Novel Kenari: Operasi Katak



Saya mengenali siri buku Kenari (kalau tidak salah) sewaktu umur lebih kurang sembilan atau sepuluh tahun. Sekolah rendah saya terletak agak jauh dari rumah, di kawasan kampung dikelilingi sawah dan bersebelahan dengan sebuah kilang beras. Kadang-kadang apabila saya balik Kedah, saya akan memandu seorang diri untuk melawat sekolah lama itu. Dari luar pagar, ia tidaklah besar mana pun (dulu padang bolanya pun rasa luas). Tapi dari kaca mata seorang kanak-kanak, dunia sentiasa terbuka dan tanpa batas.

Agen buku Kenari yang datang ke sekolah ialah seorang wanita pertengahan umur, bertudung merah jambu, dan bayu kurung corak bunga-bunga kecil. Badannya sedikit gempal dan ada gaya seorang cikgu bila bercakap. Dia membuka meja di dewan utama. Tidak banyak buku Kenari yang dibawa, tetapi saya sangat terpukau dengan ilustrasi setiap buku mereka. Terutama sekali novel siri Wira, Memburu Kristal Jingga, dan Profesor Robotik. Saya memang jadi rambang mata, tidak tahu mana satu nak beli dulu. Kalau tidak salah, novel pertama Kenari saya beli ialah Rahsia Telaga Jepun.

Siri buku Kenari diterbitkan oleh syarikat Edusystem, dan mereka bertahan agak lama juga sampai awal 2000. Sekarang siri buku Kenari (seperti banyak buku zaman kanak-kanak saya) sudah tidak ada. Saya berpeluang baru-baru ini untuk mengumpul kembali sejumlah buku-buku Kenari. Maka, setiap minggu saya akan ulas satu novel Kenari supaya khazanah sastera remaja ini tidak dilupakan begitu sahaja.

Saya akan mula dengan novel Operasi Katak karangan Alief Mukhlis. Siapa agaknya pengarang ini (dan kebanyakan pengarang novel Kenari)? Tidak tahulah masih menulis atau tidak. Operasi Katak mempunyai desain sampul yang sangat universal; ia mengingatkan kita kepada buku klasik Barat seperti The Secret Garden atau The Wind in the Willows. Ia mengisahkan kehidupan harian seorang remaja kampung bernama Hasnul yang pada suatu hari menemui kejadian aneh di Bukit Ketibung.

Separuh pertama novel ini agak perlahan, kita kena layan dulu cerita Hasnul dengan keluarganya. Hasnul sedang menanti hadiah UPSR daripada abangnya yang baru pulang dari Sabah. Pada masa sama, Hasnul perasan ada beberapa orang penunggang motosikal selalu melintas rumahnya ke arah Bukit Ketibung. Hasnul merasa hairan, sehingga suatu hari dia pergi menyiasat.

Pengembaraan sebenar novel ini bermula pada separuh kedua apabila Hasnul terjatuh ke dalam sebuah komuniti katak yang boleh bercakap. Kalaulah kita dapat masuk lebih awal ke dunia ini, barangkali ia akan jadi novel yang lebih padat dan menarik. Operasi Katak sepatutnya jadi novel fantasi secara total. Tetapi saya tetap puas hati membaca novel ini. Saya tidak pernah membacanya masa sekolah, tetapi saya yakin kalau menemui Operasi Katak pada masa itu, saya akan tersihir dan terpelanting ke dunia katak ciptaan Alief Mukhlis.

Comments

Lanzz said…
Mantap bro. Saya kumpul jugak siri Buku Kenari ni, banyak lagi nak dicari. Koleksi bro dah lengkap ke?
MOHD said…
Sekarang nak cari novel ni dah susah..
Anonymous said…
Lanzz koleksi awak dh lengkap ya? Jual la kt saya huhu mls nk mencari

Popular Posts