Hubungan Mekanisme Penceritaan dengan Teks



Kita sering melihat novel hanya sebagai sebuah novel dengan struktur naratif sebagai tulang belakangnya. Kita kemudian mentafsir isi penceritaan sebagai pengalaman pembacaan. Tetapi pernahkah kita terfikir kenapa cerita tertentu mampu meninggalkan kesan mendalam dalam diri kita? Adakah ia sebab permainan plot? Atau kematian watak yang tragik? Atau nada bahasa pengarang yang sangat mengesankan? Saya ingin hujah dan menyakinkan anda bahawa sebelum anda menikmati pengalaman sebuah teks, ia sudah mempunyai program atau mekanisme dalaman yang (mungkin pengarangnya sendiri tidak sedar) hadir untuk memandu, menapis, menakul, dan mempengaruhi tanggapan anda tentang dunia dalam teks tersebut. 

Mekanik ialah konsep yang lebih kerap digunakan dalam permainan video dan permainan meja. Sebuah permainan boleh menerapkan satu atau beberapa mekanik sebagai modus operandi permainan. Ticket to Ride menggunakan kaedah pengumpulan kad, jaringan perjalanan, dan ganjaran objektif. Age of Empire menggunakan kaedah pengurusan sumber, pembangunan kota, dan penguasaan kawasan. Dalam dunia permainan mekanik adalah segalanya. Kita main Pac Man, Tetris, dam ular tanpa perlu mengambil tahu makna di sebalik sistem permainan tersebut. Hanya 20 tahun kebelakangan ini kita nampak kebangkitan permainan video yang dipandu  hampir sepenuhnya oleh naratif penceritaan.

Kenapa situasi ini berbeza apabila kita bercakap tentang sastera? Adakah wujud sebenarnya mekanisme penceritaan? Saya rasa mekanik cereka sering dikelirukan dengan struktur, teknik, dan plot. Padahal mekanik ialah tapak asas kepada bahasa sebuah cereka. Pengkritik seperti Blanchot dan Mitchelmore menyebut mekanik sebagai ruang sastera. Tidak salah, namun ia terlalu abstrak dan umum kerana setiap teks akan mempunyai ruang penceritaan berbeza. Malah dalam setiap teks akan mempunyai lebih daripada satu mekanisme penceritaan. Semakin rencam dunia sebuah teks, maka ada kemungkinan semakin rumit mekanik-mekanik yang akan diguna pakai oleh pengarang. 2666, adinovel Roberto Bolano, mempunyai mekanik penyiasatan, biografi, rakaman sejarah, testimoni saksi, sekadar menyebut beberapa contoh. Sementara novel autofiksyen seperti My Struggle menyandar banyak pada satu mekanik iaitu kebungkaman kehidupan harian. Realiti harian buat Knausgaard tidak sama dengan realiti harian buat  Flaubert. Knausgaard tidak nampak realiti secara ironi atau ilusi kosong yang perlu dipecahkan. Realiti buatnya adalah perjuangan yang harus diatasi setiap hari. Sebagai contoh, bertengkar dengan jiran yang cerewet, atau membawa bayi ke pusat jagaan kanak-kanak. Dilema harian itu menjadi enjin yang menggerakkan setiap bahagian novel Knausgaard.

Sekarang kita lihat novel terkenal Flaubert Madame Bovary. Saya ingin membawa ke malam pertama Emma melawat sebuah parti tarian golongan bangsawan. Ini merupakan penghujung bahagian pertama dan titik tolak kepada perubahan sikap dan pandangan dunia Emma. Bayangkan beginilah: gadis kampung kahwin dengan lelaki kaya yang tiba-tiba terpana dengan kemewahan kaum atasan. Emma ini juga kuat berangan kerana terlebih tengok drama Korea, eh silap… terlebih membaca novel cinta. Maka apabila Emma didedahkan kepada pakaian, dekorasi perabot, dan makanan orang bangsawan, hati Emma terus cair. Dia lupa sekejap kebosanan perkahwinan dan sejarah lampaunya sebagai gadis desa. Namun terdapat satu momen penting apabila Emma terdengar pecahan kaca dan matanya dibawa ke luar tingkap: 

The ballroom’s air grew  heavy; the lamps were dimming. The crowd ebbed into the billard-room. A servant got up on a chair and broke two panes; at the noise of the splintering glass, Madame Bovary turned her head and noticed, in the garden, faces of gazing peasants pressed against the windows. And so she remembered Les Bertaux. Again she saw the farm, the muddy pond, her father in s smock under the apple trees, and again she saw her own self, skimming the cream with her finger off the pans of milk, in the dairy. But under the lightning flashses of the present moment, her past life, so clear up to now, faded away entirely, and she almost doubted that she had ever lived it.

Inilah mekanik utama Flaubert, ironi dan ilusi tanggapan sensual manusia. Di sebalik segala estetik, keagungan kebendaan, dan keindahan deskripsi bahasa, manusia adalah makhluk yang mudah terpesona dan hanyut dalam angan-angan siang hari yang mereka sendiri pilih untuk reka dan percaya. 

Comments

Popular Posts