Novel Kenari: Wira Bumi



Minggu lepas saya ulas sebuah novel fantasi di mana seorang remaja bertemu dengan komuniti katak gergasi (boleh baca sini). Kali ini kita lompat pula ke angkasa dalam novel karangan Abdullah Ishak berjudul Wira Bumi

"Kini Nasrul sudah berada dalam program latihan yang sebenar. Dia seolah-olah bergerak di ruang angkasa lepas dengan sebuah kapal angkasa yang sangat canggih. Kemudian, datanglah cabaran yang menguji kemampuannya mengendalikan 'kapal angkasa' itu. Pada peringkat awal, cabarannya agak mudah. Dia hanya perlu mengelak objek-objek seperti batu besar yang sentiasa muncul dengan tiba-tiba di hadapan kapal angkasanya. Kemudian, cabaran menjadi lebih sukar dengan kehadiran kapal-kapal angkasa musuh. 

Nasrul mendapati program latihan tersebut hampir menyerupai program Perang Galaksi yang ada dalam komputernya. Oleh sebab itu, dia tidak menghadapi masalah langsung pada peringkat awal program latihan itu. Dia sudah cukup mahir mengendalikan kapal angkasanya bagi mengatasi setiap cabaran." 

Novel ini terbit pada tahun 1994, maka kita boleh faham permainan komputer di rumah sebagai suatu fenomena baru bagi golongan remaja di Malaysia. Kita diperkenalkan dengan Nasrul, seorang remaja yang banyak menghabiskan masa di biliknya bermain sebuah permainan komputer bernama Perang Galaksi. Dia sangatlah cekap bermain sehingga bakatnya dapat dikesan oleh dua bangsa makhluk asing yang sedang berperang: kaum Aragon dan kaum Naduci. Nasrul dibawa dari Bumi oleh kaum Aragon untuk membantu mereka melawan kaum Naduci yang ingin menakluk seluruh angkasa. 

Novel ini sedikit mengingatkan saya kepada karya Orson Scott Card Ender's Game. Walaupun babak-babak opera angkasa sekejap sahaja, namun Abdullah Ishak berjaya menggambarkan suasana perang angkasa dengan menarik. Sesuai dengan sebuah novel Kenari, ia tida akan terlepas daripada memberikan pendidikan sains kepada pembaca, dan saya rasa pengarang berjaya melakukannya tanpa kelihatan seperti berkhutbah. Ketika Nasrul baru tiba di planet kaum Aragon, dia mendapati planet mereka tidak mempunyai tumbuhan hijau. Wakil Aragon, Kapten Nimes, menceritakan bahawa planet mereka melakukan pembangunan yang sangat pesat sehingga alam tidak lagi wujud. Jadi di samping memberikan latar belakang kepada planet kaum Aragon, isu alama sekitar tidaklah terasa dipaksa-paksa ke atas pembaca. 

Ilustrasi untuk Wira Bumi dilakukan oleh Azam Shaffii, dan ia sangat bantu menghidupkan lagi suasana opera angkasa. 

 

   

Comments

Unknown said…
Where to buy the kenari books?

Popular Posts