lukaku (Latiff Mohidin)


lukaku



lukaku telah kubuka kembali
matari terbenam pengsan di dasarnya

yang ini kucupan dari api
kini aku tidak kedinginan lagi



Kebanyakkan penyair menulis apa yang dilihatnya. Latiff sebaliknya menulis dengan apa yang dikhayalkan atau apa yang dimimpikannya. Latiff tidak berpuas hati kalau dia sekadar hebat melukiskan imejan gaya seorang pelukis Impressionist. Tidak; Latiff ingin warna emosinya turun ke padang kanvas. Ia ingin warnakan semula realiti, barangkali seluruh alam, mengikut kehendak emosi dan mimpinya. Bahasa ialah senjata Latiff. Dan Latiff tahu, bahasa puisi itu bukan sebuah kamera; ia bukan menciplak realiti; ia mencipta semula realiti.

Sajak ini bukanlah sajak terbaik Latiff. Saya mengutip sajak ini kerana kekuatan imejan yang didukung oleh bait pertamanya. Bait kedua, sayang sekali, ia terlalu abstrak. Apabila kita selesai baca, ia tidak meninggalkan ruang-ruang kesepian dalam dada kita seperti sajak-sajak Latiff yang lain. Namun, baris kedua di bait pertama masih harus dipuji. Ah, bagaimanakah matahari bisa pengsan? Saya tidak tahu. Dan saya tidak kisah. Barangkali ia sudah penat hidup lalu memilih untuk rebah di tangan yang terluka. Tapi, tangan siapakah pulak ini? Manusia? Alam? Tuhan? Latiff? Saya tidak tahu. Dan saya tidak kisah. Bahasa itu bukan diktator makna. Bahasa itu ialah kekasih. Dan saya menerima kekasih saya seadanya.

Comments

Popular Posts