Kepelbagaian Pendapat dan Suara Individu


Dengan jumlah novel yang begitu banyak di kedai buku, sudah tentu kita merasakan yang kita sekarang berada dalam zaman yang menyediakan ruang yang begitu luas buat penulis dan pembaca memberikan pendapat. Kita cenderung untuk merasakan yang pendapat ini milik kita sepenuhnya padahal pendapat itu mungkin sahaja tidak ada bezanya dengan remaja-remaja pinggiran yang kita lihat membaca novel-novel cinta di bawah pondok bas. Ketidaksedaran ini bukan sahaja wujud di kalangan pembaca, tapi juga dalam komuniti penulisan yang memaksakan prinsip-prinsip serta standard estetika yang rigid ke atas semua ahlinya. Ya; standard ini jarang sekali ditentang atau dipersoalkan kerana itulah budaya penulisan yang mesti dipatuh; yang mesti diikut; yang mesti dipertahankan seolah-olah sebarang bentuk pemberontakan ialah penderhakaan ke atas institusi sastera kita sendiri. Adakah penulis yang ingin dirinya dicop sebagai pemberontak apatah lagi penderhaka? Pemberontakan bukanlah budaya sastera kita walaupun kadang-kadang ada juga yang berani bersuara (Shahnon Ahmad? A. Samad Said? Faisal Tehrani?). Pemberontakan berlaku dalam dunia seni apabila pendapat khalayak sudah menjadi tepu. Walaupun sekali lalu kita merasakan yang ada pelbagai pendapat yang bergema ke sana-sini tapi semua suara itu hanyalah suara yang sama iaitu suara klise. Penulis pun tidak ikut terlepas apabila mereka sendiri telah mabuk dan khayal dengan suara-suara klise yang menyerang bertubi-tubi fikiran mereka.

Penulis dan pembaca kita sering lupa yang ada perbezaan besar antara sebuah buku yang mesti dibaca sebab semua orang suka, dengan sebuah buku yang sepatutnya dibaca walaupun bukan semua orang suka. Betul; setiap individu mempunyai hak untuk melontarkan suaranya ke tengah-tengah masyarakat. Tetapi sebagai pembaca yang bijaksana, kita tidak bolehlah menerima semua lontaran suara itu hanya untuk meraikan kepelbagaian pendapat. Taste tetap taste. Dan taste yang buruk hanya akan membuat sastera kita bertambah sakit.


Comments

Aidil Khalid said…
Dalam zaman pasca moden ini, suara individu atau taste individu, boleh jadi tidak hanya satu tapi berbagai-bagai.

Manusia menjadi semakin sofistikated serta keinginannya menjadi semakin banyak. Nafsu seninya menjadi bercabang-cabang berkembang dan berbiak terus menerus tanpa henti. Boleh jadi dia punya taste apabila baca Tuhan Manusia yang kering cerita tapi kaya isi dan makna itu, tapi dalam masa yang sama juga dia punya taste apabila membaca Kafka on the Shore yang pakai perlambangan pelik-pelik lagi magis serta di luar alam normal.

Individu yang pada hari ini -- zaman pasca moden ini -- memiliki hanya satu taste sahaja sebenarnya masih terperangkap dalam zaman primitif. Tapi tentu sekali tidak salah untuk dia terus berada dalam dunia primitifnya itu, kerana itu adalah pilihannya. Siapalah kita -- penulis, bahkan kritikus juga dan khalayak seni secara umumnya -- untuk menghukum bahawa hanya taste kita lebih baik berbanding taste mereka?

Memang seseorang khalayak seni boleh sahaja mengisytiharkan bahawa tastenyalah yang paling tinggi dan paling 'refined' -- kerana itu adalah kebebasannya untuk berbuat demikian -- tetapi ia hanya akan menampakkan kepongahan serta kedangkalan fikirannya sebagai seorang khalayak seni di dunia pasca moden ini.

(Saya mengulangi frasa 'pasca moden' tiga kali) =)
Wan Nor Azriq said…
Benar,suara itu mestilah berpelbagai,tapi tidak ada gunanya jika kepelbagaian itu hanya sekadar membangunkan dan mengangkat karya-karya "pop" dan "best-seller" dan bersifat pamphlet yang tidak ada bezanya dengan produk-produk komersil dan palsu yang sememangnya menjadi komoditi budaya pascamoden.

Apa yang kita inginkan ialah taste yang benar-benar bersifat individu dan bukan taste borong yang boleh dijual secara lambak kepada semua orang.Ya;saya pun tidak suka jika dalam sastera itu hanya ada seorang penulis atau kritikus yang merasakan taste dia seorang sahaja yang bagus.Tetapi itu tidak bermakna kita menghalalkan semua taste dan pendapat yang dilontarkan oleh pembaca.

Namanya pun seni,dan seni itu bukanlah macam konsert yang bisa tarik ribuan orang ke dalamnya.Seni itu bukan barang dagangan atau panji masyarakat.Ia adalah kunci ke dalam diri kita.Dan jika ia adalah panji sekalipun,ia adalah panji yang meraikan kebebasan individu.

Jadi kalau nak ada taste biarlah ia taste yang original;taste yang bisa membawa kepada pembagunan sastera; taste yang tidak diikat oleh rantai-rantai waktu dan kuasa; biarlah ia taste yang memang lahir dalam diri seorang individu dan bukan lahir dari rahim komersil masyarakat atau mana-mana kumpulan "seniman" dan intelektual.

Saya meraikan kepelbagaian pendapat dan kebebasan individu.Tetapi saya menentang pendapat dan taste yang bersifat subjektif semata-mata tanpa menjurus kembali kepada kebenaran kehidupan.

Popular Posts