Penulis yang Kehilangan Peta
Setelah membaca buku pengarang Australia, Gerald Murnane, saya sedar bahawa dari dulu lagi saya sangat tertarik kepada peta. Ada dua sebab barangkali, dan salah satunya ialah ensiklopedia. Ketika membesar, rumah keluarga saya mempunyai banyak koleksi ensiklopedia, dan mana-mana ensiklopedia tidak akan lengkap tanpa bab atau jilid khas untuk peta. Antara semua ensiklopedia itu, saya paling ingat ensiklopedia terbitan Reader's Digest; kulit keras, warna hitam, dan tulang belakang biru gelap. Ia hanya satu jilid, tidak disusun secara A-Z, tetapi mengikut subjek, dan bab terakhir dikhususkan untuk peta. Saya bukanlah tertarik sangat kepada aspek geografinya, tetapi fakta bagi setiap negara (jumlah penduduk, bahasa, makanan utama dll). Kalau nak tengok peta cantik, saya akan buka buku permainan fantasi. Saya akan buka buku Ian Livingstone dan Steve Jackson. Saya kagum bagaimana mereka boleh membayangkan sebuah dunia imaginatif dan melakar peta yang terperinci, seolah mereka sendiri telah memijak kaki ke dunia itu. Adakah selama ini saya menulis kerana saya belum menemui peta yang sempurna? Atau saya sebenarnya kehilangan peta, seperti pemburu dalam puisi-puisi T. Alias Taib?
Sebagai pengarang Australia, ia tidak menghairankan Gerald Murnane juga meminati peta. Malah dalam salah satu laci bilik menulisnya, dia menyimpan fail untuk sebuah pulau yang direkanya sendiri. Apabila kita membaca karya Murnane, kita bukan sahaja menemui hamparan padang rumput Australia yang terbentang luas, tetapi liku-liku ke dalam minda manusia (dan juga minda pengarangnya). Kalau Murnane menjadi seorang pengkritik, barangkali teori yang akan dipakainya ialah teori resepsi pembaca. Dia sangat taksub dengan imej yang terbentuk dalam minda di saat kita menulis atau membaca sebuah buku. Malah kerap kali dalam cerpennya, kita diajak berfikir dan membayangkan proses yang dilalui dalam minda seorang pengarang ketika menulis. Kita ambil contoh cerpen "In Far Fields," di mana watak si pengarang ingin bercakap dengan seseorang mengenai buku yang sedang dibaca:
"I used to seek out persons who might talk with me about books. Whenever I was reading a book in those days, I would hear in my mind the sound of myself talking in the future to someone about the book. I was careful not to talk about books to persons who did not value books, but I expected that I would always have in the future a large number of friend and acquaintances who would talk about books. After I had become a writer of books, I was more wary of talking about books. I understood by then that each book I had written was not the book I had read in my mind before I had begun to write. I began to suspect that a book, and especially a book of fiction, is too complicated a thing to be talked about, except by a person talking to himself or herself."
Peta dalam minda terlalu luas untuk diterjemahkan ke dalam kata-kata. Pengarang dalam cerpen Murnane menggambarkan mindanya sebagai "peta yang terdiri daripada imej dan perasaan"; di mana pekan kecil ialah imej, sementara jalan-jalan yang menghubungkan setiap pekan ialah perasaan.
Tetapi beban melengkapkan sebuah peta, tidak patut ditanggung sepenuhnya oleh seorang individu. Membaca buku mengingatkan kita bahawa imaginasi dan akal manusia tidak mempunyai sempadan. Kadang-kadang untuk mencipta, kita perlukan terlebih dahulu inspirasi daripada penjelajah lain. Robert Louis Stevenson menulis novel terkenalnya Treasure Island berdasarkan lakaran peta yang dibuat oleh anak angkat beliau, Lloyd Osbourne. Ia berlaku ketika mereka sedang bercuti di pergunungan Scottland. Stevenson masuk ke tempat Osbourne sedang melukis: "... dan dia berdiri rapat di belakang bahu saya, dan dia mula menceritakan peta itu dan memberikan nama kepada tempat-tempatnya."
Stevenson akhirnya menurunkan catatan keramat pada penjuru atas sebelah kanan peta itu: "Treasure Island."
Comments