Sastera: Teks, Penulis dan Gosip


Jeanette Winterson

Martin Amis

Julian Barnes


Saya, bersama Jeanette Winterson, ialah antara penulis yang tidak percaya bahawa ada kaitan langsung kehidupan peribadi seorang penulis dengan karyanya. Menulis dari pengalaman peribadi? Mengarut sahaja. Semua penulis mencipta semula dirinya melalui penulisan. Chairil Anwar menjadikan dirinya binatang jalang. Flaubert menjadikan dirinya Emma Bovary. Kafka menjadikan dirinya K dan Ka. Dan Martin Amis menjadikan dirinya Martin Amis, dan walaupun nama kedua-duanya ialah sama, Martin Amis dalam novel Money tidak sama dengan Martin Amis yang menciptanya. Penulisan yang bagus mencipta suatu ruang kosong yang membolehkan pembaca untuk menghadirkan diri mereka dalam karya seorang penulis.

Bagi memudahkan perbincangan, cuba bayangkan sebuah rumah yang siap dengan taman dan dikelilingi oleh pagar. Pengalaman hidup seorang penulis ialah penghuni rumah itu. Karyanya, yang lahir dari benih bahasa, ialah taman di depan rumah. Pagar perlu ada kerana seorang penulis hanya inginkan pintu depan menuju ke taman yang dibiarkan terbuka. Kerana perkara yang paling penting apabila pembaca ingin mengenali seorang penulis ialah karyanya. Bahagian-bahagian lain, seperti kamar mandi atau ranjang mimpi yang menyimpan rahsia gelap seorang penulis, adalah tidak penting malah boleh diabaikan sama sekali. Seorang penulis bukan pencipta perabot atau tukang masak. Dia adalah manusia alam yang mencipta karya seni dari benih bahasa. Jadi mengapa perlu masuk ke dalam rumah seorang penulis? Cukuplah kalau sekadar duduk santai menghirup udara seni di taman.

Penulis yang lemah ialah tukang kebun yang amateur. Dia lebih suka kalau pembaca masuk sahaja ke dalam rumahnya. Mungkin di ruang tamu dia boleh dendangkan pembaca dengan lagu nasyid. Mungkin di bilik tidur dia boleh mengajak pembaca melihat gambar-gambar pengembaraannya di luar negara: entah-entah semua gambar itu ialah di Palestine atau Iraq atau Afghanistan. Mungkin dia kamar mandi dia boleh mandikan jiwa pembaca dengan air suci yang dikutipnya dari tub mandinya sendiri. Mungkin di ranjang, di bawah selimut tebal, dia dan pembaca boleh berkongsi diari percintaan remaja masing-masing. Dan mungkin di perpustakaannya, dia boleh membacakan kepada pembaca seratus buku-buku falsafah dan agama yang dikutipnya dari toko buku di seluruh dunia, tapi tidaklah pulak pernah menulis bukunya sendiri. Entahlah; saya ini suka minum teh di waktu petang. Saya lebih suka kalau tetamu minum teh bersama saya di taman.

Sebelum kita sambung, saya ingin bergosip sebentar. Walaupun saya percaya tidak ada kaitan kehidupan peribadi seorang penulis dengan karyanya, tapi saya masih gatal tangan untuk menyelak tirai-tirai rahsia seorang penulis. Menyibuk? Ya, saya memang busybody orangnya, kerana saya seorang yang tamak. Dan saya juga seorang penulis. Saya tidak berpuas hati duduk goyang kaki di taman rumah seorang penulis tanpa menceroboh masuk ke dalam rumahnya melalui pintu belakang. Pencerobohan saya bukanlah untuk mencari jenis baja atau benih pokok yang digunakan si penulis untuk membina tamannya. Tidak; saya ingin mencari penulisnya sendiri. Kalau boleh di saat dia sedang tidur di ranjang, atau ketika dia sedang berbual dengan kekasihnya, atau ketika dia menulis surat atau statusnya di facebook. Paling penting, ialah ketika dia sedang membaca buku. Pembaca umum mungkin tidak peduli dengan kehidupan peribadi seorang penulis. Sebab itu tidak ada majalah URTV atau Hai buat penulis. Siapa nak baca skandal terbaru seorang penulis? Tetapi, buat seorang penulis, skandal-skandal terbaru dan rahsia-rahsia gelap penulis lain sangat memikat seleranya kerana penulis itu, secara lumrahnya, memang manusia yang menyibuk akan kehidupan orang lain, dan pada sama dia juga ingin lebih mengenali dirinya melalui kehidupan penulis lain.

Barangkali ramai pembaca, dan penulis, di sini yang belum mengenali Jeanette Winterson. Tidak mengapa. Awal-awal lagi saya ingin sebut yang dia ialah seorang lesbian. Dia ialah seorang penulis estetik yang lebih mengutamakan bahasa, imaginasi, dan bentuk seni yang segar daripada subjek atau isi sebuah karya. Dan paling penting dia ialah seorang penyair, walaupun - seperti idolanya Virginia Woolf - dia banyak menulis novel. Kita simpan dahulu perbincangan tentang karyanya. Seperti yang saya kata tadi, saya ingin bergosip. Dan gosip atau cerita saya ialah tentang hubungan sulit yang Jeanette pernah ada dengan isteri Julian Barnes. Ini juga seorang lagi novelis penting di England yang terkenal dengan novel Flaubert's Parrot. Hubungan sulit ini telah membawa kepada penceraian antara Julian Barnes dengan isterinya Pat Kavanagh. Tetapi Jeanette bukan orang pertama yang telah melukakan hati Julian Barnes. Sebelum itu telah berlaku krisis antara Julian dengan sahabat baiknya Martin Amis apabila Martin memecat agen sasteranya, iaitu isteri Julian Barnes, dan memilih seorang agen sastera dari Amerika. Apa lagi, tamatlah persahabatan antara dua orang novelis hebat ini. Baiklah; selesai sesi gosip-gosip.

Apakah tujuan saya bergosip-gosip panas ala Melodi ini? Pertama, bagi saya, sebagai seorang penulis cerita begini memang menarik dan agak melucukan. Saya mula mengenali ketiga-tiga orang novelis ini melalui novel dan tidak pernah pulak ambil peduli tentang kehidupan peribadi mereka. Jadi, apabila dapat tahu yang mereka sebenarnya pernah ada krisis dan skandal sesama sendiri, saya jadi teruja. Saya kembali fikir yang seorang penulis itu tidak ada beza pun dengan orang lain. Lelaki mahupun perempuan. Martin Amis mengejar duit. Jeanette Winterson mengejar seks dan cinta. Julian Barnes mangsa duit dan cinta. Biasalah. Cerita-cerita panas sebegini kalau berlaku di Malaysia memang akan menjejaskan reputasi seorang penulis; tambah pulak kalau penulis itu lesbian. Kenapa? Kerana kita merasakan yang penulis dan karya ialah dua makhluk yang sama. Kemudian ini diburukkan lagi dengan kredo atau gagasan sastera Malaysia - sastera untuk masyarakat - yang telah berakar dalam pemikiran dan hati semua penulis. Perlukah lagi kita berdebat tentang ini? Lain kali sahajalah. Kalau kita cuba bincang pun ia adalah seperti pergi menendang Tugu Negara. Biarkan sahaja tugu tak bernyawa itu berdiri megah. Suatu hari nanti ia akan roboh juga. Dan yang akan kekal ialah alam. Yang akan kekal ialah sastera.

Kelangsungan hidup sastera bergantung kepada kelangsungan hidup karya sastera. Penulis datang dan pergi. Idea dan ideologi datang dan pergi. Yang kekal hanyalah teks sastera seorang penulis. D. H Lawrence yang pernah berkhutbah tentang seks dan politik sudah dilupakan. Yang tinggal hanyalah bahasanya. Sama jugalah dengan Shahnon atau Pak Samad atau Faisal Tehrani. Seratus tahun akan datang, orang tidak akan ingat sumbangan Shahnon dalam politik (dia adakah sumbangan dalam politik?), tapi orang akan terus membaca Ranjau Sepanjang Jalan untuk emosi kehidupannya. Orang akan membaca Salina untuk kehalusan bahasanya. Orang akan membaca 1515 untuk pembaharuan naratif yang dibawanya. Dalam kata mudah, yang penting dan kekal abadi dalam sastera ialah teks, bukan penulis.



Comments

Popular Posts