Puisi Detektif Bolano
Kenapa ada sesetengah pengarang tertarik pada cereka misteri dan penyiasatan? Saya tidak boleh menjawab kerana saya tidak menulis dalam genre itu. Kebanyakan pengarang misteri juga adalah antara pengarang paling prolifik. Georges Simemon menulis lebih daripada 100 buah novel (di samping mempunyai 100 orang kekasih), maka sudah tentu ada sesuatu yang membuatnya berjaga setiap malam selain jenayah, pembunuhan, penakulan, dan kematian.
Kemudian kita ada pengarang yang berdiri di sempadan dan hanya meneropong dari balik jendela apartmen. Pengarang seperti Borges, Auster, dan Bolano. Peminat misteri yang enggan membasahkan pena mereka dengan darah watak. Mereka lebih cintakan sastera berbanding cereka penyiasatan, namun ada hari mereka tetap ingin meninggalkan perpustakaan berhabuk mereka, turun ke jalanan, menyalakan rokok dan merayau di tengah kota sambil membutangkan jaket hujan.
Sama ada kita membaca novel, cerpen, atau puisi Bolano, kita tidak boleh lari daripada unsur penyiasatan. Sama juga dengan unsur lain seperti Perang Dunia Kedua, Mexico, puisi garda-depan. Unsur-unsur ini sudah menjadi bahagian daripada kosmologi seorang Roberto Bolano. Apa yang dia cari sebenarnya? Apa pembunuhan yang Bolano ingin selesaikan? Barangkali penyiasat-penyiasat Bolano sendiri tidak tahu. Mereka diseru ke dunia Bolano kerana ada panggilan dari mereka yang sudah hilang, mereka yang tidak bernama, dan mereka yang sudah tertanam di dalam kubur sebuah teks.
* * *
Comments