George Orwell: Nikmat Secawan Teh



NIKMAT SECAWAN TEH
Oleh George Orwell

diterjemahkan oleh WNA

Kalau saudara berpeluang menyelak halaman buku masakan, saudara akan mendapati ia tidak mengandungi resipi teh; atau ia menggariskan secara kasar panduan yang tidak menggambarkan intipati sebenar tentang penyediaan teh. 

Perkara ini menarik kerana teh bukan sahaja hidangan wajib di negara ini serta Australia dan New Zealand, tapi cara ia disediakan sering menjadi topik perdebatan. 

Apabila saya menyemak kembali resipi peribadi saya bagaimana menyediakan teh paling sempurna, saya menemui tidak kurang daripada 11 isi penting. Terdapat dua perkara yang ramai orang akan bersetuju, tapi lagi empat perkara akan menjadi kontroversi. Maka, saya turunkan 11 peraturan peribadi yang saya anggap wajib apabila ingin menyediakan teh paling nikmat:

Pertama, saudara mesti menggunakan teh India atau Ceylon. Semua orang sekarang tahu kelebihan teh China - kuantitinya sederhana, dan ia boleh diminum tanpa susu - tapi hakikatnya ia kurang merangsangkan. Ia tidak membuat kita lebih berani, bijak, atau yakin selepas menyeduhnya. Apabila kita mendengar orang bilang, "Enaknya teh itu," kita tahu teh yang dimaksudkan ialah teh India. 

Kedua, teh harus disediakan dalam jumlah kecil - maksudnya, dalam teko teh. Jika teh diletak di dalam balang, rasanya jadi tawar, sementara teh yang dibuat dalam belanga, punya rasa berlendir dan baru disabun. Teko terbaik harus diperbuat daripada tanah atau tembikar China. Perkakas Britain atau perak akan menghasilkan teh yang berkualiti rendah, malah lebih teruk ialah enamel: tapi teko yang diperbuat daripada timah (sudah jarang sekali ditemui) masih boleh diterima. 

Ketiga, teko harus dipanaskan terlebih dahulu. Ini dilakukan dengan meletakkannya di atas dapur berbanding menuangkan terus air panas. 

Keempat, teh itu mesti padu. Untuk sebuah teko, kalau saudara bercadang untuk mengisinya dengan banyak, enam sudu teh sudah mencukupi. Ketika catuan makanan, ini mungkin sukar dilakukan, tapi saya percaya satu cawan teh padu lebih baik daripada 20 cawan teh tawar. Mana-mana pencinta teh sejati, semakin dirinya meningkat usia, maka semakin padu teh yang diminumnya - ini dibuktikan melalui bekalan lebih yang sering diberikan kepada golongan pencen. 

Kelima, teh itu harus dimasukkan terus ke dalam teko. Bukan melalui penapis, beg muslin, atau apa-apa bekas lain untuk memegang teh itu. Di sesetengah negara, mereka menggatungkan bakul kecil di hujung muncung teko untuk mengelak daun teh, yang dipercayai bahaya, daripada jatuh. Sebenarnya kita boleh menelan sejumlah kecil daun teh tanpa perlu risau akan kesihatan, dan jika teh tidak direndam sepenuhnya ke dalam teko, maka ia tidak direndam dengan baik. 

Keenam, saudara harus membawa teko ke cerek, bukan sebaliknya. Air harus mendidih saat ia dituang, maksudnya cerek patut dibiarkan di atas api. Ada orang menambah bahawa hanya air baru didih patut digunakan, tapi saya tidak nampak apa bezanya. 

Ketujuh, selepas saudara sudah menyediakan teh, ia patut dikacau, atau lebih baik, goncang teko untuk membenarkan daun teh rendam sepenuhnya 

Kelapan, saudara harus minum daripada cawan sarapan - iaitu cawan berbentuk silinder berbanding cawan yang bentuknya mendatar. Cawan sarapan boleh menampung lebih banyak teh, sementara teh dalam cawan jenis lain akan sejuk terlalu awal sebelum kita sempat menyeduhnya. 

Kesembilan, krim harus diasingkan terlebih dahulu daripada susu sebelum ia dituang ke dalam teh. Susu yang terlalu pekat krim akan membuat teh rasa tidak enak. 

Kesepuluh, saudara harus menuangkan teh terlebih dahulu. Inilah perkara paling kontroversi; adapun setiap keluarga di Britain berpegang kepada dua jenis aliran. 

Aliran yang menyokong susu dituang terlebih dahulu mempunyai argumen bagus, tapi saya yakin argumen saya tidak boleh dibidas. Apabila teh dituang terlebih dahulu, saudara kemudian boleh mengawal jumlah susu apabila ia dituang sambil dikacau, sementara cara satu lagi mungkin akan menyebabkan susu masuk terlalu banyak ke dalam cawan.

Akhir sekali, teh - kecuali saudara minum mengikut gaya orang Rusia - mesti diminum tanpa gula. Saya tahu saya dalam golongan minoriti. Tapi, cuba kita fikir, bagaimana saudara ingin mengaku saudara pencinta teh sejati jika saudara memusnahkan rasa teh dengan gula? Ia sama sahaja seperti menambah garam atau lada. 

Teh mesti rasa kelat, seperti mana bir mesti rasa kelat. Kalau saudara jadikan teh manis, ia bukan lagi teh, saudara sekadar rasa gula: minuman sama boleh dibuat dengan mencampur air panas dengan gula. 

Ada orang akan membalas bahawa dia tidak suka rasa teh itu sendiri, kerana mereka hanya minum untuk panaskan badan dan rangsangkan lidah, dan mereka memerlukan gula untuk membuang rasa teh. Kepada golongan sesat ini, saya akan menjawab: Cuba minum dahulu teh tanpa gula, selama dua minggu, dan saya yakin selepas itu kamu tidak akan menambah lagi gula ke dalam teh. 

Sebenarnya bukan perkara ini sahaja kontroversi apabila ingin menyediakan teh, tapi ia mencukupi untuk menunjukkan bahawa segalanya begitu rumit. 

Kemudian ada pula soal etika sosial berkenaan teko (kenapa ada orang menganggap minum tanpa piring adalah biadap?) dan banyak juga yang boleh ditulis tentang hal-hal lain berkenaan daun teh, seperti menilik nasib, meneka ketibaan tetamu, memberi makan kepada arnab, merawat luka bakar dan menyapu karpet. 

Sebenarnya tidak rugi pun untuk mengambil berat hal-hal terperinci seperti memanaskan terlebih dahulu teko dan menggunakan air yang mendidih, agar bekalan teh digunakan sebaik mungkin untuk menghasilkan 20 cawan paling padu dengan hanya dua ounce teh.   

Comments

Popular Posts