Kelemahan Teori Konseptual Kata Kunci

Teori sastera selalunya cenderung kepada dua arah: bahasa atau sosial.Sekali pandang kita nampak macam teori ni lebih cenderung ke arah bahasa tetapi sebenarnya apa yang ingin dicari ialah lapangan makna yang membolehkan kita melihat pemikiran penulis.Maka,penulis yang lebih ditekankan berbanding teks dan pembaca kerana matlamat teori ini ialah menggali pemikiran penulis melalui lapangan diksi yang dibentuk.

Apabila penulis yang lebih diutamakan,maka kekuatan teks sebagai sebuah karya seni akan diabaikan.Kekuatan sebuah teks sastera bergantung kepada struktur yang membinanya dan diksi hanya sebahagian daripada tiang yang membina struktur itu.Selain itu,pemikiran dan genius seorang penulis dicernakan ke dalam sebuah teks melalui pelbagai cara selain pemilihan diksi.Dan apa yang lebih penting dalam kita menilai sebuah karya sastera ialah melihat ketajaman pemikiran penulis berbading dengan hanya mengenal pasti pemikiran penulis.Dan ketajaman pemikiran banyak bergantung kepada kekuatan estetik penulis dan sesungguhnya kekuatan ini memerlukan gabungan pelbagai magis sastera - termasuk diksi.

Comments

Anonymous said…
Tiada ayat maka tiada makna
Dan ayat hanyalah persembahan
yang keindahan dirasai oleh yang membaca
kerna ayat yang membawa maksud
dan yang memberi makna
maka garapan persembahan disebalik
ayat tidak bermakna
kerna bagiku ayat hanyalah berfungsi
dan hidup bagi maknanya
dan kecantikan sebuah karya
bergantung pada kandungan
dan bukan asbab penulis
pemikirannya yang dicita
Wan Nor Azriq said…
Salam saudara Ibnu Sobri,

Terima kasih atas pendapat saudara.
Ya,ayat(dalam konteks lebih luas,kita merujuk kepada bahasa)sememangnya membawa makna kerana setiap simbol(bahasa) pasti membawa makna sebagai isinya.

Apabila kita memperkatakan hubungan makna dengan ayat,maka secara tidak langsung kita sedang melihat hubungan bahasa dengan realiti kerana makna sesuatu ayat datang daripada realiti yang dirujuknya.Bahasa sebagai medium komunikasi ternyata sekali terbatas kalau kita hendak bandingkannya dengan imaginasi seorang penulis;saudara sudah tentu pernah melalui pengalaman begini iaitu apa yang ditulis tidak sama dengan imaginasi yang terbentang luas seperi sebuah lautan,dan bahasa di tangan saudara hanya mampu menjala sebahagian daripada isi lautan itu dan akhirnya apa yang keluar di atas kertas tidak memuaskan hati.Maka,saudara tulis dan tulis lagi(seperti semua penulis yang serius akan seninya)sehingga puas hati dan saudara dapat kata kepada diri sendiri bahawa apa yang dicipta di atas kertas boleh setanding dengan dunia imaginasi di minda saudara.

Maka,kita sekarang tiba kepada konsep style yang saudara sebutkan sebagai "persembahan." Style ialah suara hati seorang penulis dan juga pandangan hidupnya.Dan ia bukanlah permainan kosong seorang penulis.Ia adalah suara hatinya yang unik dan usahanya untuk melukiskan imej-imej dalam realiti sebaik mungkin.Mathew Arnold telah sebutkan dengan tepat apa itu style:"...it is having something to say and saying it clearly." Sekiranya style seorang penulis itu mengelirukan kita,maka kita harus terlebih dahulu selidik tujuan si penulis menulis dengan gaya begitu.Dan kita juga perlu ingat bahawa suara yang unik selalunya akan membawa persembahan yang unik dan segar dan mungkin asing buat pembaca biasa.
Anonymous said…
terima kasih atas penerangan lanjut saudara. saya terhutang budi atas jasa baik saudara meluang masa menjelaskan pemahaman saya tentang semua ini.

Popular Posts