Singa-Singa Yang Tumbang Awal








Apakah persamaan antara Chairil Anwar dan John Keats dengan James Dean? Mereka ini merupakan seniman yang meninggal pada usia muda, dan selepas itu menjadi legenda dalam negara masing-masing. Ketiga-tiga orang ini juga memberikan produk seni yang sedikit, tetapi sumbangan yang sangat besar. Chairil Anwar misalnya telah merevolusikan genre puisi dan perkembangan bahasa Indonesia. Seniman-seniman lain yang senasib dengan mereka ialah Franz Kafka, Emily Dickinson, Anton Chekhov, Raymond Carver, Sudirman, Marilyn Monroe, dll.

Dalam konteks dunia sastera, kenapa penulis-penulis di atas diberikan penghargaan yang tinggi oleh komuniti sastera mereka? Pelbagai spekulasi boleh kita buat. Kita mungkin boleh kata bahawa mereka meninggal dunia ketika berada di kemuncak penulisan masing-masing. Sejarah itu cenderung untuk ingat perkara terakhir yang kita lakukan. Sekiranya Chairil Anwar dan John Keats terus menulis sehingga ke usia tua, mungkin kualiti penulisan mereka akan menurun, dan membuka ruang kepada kritikan kritikus dan penyair generasi terkemudian. Cuba kita perhatikan apa yang berlaku pada William Wordsworth. Semasa zaman mudanya, dia adalah jagoan puisi aliran romantisisme, tetapi lama-kelamaan kualiti karya dan gaya hidupnya dihentam hebat oleh Robert Browning, T.S Eliot, dan Ezra Pound.

Sekarang mari kita lihat sejenak tentang kehebatan Chairil Anwar sehingga namanya itu bergema ke seluruh nusantara. Adakah kualiti puisi beliau sangat hebat sehingga tidak ada penyair yang boleh mengatasinya? Tidak juga, kerana puisi-puisi Amir Hamzah, Sutardji, Rendra, dll tidak kurang hebatnya. Menurut Agus R. Sarjono, karya sastera boleh dibahagikan kepada dua: Sastera Mimbar dan Sastera Kamar. Secara mudahnya, Sastera Mimbar ditulis untuk tujuan "sosialisasi," dan Sastera Kamar untuk tujuan "individuasi." Chairil Anwar menulis puisinya untuk kedua-dua jenis sastera. Tanpa puisi-puisi mimbar seperti Aku dan Perjanjian dengan Bung Karno, nama Chairil Anwar pasti tidak meletup ketika Indonesia sedang berada dalam zaman revolusi. Ini antara faktor yang telah membantu membina nama Chairil Anwar sebagai penyair utama Indonesia. Pasti sahaja terdapat faktor-faktor lain, tetapi kita akan simpan perbincangan itu di ruangan masa depan. Setakat ini, kita hanya membandingkan Chairil Anwar dengan rakan-rakan negaranya. Bagaimana dengan para penyair kita? Adakah Usman Awang, A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Baha Zain, dan Kemala sama hebat, kurang hebat, atau lebih hebat daripada Chairil Anwar? Para pembaca pasti ada pendapat sendiri. Kita simpan dulu persoalan ini.

Seniman muda itu ibarat singa liar yang muncul di tengah-tengah rimba. Ngaumannya bergema bersama angin pembaharuan dan petir pemikiran. Namun, singa-singa ini adakalanya pulang terlalu awal kepada Pencipta. Tetapi mereka pergi ketika bahang mereka masih panas, dan kita akan terus kenang meraka dalan sanubari kita.

CATATAN
Pendapat Agus R. Sarjono dipetik daripada Chairil Anwar, (1999). Derai-derai Cemara. Jakarta: Horison.














Comments

terima kasih atas sokongan, tentu saja saya menunggu azriq sama2,kita naik pentas itu, mengharumkan nama kepezi
fadz said…
slm, saya rasakan AKU itu punya kuasa sosialasi serta individualasi sekali gus, malah ia boleh saja sampai kepada seseorang secara intim atau kepada seseorang secara massa, tertakluk kepada sensitiviti dan 'kemahuan' pembaca itu.

Apa2pun seronok membaca sedara bandingan John Keats bersama mereka dan sedikit sejarah penyair2 lain..
Wan Nor Azriq said…
Salam abang serunai faqir dan sdr fadz,

terima kasih abang serunai kerana memberikan sokongan dan mendoakan kejayaan kepezi.

ya,pendapat sdr fadz itu ada benarnya.Hal ini mungkin bergantung kepada cara puisi "aku" dibaca dan ditafsir.Namun,saya rasa puisi ini lebih sedap dibaca bersama khalayak sastera kerana nadanya itu sangat bersemangat.
fadz said…
slm azriq, ya, betul.. "Aku" sangat2 perlu dilaungkan dan ini diingini sangat dlm lembar teksnya.. kita menunggu saudara utk mengucapnya (saya tak kata deklamasi, haha) di khalayak Maskara, boleh?

Popular Posts