Sufian Abas: Langit
Empat tahun kebelakangan ini memang terasa seperti hidup di atas angin. Perdana Menteri sampai tiga orang. Rakyat terkurung di rumah, kos hidup meningkat, kematian bertambah, dan banjir datang tanpa diundang. Boleh tulis satu buku teks sejarah untuk zaman gerhana ini. Oleh sebab itu, saya fikir ini waktu sesuai juga untuk saya kongsi kembali sebuah cerpen pendek karangan abang besar sastera mandiri kita, Sufian Abas. Cerpen ini asalnya diterbitkan dalam zine Birokrasi Cakrawala. Kalau nak support abang besar kita, cuba DM di Instagram, mungkin ada beberapa naskhah lagi yang terselit di rak-rak perpustakaannya yang maha agung.
* * *
Waktu Kuala Lumpur diangkat ke langit, kami tidaklah merasa sedih sangat, kerana kos hidup di situ sudah menjadi terlalu tinggi hingga tiada antara kawan atau keluarga terdekat kami mampu untuk menetap, apatah lagi membeli rumah di situ.
Tambahan pula, peristiwa bersejarah itu berlaku pada hari Ahad, jadi, yang benar-benar hilang dari kehidupan ini hanyalah mereka yang mampu untuk bercuti di Kuala Lumpur atau terlalu kaya hingga boleh menetap di ruang lingkup sempadannya.
Hanya Kamil sahaja antara kenalan kami yang bersedih, kerana kekasihnya Sara, bekerja lebih masa di KLCC hari itu dan telah hilang bersama Kuala Lumpur dan warga-warga afluennya. Setiap pagi, Kamil akan ke sempadan Kuala Lumpur dan mendongak ke langit selama berjam-jam, berdoa di dalam hatinya supaya Kuala Lumpur, ataupun kalau tidak pun bandaraya itu, cukuplah Sara saja, diturunkan kembali.
Dan ya, satu hari, doa Kamil dikabulkan. Sara diturunkan dari langit pada vf = g*t.
Comments