungan: ada yang terperangkap di dalam mangkuk; ada yang mengecilkan diri di dalam peti ais; ada yang hidup sebagai "serangga mamalia" di dalam kepala seorang manusia. Paling mengerikan antara semua itu ialah kisah lelaki bernama Rahman, dalam cerpen Gam Mata, yang terperangkap di sebuah lapangan terbang gelap. Pandangan realiti Rahman dan orang-orang lain di situ telah “digam” dan kini mereka menghuni suatu wilayah atau alam baharu tanpa cahaya. Sebagai penulis fiksyen, Roslan sedar tugasnya adalah mencipta dimensi-dimensi baharu; tetapi masalah timbul apabila berlaku pertentangan antara dimensi fiksyen ciptaan Roslan dengan dimensi kehidupan yang kini menjadi lebih fiksyen daripada fiksyen itu sendiri.
           
 Lalu, apabila fiksyen tidak dapat membebaskan penulis, dia akan terperangkap dalam tubuh dan imaginasinya. Dia akan terperangkap dalam kata-kata dan naratif yang dia percaya telah disusun dengan sempurna. Kehidupan sebaliknya tidak pernah kemas dan sempurna; kehidupan adalah kucar-kacir dan sering mengecewakan. Begitulah konflik harian dan membosankan yang dilalui oleh lelaki bernama Marzukee dalam cerpen Peti Ais (antara cerpen terbaik pernah dihasilkan oleh Roslan selepas Cerita Tentang Penulis Cerita). Apabila peti ais di rumahnya rosak akibat kecuaian memecahkan ketulan ais yang meliputi seketul daging, Marzukee berlari masuk ke dalam peti ais tersebut dan menemui dunia yang lebih indah daripada kehidupan hariannya: 

"Marzukee seperti menemui dunia baharu. Dunia yang sering digambarkan dalam dunia fantasi kanak-kanak. Marzukee memasuki peti ais mini di dalam rumah dan apabila berada di dalam, keadaan berubah serta-merta. Bagaikan mimpi, fizikalnya mengecil secara tiba-tiba atau ruang di dalam peti ais bertambah besar. Marzukee berdiri di atas glasier putih seluas mata memandang. Sukar untuk menggambarkan emosinya. Seperti kelekatu yang terpedaya oleh sinaran cahaya. Marzukee tidak ingin membiarkan liputan ais di sekeliling mencair. Luas glasier yang terbentang di hadapannya bagaikan seluas gurun Sahara.”


Roslan telah datang jauh daripada buku kumpulan cerpen pertamanya Namaku Epal Kuning. Kalau dalam cerpen-cerpen terawal itu kita menemui bayang Gabriel Garcƭa MƔrquez melata di setiap penjuru sehingga pembaca kadang-kadang menjadi takut dan susah hendak bernafas. Bayang tersebut kini telah ditanggalkan dan kita menemui wajah sebenar kepengarangan Roslan Jomel. Malah tidak berlebihan untuk disebut di sini bahawa Serangga Di Dalam Kepala adalah hasil karangan seorang pengarang yang sedang berada di kemuncak kuasa persuratannya.
           

Comments

Popular Posts